LANGUAGE

LANGUAGE

Pengalaman Melarikan Diri di Dalam Hutan di Davao, Filipina

”Pengalaman Melarikan Diri di Dalam Hutan di Davao, Filipina”

En. Youichi Touma, 81 tahun
(Asal: Davao, Filipina)

 
Semasa perang bermula saya masih belum bersekolah.
Perang bermula ketika saya 7 tahun, pada waktu itu pekerja dan pembantu kedai keluarga saya orang Filipina mula kecoh, “Japon, bomber, bomber!” jerit mereka. Japon bermakna orang Jepun dalam bahasa Sepanyol, dan bomber bermaksud serangan bom.
Pagi tadi, pesawat perang Jepun mengebom lapangan terbang Lasang katanya.

Peristiwa pada 8hb Disember. Kami terpaksa melarikan diri kerana dikatakan bahaya jika berada di rumah masing-masing di perkampungan orang Jepun. Tempat kami dipanggil Osaka Bazaar, kedai yang besar yang mempunyai ramai pekerja. Semua berkumpul di situ dan sekitar jam 9 malam, di malam yang sangat gelap kami melarikan diri ke sekolah rendah Manambulan untuk orang Jepun. Semua orang Jepun di daerah Manambulan telah berkumpul di situ.

Keesokan harinya, apabila hari telah terang sekitar 10 pagi, skuad Filipina telah tiba. Kami akan dimasukkan ke kem tahanan orang Jepun selepas ini. Kem itu juga memisahkan lelaki dan perempuan.

Saya mempunyai nenek. Semasa perang bermula nenek sedang ke Hospital Mintal untuk pemeriksaan kesihatan, dia ditangkap di situ dan tidak pulang.

Kemudian, kami dikatakan akan dihantar ke kem tahanan lain, kami dimasukkan ke dalam trak dan dibawa hingga ke Santana.
Setelah 2 minggu di situ, pesawat perang Jepun datang menyerang, tetapi tersebar khabar angin mengatakan mereka tidak dapat mendarat. Maka wanita dan kanak-kanak mendapat arahan untuk dipindahkan ke Mintal dari Santana, sekali lagi kami menaiki trak untuk ke Mintal.
Di situ terdapat hospital untuk orang Jepun. Nenek dimasukkan ke wad di situ. Kami bertemu semula setelah 2 minggu. Sedang kami berkata, “Eloknya kita dapat bertemu semula,” tentera Jepun pun mendarat.
Kami diselamatkan dan dibebaskan dan dapat pulang semula ke rumah asal kami.

Setelah itu selama 2 tahun, kami dapat belajar di sekolah rakyat Jepun. Bila saya sangka peperangan sudah tiada, Saipan telah berkorban dan ramai yang terselamat datang dari Saipan. Kemudian apabila MacArthur kembali mendarat ke Filipina, kami melarikan diri ke dalam hutan tebal di gunung.

Suasana sekolah pada waktu itu
Saya dapat bersekolah di sekolah rakyat selama 2 tahun di sekolah rendah. Ada lagu “Sugi No Ki No Tou” semasa majlis graduasi, bangunan sekolah diperbuat dari kayu sugi (cedar). Oleh kerana cuaca panas, lantai ditinggikan dan kami belajar di atasnya.

Tahun 4 dan tahun 5 ada latihan ketenteraan. Kami yang masih di tahap bawah, tidak mendapat pelajaran itu. Dari tahun 4 kami mendapat latihan Hofuku Zenshin (bergerak perlahan), semua orang berlatih di padang sehingga lapar.

Pelajar perempuan menerima pelajaran berasingan untuk menjadi jururawat.
Di waktu pagi, bila pergi ke sekolah, semasa perhimpunan kami melakukan ritual Kyuujou Youhai , berdiri menghadap timur dan tunduk selama 5 minit mendoakan kesejahteraan Maharaja.

Waktu itu perasaan kami adalah belia negara tentera, dan kami memandang tinggi Maharaja.
Saya adalah ahli kepada Pertubuhan Belia Jepun. Terdapat slogan iaitu “Pemuda, seperti matahari pagi adalah kami Pertubuhan Belia Jepun yang baru”.


Tak berapa lama skuad Abe iaitu keseluruhan skuad telah masuk ke sekolah, kami tidak dapat belajar. Setelah itu kami berpindah ke sekolah cawangan. Pada masa itu saya di tahun 3, bersama dengan tahun 1, 2, dan 3 kami belajar bersama-sama, termasuk adik lelaki saya di tahun 1. Cikgu hanya ada seorang. Kehidupan bersekolah sebegitu tidak kekal lama.

Tidak lama Grumman terbang tiba, dengan mesingan pesawat ia menyerang. Apabila saya ke kedai asal kami, terdapat bekas mesingan pada papan tanda, peluru juga kena pada tangki air, hingga air langsung tidak ada.

Pada waktu itu hampir setiap hari pesawat pengebom B24 datang. Saya rasa sekitar 200 pesawat. Saya dapat lihat bom digugurkan seperti hujan. Lapangan terbang Lasang juga kena serang, askar-askar juga ramai yang telah melarikan diri masuk hutan. Kami juga turut ke hutan. Terdapat padang Cogon yang mempunyai banyak rumput seperti susuki tumbuh, ia padang yang luas, di sebalik padang itu saya lihat mortar berterbangan.
  
Dari situ sebagai titik asas, terdapat tanda jalan 1 km dan 2 km di dalam hutan. Pasukan pendahulu dari Osaka Bazaar telah memotong pokok dan menulis untuk menandakan 1 km dan 2 km di sisi jalan.
  
Pada titik 16 km, terdapat tulisan MP Jepun. Saya berfikir, “Mungkin sudah selamat kerana telah sampai ke sini.” Tetapi kami disuruh teruskan perjalanan. Kasut saya pun telah rosak. Semasa berjalan di dalam lumpur, kasut saya kadang kala tercabut.

Saya berasa sangat gatal, bila saya lihat banyak pacat telah melekat. Pacat ini boleh masuk ke dalam mata bila kita sedang tidur. Ada seorang makcik dimasuki pacat ke dalam mata, sampai merah matanya.

Pada titik 4 km, terdapat kem kumpulan dari Osaka Bazaar, pada mulanya semua berhimpun di situ.
Ada pesawat pengintip seperti glider terbang, sekiranya dijumpai oleh benda ini, sudah pasti mortar akan dilancarkan. Ramai yang mati akibatnya.

Oleh itu titik 4 km telah menjadi bahaya, maka kami bergerak. 8 km, 10 km, 16 km dan akhirnya di titik 20 km pasukan pendahulu Osaka Bazaar telah mendirikan tempat perlindungan. Tetapi pada waktu itu kami telah kehabisan makanan, kami memakan sesuatu yang dipanggil Doharan, seperti daun teratai.

Kami keluar mencari makanan tetapi selalu pulang tangan kosong. Pada suatu hari ramai orang berkerumun untuk mengambil daging kerbau yang telah tertembak oleh mesingan pesawat. Bila ayah dan nenek sampai di situ, hanya tinggal tulang. Tetapi walaupun tulang masih boleh menjadi makanan sedap, maka mereka memotong dan memikul balik tulang tersebut.

Pada waktu ini kami memang tidak mendapat zat langsung. Adik perempuan saya yang berumur 3 tahun tidak dapat berjalan. Oleh itu emak yang menyimpan gula hitam entah di mana, memberikan sedikit seorang gula hitam tersebut.


Banyak kisah yang saya dengar, anak-anak dibuang dan lain-lain. Kami tekad untuk menyerah diri kerana lebih jauh dari 20 km seperti sudah tidak ada harapan. Sewaktu kami turun ada anak yang telah tumbang dan sudah mati di atas ibunya. Di tepi jalan banyak mayat termasuk ayat askar. Mungkin mereka mati kelaparan. Mereka telah berkumpul di tebing sungai dan mati di situ. Mungkin mereka sangat memerlukan air di penghujung hayat mereka. Mayat telah diselubungi ulat, mengerikan. Bukankah itu pemandangan di neraka?

Mereka yang agak sihat, akan mengambil kasut mereka yang telah mati dan memakainya.
Selepas beberapa ketika, kami juga berjumpa askar yang telah lari dari pasukan, bertelanjang dengan hanya membalut perut, dan memakai topi pertempuran. “Serahkan apa yang kamu ada!” mereka mengugut sambil makan kacang. Ada juga yang telah menjadi pencuri sebegitu.

15hb April saya rasa, pesawat Amerika terbang berhampiran dan menjatuhkan risalah. Beratus-ratus keping agaknya dijatuhkan, berkilauan sangat cantik. Bila saya lihat risalah itu, ia ditulis dalam bahasa Jepun, “Wahai pemuda, jangan kamu mati sia-sia seperti anjing.” Segera menyerah, begitu perintahnya.

Begitu pun ramai yang masih tidak mahu keluar dari hutan. Kalau keluar pasti akan dibunuh. Kami diajar bahawa askar Amerika adalah syaitan yang jahat, kalau kami tertangkap pasti kami akan dibunuh beramai-ramai.

Menyerah diri
Tetapi kami tetap turun untuk menyerah diri. 
Setelah berjalan menyeberangi satu jalan, saya terdengar bunyi, rupanya ia adalah seorang askar berkulit hitam memakai baju penyamaran berwarna seperti daun kanabis Manila sedang berdiri di situ.

Itu adalah barisan pertama tentera Amerika. Orang-orang Amerika membuat lapangan bola keranjang dan sedang bermain bola keranjang. Mungkin perang telah tamat hampir satu bulan, walaupun begitu mereka kelihatan begitu tenang.

Kami diberi ration (rangsum) setelah beberapa bulan tidak dapat makanan. Banyak benda terdapat di dalamnya, ada sosej, gula-gula getah, rokok 3 batang dan lain-lain lagi.


Setelah itu kami dibawa ke kem Daliao lebih sebulan saya rasa. Sehingga itu kami tidak makan apa-apa, hanya makan rumput Doharan sahaja, jadi setelah kami makan makanan yang diedarkan ramai orang keracunan makanan dan ramai yang meninggal dunia, sejak saya datang ke kem tahanan itu.

Penghantaran pulang ke Jepun
Oktober 1945, kami akan dihantar pulang ke Jepun. Kami menaiki trak dan pergi hingga ke tepi pantai. Terdapat 2 atau 3 buah kapal perang, dan kami telah dihantar pulang dengannya.

Kami melalui Leyte dan sampai ke Leyte di waktu malam, esok pagi bila saya lihat, penuh kapal perang Amerika di pelabuhan Leyte.
Setelah itu kami berlepas ke Jepun, ada juga yang mati di pertengahan jalan. Setiap kali seseorang mati, akan diadakan upacara pengebumian, skuad penghibur akan menyanyikan lagi pengebumian, mayat dibalut dengan selimut tentera laut dan akan dicampak ke dalam laut. Setelah itu kami akan mengelilingi kawasan itu sekali dan meneruskan perjalanan ke Jepun. Banyak kali upacara ini berlaku, maka kami tiba ke Kagoshima setelah 2 minggu berlalu.

Mengenang kembali peperangan itu
Kita boleh menakluk dengan kekuatan senjata tetapi tidak boleh merubah perasaan seseorang. Tetapi kehidupan boleh berubah walaupun perasaan tidak berubah. Waktu itu oleh kerana saya adalah belia negara tentera maka saya sangat percaya bahawa peperangan itu adalah perkara biasa. Lihat, pendidikan itu boleh menjadi sesuatu yang menakutkan.