LANGUAGE

LANGUAGE

戦世の記憶

Pertempuran Okinawa

Amerika Syarikat telah mengerah seramai 550,000 anggota tentera untuk bertempur dalam Pertempuran Okinawa, di mana jumlah anggota pasukan tempur darat sahaja sudah mencecah 183,000 orang. Jumlah ini sebenarnya lebih daripada populasi Okinawa ketika itu (yang berjumlah lebih kurang 450,000). Sebaliknya, kekuatan pasukan tentera Jepun hanya kira-kira 100,000, lebih-lebih lagi satu pertiga daripada jumlah ini terdiri daripada pasukan tambahan yang dikerah di kalangan orang tempatan termasuk angkatan pertahanan dan angkatan pelajar. Malah pasukan tentera Amerika yang didukung oleh satu armada yang terdiri daripada 1,500 buah kapal mempunyai kelebihan dari segi senjata, kapal perang, pesawat tentera, anggota tentera, bekalan dan sebagainya. Pasukan tentera Amerika ketika itu kira-kira 10 kali lebih kuat daripada tentera Jepun.

Armada tentera laut British yang juga mengambil bahagian dalam pertempuran tersebut menyerang Pulau Miyako dan Pulau Yaeyama dengan meriam dan serangan udara.

Tentera Amerika telah mendarat di Kepulauan Kerama pada 26 Mac, dan kemudiannya mendarat di Kampung Yomitan yang terletak di bahagian tengah pulau utama Okinawa pada 1 April. Tentera Jepun mengelak daripada bertempur dengan tentera Amerika di lokasi-lokasi tersebut dan sebaliknya memilih strategi berlindung dalam parit pelindung demi pertempuran berlanjutan. Anggota-anggota tentera Amerika dibahagikan kepada dua pasukan dan masing-masing bergerak menuju utara dan selatan pulau utama Okinawa. Tentera Amerika yang bergerak ke arah utara, yang ketika itu dijadikan kawasan perlindungan orang awam dan hanya dipertahankan oleh sebilangan kecil anggota pasukan tentera, sampai ke Hedo Misaki (Tanjung Hedo) yang terletak paling utara di pulau utama Okinawa pada pertengahan April. Sementara itu, di pulau Iejima, di mana tentera Jepun sedang membina lapangan terbang yang dikatakan sebagai No.1 di Timur, pertempuran sengit berlaku selepas tentera Amerika mendarat. Ramai penduduk pulau tersebut terjebat dan terkorban. Pasukan tentera Amerika yang bergerak ke arah selatan di pulau utama menghadapi tentangan yang amat hebat daripada tentera Jepun dan hanya sampai ke garis pertahanan markas operasi yang terletak di Shuri selepas berlawan untuk lebih daripada 40 hari. Pada 11 May, pasukan tentera Amerika melancarkan operasi serangan besar-besaran. Pasukan tentera Jepun berundur ke selatan dengan tergesa-gesa hujung May dan Shuri dirampas oleh tentera Amerika. Dalam pertempuran yang berlaku di kawasan tengah pulau utama dan Shuri, tentera Jepun kehilangan seramai 60,000 anggota. Keadaan menjadi kucar-kacir sekali apabila anggota-anggota tentera Jepun yang berundur ke selatan masuk ke dalam kalangan pelarian. Operasi pengeboman yang dilancarkan oleh tentera Amerika disebut sebagai taufan besi. Serangannya begitu dahsyat sehingga topografi pun terubah.

Pada 23 Jun (ada juga yang kata pada 22 Jun), Komander Mitsuru Ushijima membunuh diri, menandakan akhirnya pertempuran berorganisasi. Namun begitu, oleh kerana tentera Jepun belum menyerah kalah, tentera Amerika meneruskan operasi untuk membanteras saki-baki tentera Jepun dan pengumuman bahawa operasi tentera di Okinawa sudah berakhir hanya dibuat pada 2 Julai. Sebagai ciri Pertempuran Okinawa yang paling utama, bilangan orang awam yang terkorban dalam pertempuran tersebut jauh lebih daripada anggota tentera yang terbunuh. Selain daripada mereka yang terkorban akibat pengemboman sembarangan yang dilancarkan oleh tentera Amerika dan tentera British, pembunuhan orang awam oleh tentera Jepun juga berlaku di banyak tempat. Antara para penduduk yang kehilangan tempat berlindung, ada yang mendapat perlindungan daripada tentera Amerika; namun ada juga yang mati kelaparan, di samping itu pembunuhan di kalangan penduduk yang terdesak juga berlaku. Keadaan ketika itu sememangnya seolah-olah keadaan di neraka. Lebih daripada 200,000 nyawa telah terkorban dalam Pertempuran Okinawa, antaranya lebih daripada 120,000 merupakan penduduk Okinawa termasuk lebih daripada 94,000 orang awam dan selebihnya anggota-anggota tentera dan keluarga mereka.

Video Testimoni Pertempuran Okinawa

Daripada Pertempuran Okinawa, sudah terbukti bahawa peperagan moden yang melibatkan orang awam dan memakai senjata hebat dan kuat lebih menyengsarakan hidup penduduk-penduduk tempatan berbanding dengan askar-askar. Sebagai sumbangan kami kepada usaha mewujudkan keamanan abadi, Muzium Peringatan Perdamaian Prefektur Okinawa telah mengumpul dan menyiarkan testimoni survivor sejak penubuhan untuk menyampaikan dengan tepat kepada generasi-generasi baru fakta-fakta benar dan ketidak munasabahan peperangan.

Kebelakangan ini, unsur-unsur pencetus konflik kadang-kala dilihat di pelbagai pelosok dunia. Pada pendapat kami, adalah penting kami mengongsikan testimoni-testimoni survivor Pertempuran Okinawa dengan pihak-pihak lain dari seluruh dunia selain orang-orang Jepun supaya kita dapat sama-sama merenung betapa berharganya keamanan dan bagaimana kita boleh mewujudkan keamanan. Justeru itu, kali ini kami telah menterjemahkan testimoni-testimoni survivor Pertempuran Okinawa kepada pelbagai bahasa dan menyiarkan video testimoni survivor.

Konsep Penubuhan Muzium Peringatan Perdamaian Prefektur Okinawa

Hujung Mac 1945, api peperangan yang paling mengerikan dalam sejarah telah melanda pulau-pulau Okinawa. Taufan besi selama 90 hari telah mengubah topografi pulau-pulau Okinawa, memusnahkan hampir semua warisan budaya, dan mengorbankan lebih daripada 200,000 nyawa yang amat berharga. Pertempuran Okinawa bukan sahaja satu-satunya pertempuran darat di Jepun yang memobilisasikan dan melibatkan semua penduduk tempatan, ia juga merupakan pertempuran terbesar dalam Perang Asia Pasifik.

Bilangan orang awam yang terkorban jauh lebih daripada bilangan anggota tentera yang terbunuh ini merupakan ciri paling menonjol Pertempuran Okinawa. Lebih daripada 100,000 orang awam telah hilang nyawa mereka dalam pertempuran ini. Ada yang maut terkena peluru meriam, ada yang terkepung dan terdesak sehingga mereka terpaksa membunuh diri, ada yang mati kelaparan atau akibat penyakit malaria. Ada juga yang dikorbankan oleh pasukan tentera negara sendiri yang tertewas. Kami penduduk-penduduk Okinawa telah mengalami ketidak munasabahan dan kezaliman perang selepas menempuh pelbagai kesengsaraan yang begitu ekstrem dan tidak dapat dibayangkan. Sesungguhnya pengalaman menempuh perang inilah titik permulaan dari mana orang-orang Okinawa telah memupuk Jiwa Okinawa meskipun kami terpaksa menahan tekanan berat di bawah pemerintahan tentera Amerika Syarikat dalam era pasca-perang.

Jiwa Okinawa difahamkan sebagai jiwa yang berusaha memperjuangkan keamanan dan mencintai budaya yang memanifestasikan kemanusiaan, yang mana maruah manusia dimartabatkan dan segala tingkah laku yang berkaitan dengan perang ditolak.

Sambil bersedih atas begitu banyak nyawa yang terkorban dalam Pertempuran Okinawa, kami mengumpul testimoni survivor penduduk-penduduk Okinawa dan menubuhkan Muzium Peringatan Perdamaian Prefektur Okinawa. Kami ingin menyumbang kepada usaha mewujudkan keamanan abadi dengan menyampaikan pengajaran daripada sejarah Pertempuran Okinawa dengan betul kepada generasi-generasi baru dan menganjurkan Jiwa Okinawa kepada masyarakat antarabangsa.

Tahun 1975 (sebahagian dipinda pada 1 April 2000), Prefektur Okinawa