LANGUAGE

LANGUAGE

Gadis kecil yang melarikan diri ke sana-sini dari medan perang berseorangan, dan keperitan di rumah anak yatim

”Gadis kecil yang melarikan diri ke sana-sini dari medan perang berseorangan, dan keperitan di rumah anak yatim”

Pn. Yoko Kamiya, 80 tahun
(Asal: Pulau Tsuken, Katsuren-cho, Okinawa)


Semasa serangan udara 10hb Oktober
Semasa serangan udara 10hb Oktober, kelihatan sangat kecil dari jauh pesawat berwarna putih, sejurus selepas itu 2 buah pesawat telah tiba.
Emak berkata, “Perang akan bermula, Yoko mari ke mari. Itu adalah pesawat perang”. Saya yang tidak pernah melihat pemandangan sebegitu dan tidak faham apa itu perang, membuat bising dengan kawan-kawan, separuh teruja.

Ketika melarikan diri
Kami melalui Madanbashi, dari Nesabu, masuk ke dalam hutan dan terus masuk jauh ke dalam hutan.
Sehingga itu kami tidak risau tentang makanan kerana emak membuat Onigiri menggunakan miso minyak. Tetapi selepas itu, semua barang makanan kami habis dirampas oleh tentera Jepun.

Setelah beberapa hari, serangan menjadi semakin dahsyat, banyak mayat bergelimpangan di kiri kanan jalan. Ada mayat yang terkeluar organ dalaman, hinggakan kami terpaksa memijak hancur ia setiap kali melaluinya. Jalannya tidak cantik seperti hari ini, ada juga pemandangan di mana seseorang cuba untuk mengembalikan organ dalamannya yang telah melekat dengan kotoran kembali ke dalam perut.


Kematian emak
Emak juga telah terkena bom. Saya tidak ingat kiri atau kanan, tetapi pipi dan tangan kiri emak tercedera. Entah bagaimana kami berjaya sampai ke hospital tentera di Haebaru.
Di situ, puluhan tentera Jepun diusung tiba seorang demi seorang. Ramai yang telah mati. Kami pula tidak dibenarkan masuk ke situ.

Di parit perlindungan
Kakak-kakak jururawat pergi ke hospital tentera, menolong membalut balutan. Apabila kerja selesai mereka menyanyi-nyanyi di pintu masuk parit perlindungan. Semasa mereka sedang berehat meriam kapal tentera Amerika telah dilancar.
Emak dan adik yang terkena bom mati serta-merta. Jika diingat kembali, perkataan terakhir dari mulut emak adalah, “Yoko, mari tidur di sini,” dan, “Mari ke sini”. Saya menjawab, “Ya emak,” dan terus terlelap di sebelah emak. Saya tidak ingat setelah berapa lama, mungkin kami telah dijumpai pesawat peninjau tentera Amerika. Lalu bom telah digugurkan berhampiran. Emak dan adik yang berada bersebelahan telah terkena serpihan bom. Saya juga bermandikan cebisan daging manusia.

Pintu masuk parit perlindungan telah roboh. Di dalam terdapat ramai pelarian yang berhimpit-himpit.
Ada seorang pakcik telah membuka pintu masuk yang telah roboh itu. Saya yang baru kehilangan emak hanya menangis tidak tahu berbuat apa-apa. Saya telah ditarik keluar oleh seseorang. Saya terdengar suara berkata, “Semua yang hidup tolong keluar, pintu masuk telah terbuka.” Malangnya apa yang berlaku selepas itu kepada mereka yang keluar dari parit perlindungan lebih teruk lagi.

Bayangkan kami yang hidup tanpa apa-apa kesusahan sebelum ini disebabkan oleh perang telah kehilangan emak. Saya juga cedera di tulang rusuk. Makanan dan air juga tiada. Luka di rusuk menyebabkan saya demam panas. Ulat telah menggigit daging saya, sangat sakit.

Semasa melarikan diri bersama satu keluarga
Setelah itu, saya mengekori satu keluarga seramai 7 hingga 8 orang. Saya yang menangis tidak henti berkata sambil berjalan, “Emak saya takut, emak tolong…” Saya telah dimarahi, “Jika kamu menangis semua orang dapat susah, jangan menangis di sini!” dan saya telah disuruh “Pergi ke sana!”

Setelah itu keluarga itu masuk ke dalam satu rumah besar dan makan di dalamnya. Entah kenapa saya yang mengintai mereka di dalam untuk melihat keadaan mereka makan telah dimarahi oleh seorang pakcik, “Jika kamu menangis di sini, kami juga akan turut dibunuh, pergi!” Saya tidak ada orang lain melainkan keluarga ini. Saya pergi ke belakang rumah itu dan masuk ke dalam kendang babi kecil. Saya fikir jika mereka bergerak saya akan ikut dari belakang. Lalu saya mengintai mereka dari celah lubang. Sebaik saya nampak mereka bom telah digugurkan dari atas rumah itu. Hingga wujud lubang besar kesan dari meriam kapal.
Jika saya fikir semula, jika waktu itu mereka kasihankan saya dan mengajak saya masuk, saya juga akan turut dibom pada waktu itu.



Pelarian diteruskan
Setelah itu serangan bom tentera Amerika menjadi semakin dahsyat. Saya nampak api merah dari kapal kemudian meriam akan meluncur tiba.
Saya ingin melarikan diri, tetapi takut. Saya mencari rumah orang, tetapi tidak berjumpa sesiapa. Di Okinawa ada kubur yang dipanggil kubur belakang penyu. Mereka mengeluarkan tulang dari dalam kubur dan bersembunyi di situ.
Saya menangis di pintu masuk kubur itu, “Tolong emak saya telah mati dibom,” tetapi mereka menjawab, “Sini telah penuh.” Saya fikir dapat masuk ke pintu masuk pun sudah cukup, saya duduk di situ dan meminta tolong, tetapi mereka tidak menolong saya. Tiada siapa yang cuba membangunkan saya walaupun saya jatuh, walaupun dipijak.

Setelah itu saya terus mengembara ke sana-sini, tiada sesiapa. Adakah mereka bersembunyi, atau adakah mereka telah dibunuh, saya tidak tahu. Sana-sini saya lihat telah terbakar. 

Setelah itu dengan berkaki ayam, saya berjalan tanpa arah. Saya juga masuk ke Gama (parit perlindungan semula jadi).
Di tempat seperti tangga, saya tergelincir dan jatuh ke bawah, di situ ramai yang telah mati. Mayat bersepah-sepah. Ada juga mereka yang sedang mengerang. Saya tidak dapat naik ke atas semula, maka saya berada di situ sekitar 2 hari.

Kemudian saya telah sampai ke sebuah punca sungai. Ramai orang di situ hendak menyeberang sungai. Jambatan juga telah musnah dan banyak mayat bergantungan di jambatan itu. Walaupun begitu, sambil mengalihkan mayat, orang dewasa menolong wanita dan kanak-kanak menyeberang sungai itu.

Tiada siapa yang cuba memegang saya dan menolong saya menyeberang. Dengan terpaksa saya berpaut pada mayat dan cuba untuk menyeberang. Malangnya mayat itu mereput dan saya jatuh tenggelam, lalu saya berpaut pula pada mayat di sebelahnya. Begitulah berulang kali saya tenggelam timbul dan akhirnya saya berjaya menyeberang.

Setelah itu tanpa makan dan minum saya berjalan beberapa hari dan apabila saya duduk di sebuah Gama, seorang askar Jepun datang menghampiri. “Kakak jangan menangis, saya beri ini,” katanya. Dia mengeluarkan roti kering dari bungkusan putih dan memakannya dahulu sebelum memberi kepada saya. Sudah lama saya tidak dapat makanan sesedap ini, saya makan banyak dan sewaktu saya hampir terlelap datang lagi 2 orang askar Jepun kemudian. Mereka berkata, “Kalau kau makan ini, kamu tidak menyumbang kepada negara, serahkan kepada kami,” lalu mereka mengambilnya. Saya berkata, “Ini saya punya, pulangkan kepada saya!” Saya cuba berpaut dan meminta ia kembali. Saya telah ditendang dengan kasut kulit dan roti saya juga turut dirampas.

Semenjak itu saya menjadi takut kepada manusia. Saya juga demam panas kerana luka rusuk saya telah berulat. Setelah saya masuk ke pusat anak yatim itu barulah luka saya dirawat.


Menjadi tawanan
Semasa menjadi tawanan, ada seorang Jepun generasi kedua yang memberi saya sesuatu, “Kakak makan ini ya.” Saya fikir dia ingin membunuh saya dengan racun lalu saya menangis sambil menggoyangkan tangan, “Tidak mahu!” Kemudian orang itu membuka bungkusan dan dia pun memakannya. “Lihat, tiada apa-apa, kakak pun makan ya.” Saya pun mengambilnya dan makan. Ia adalah coklat yang sangat sedap. Saya tidak pernah pun makan makanan sesedap ini, saya menangis sambil makan.

Pakcik ini berkata lagi, “Di sana ada makanan, biskut pun banyak, mari kakak pergi bersama saya,” dan beliau memimpin saya. Tangannya hangat, saya dapat merasakan kehangatan hatinya. Sehingga kini saya masih ingat.

Di kem tahanan, terdapat beratus-ratus orang, mungkin beribu. Kami dibahagi-bahagikan kepada anak yatim, orang perseorangan dan keluarga. Saya telah dimasukkan ke dalam pusat anak yatim ini.
Ini adalah kisah semasa saya melarikan diri sebelum saya masuk ke pusat anak yatim ini. Di Okinawa bahagian selatan saya telah berjumpa seorang abang (berumur sekitar 14 atau 15 tahun, mungkin tahun 3 sekolah menengah rendah) yang membawa dua orang anak kecil. Abang itu menyuruh saya mendukung anak kecil yang sedang didukungnya. Jika saya tidak bergerak rambut saya akan ditarik, “Kenapa tak jalan, cepat jalan!” Saya dimarahi olehnya berkali-kali.

Saya tidak dapat berjalan kerana terlalu berat. Semasa abang ini pergi untuk membuang hajat, saya membuang tali penggendong itu dan melarikan diri ke dalam hutan. Tetapi dia berjaya mencari saya semula. Selepas itu saya melarikan diri lagi bila ada peluang, kali ini saya berlari bermati-matian.
Waktu melarikan diri itulah saya ditangkap oleh tentera Amerika.



Setelah masuk ke pusat anak yatim, saya terjumpa abang itu semula, dia memarahi saya setiap kali melihat saya. Dia berkata, “Kenapa kau lari waktu itu? Kenapa?” Kadangkala dia merampas susu atau bubur saya. Saya mengalami dehidrasi setiap hari dan saya fikir sudah tidak boleh tahan lagi. Saya bersembunyi di tempat mereka membuang kencing dan najis. Tidak lama, seorang cikgu perempuan membawa saya berjumpa doktor askar. Badan saya dibersihkan dan ubat diberi. Akhirnya luka saya pun sembuh.

Ada lebih kurang 11 pusat anak yatim di Okinawa.
Kami dihimpunkan setelah ditangkap. Saya beratur mengikut turutan di barisan paling hadapan, tetapi saya yang kecil tidak dapat naik ke atas trak besar, lalu saya berjalan berpusing-pusing di keliling. Saya dinaikkan ke dalam trak terakhir dan masuk ke pusat anak yatim ini.
Dalam keadaan saya yang begitu, jika saya dihantar ke pusat anak yatim di utara Okinawa, mungkin saya sudah mati sekarang. Oleh itu saya bersyukur dengan pusat anak yatim ini.

Mengenang kembali peperangan itu
Sering saya terfikir hingga sekarang, kenapa perlu berperang?
Saya rasa kita tidak perlu berperang, cukup kita berbincang dan menyelesaikan masalah. Yang penting kita mesti banyak belajar dan menggunakan segala ilmu dan pengetahuan yang kita kumpul.
Semua manusia adalah sama. Tidak kira orang berkulit hitam, berkulit putih, nyawa manusia semua amat bernilai. Ia lebih bernilai dari bumi ini sendiri. Saya berfikiran begitu.
Orang yang telah mengalami peperangan seperti saya tidak akan membenarkan ia berlaku sekali lagi.