LANGUAGE

LANGUAGE

Pengalaman di parit perlindungan di Kin dan kehidupan selepas perang

”Pengalaman di parit perlindungan di Kin dan kehidupan selepas perang”

Pn. Fumiko Iha, 86 tahun
(Asal: Gushikami-son, Okinawa)

Sebelum perang bermula, askar-askar telah mengambil sekolah kami dan kami tidak dapat belajar. Rumah-rumah yang besar juga diberi arahan supaya diserahkan kepada pihak askar, maka keluarga hanya tinggal 1 bilik sahaja.

Pelajar tahun 4 dan 5 sekolah rakyat berlatih melarikan diri dari ke parit perlindungan serangan udara. Jika siren berbunyi kami mesti pergi ke parit perlindungan dan jika diberitahu, “Tamat!” kami harus keluar.

Askar menyuruh kami mengutip dan menghantar kelongsong bom dari serangan meriam kapal, tutup periuk, mesin jahit dan banyak lagi barang-barang untuk dijadikan bahan membuat pesawat.

Jika siren amaran serangan berbunyi kami akan melarikan diri ke Gama. Waktu itu nenek akan menyanyikan lagu sebegini, “Jika dengar amaran serangan udara, kamu masih kecil lagi jadi sila patuhi arahan orang dewasa, jangan panik, jangan bising, dengan tenang masuk ke parit perlindungan.”

 
Kampung kami mendapat arahan tentera untuk berlindung di parit perlindungan di Kin. Ada juga yang tidak mendengar arahan, mereka tinggal di Shimajiri di bahagian selatan. Kami berjalan dalam serangan meriam kapal, membawa ayah yang tidak berapa nampak, dan juga mengendong bayi berumur 2 tahun.

 
Kami sampai ke parit perlindungan Kin sambil makan tebu yang terdapat di ladang dan buah dari pokok. Pintu masuk parit perlindungan itu luas, tetapi semakin kami masuk ia menjadi semakin sempit, dan apabila kami meneruskan perjalanan dengan merangkak, ada tempat yang luas di situ, dan berapa ratus orang sedang bersembunyi di situ. Di dalamnya sangat gelap, kami tidak mempunyai lilin, jadi seorang akan berjalan di hadapan menggunakan satu lilin sahaja dan yang lain mengekori dari belakang.

Apa yang saya tidak boleh lupakan sehingga kini, ialah di dalam parit perlindungan itu ada juga askar Jepun yang sedang bersembunyi. Apabila melihat kami sedang makan tebu, dia berkata, “Bagilah saya makan sedikit.” Lalu ayah yang tidak begitu nampak matanya berkata, “Sepatutnya kerja askar adalah melindungi kami, tetapi kenapa bersembunyi di sini?” Saya masih ingat dia membalas “Perang ini sudah buntu, sudah tidak boleh ke mana-mana lagi.”

Tidak lama tentera Amerika pun tiba sehingga ke depan parit perlindungan tempat kami bersembunyi. Mereka menyuruh kami menyerah diri dan berkata, “Come on, come on. Keluar, keluar”. Tiada siapa pun membalas, dan tiada siapa yang keluar dari persembunyian, maka mereka melontarkan bom masuk.

Kami terlambat untuk keluar, bom telah dilontar masuk, saya tersedut asap dan menjadi tidak boleh berjalan. Lantas pakcik yang berada berdekatan terus memujuk kami dengan berkata, “Orang awam kalau ditangkap pun tidak akan diapa-apakan.”

Askar Amerika datang ke arah saya yang sedang duduk lalu menghulurkan coklat. Kami telah diajar bahawa makanan yang diberi oleh askar Amerika dimasukkan racun, dan jangan makan ia, tetapi askar Amerika itu menunjukkan bahawa mereka makan dan tiada apa-apa yang berlaku, maka kami pun makan dengan senang hati.



Setelah perang tamat
Kehidupan setelah tamat perang dan pulang ke tempat asal adalah sangat memeritkan. Tiada rumah, tiada apa pun, kami hidup dengan mendirikan khemah di padang yang terbakar. Bila keluar rumah untuk mencari makanan akan terjumpa banyak mayat bergelimpangan. Kami berjalan mencari ubi sambil mengelak-elak mayat.

Daun-daun ubi tumbuh subur di tempat yang ada mayat, tapi kami elakkan tempat itu dan memotong daun-daun di sebelah sana untuk menjadikan ia bahan makanan. Itu pun bahan makanan masih tidak cukup. Kami juga makan buah sago, begitulah cara kami hidup.

Kami juga tidak punyai perkakas kehidupan, maka ada kalanya kami terbalikkan tengkorak pada mayat dan mengambil helmetnya untuk kami bawa pulang sebagai periuk. Walaupun perang telah tamat tetapi kami masih berjuang untuk meneruskan kehidupan.
 
Ada kejadian semasa saya mula-mula menjadi tawanan, saya pernah membawa balik babi yang mati terbakar dari sebuah kendang babi untuk dijadikan bahan makanan. Bila saya mula makan baru saya sedar itu bukan daging babi tetapi jari manusia. Oleh kerana kepalanya tiada maka susah untuk mengenali ia daging babi atau manusia.

Adik perempuan saya mengalami malnutrisi disebabkan bahan makanan tiada dan susu badan emak pun tidak keluar. Terpaksa, saya menangkap katak di bendang dan rebus ia menggunakan tin kosong dan memberi adik minum.

Malangnya adik perempuan bongsu saya meninggal dunia juga kerana malnutrisi. Jenazah adik saya ditanam di tempat yang selepas itu telah dijadikan lapangan terbang tentera Amerika di Kin, sukar untuk kami mengutipnya semula. Tetapi kami telah meminta tolong orang Jepun generasi ke-2 dengan membayar wang untuk membenarkan kami masuk ke dalam lapangan terbang. Maka kami berjaya mengutip jenazah adik. Saya masukkan abu mayat adik yang kecil itu ke dalam tin kosong dan membawanya ke mana-mana.

Mengenang kembali peperangan itu
Tidak boleh diungkapkan dengan perkataan betapa kejamnya peperangan itu, ia bukanlah sesuatu yang dilakukan oleh manusia. Realiti peperangan itu bukanlah sesuatu yang saya boleh ungkapkan di dalam TV atau berita sahaja. Saya tidak ingin anak cucu saya menghadapi keperitan ini lagi.