LANGUAGE

LANGUAGE

Tajuk “Semua telah dibawa pergi, dituduh sebagai perisik” ~ Ayah saya dtuduh sebagai perisik dan dibunuh kejam oleh askar Jepun~

Tajuk "Semua telah dibawa pergi, dituduh sebagai perisik"
~ Ayah saya dtuduh sebagai perisik dan dibunuh kejam oleh askar Jepun~

Nama: Puan Masako Nakamoto (21仲本政子)
Tarikh Lahir: 20hb Januari 1941
Tempat Lahir: Kampung Yomitan
Pada Masa Itu: Ibu/ Anak-anak (0-5 tahun),

■ Adakah anda masih ingat tentang perkara yang berlaku ketika anda sekeluarga mencari perlindungan?
Bapa saya, telah menaikkan berpuluh-puluh wanita dan kanak-kanak ke atas kereta kuda dan menariknya. Saya masih ingat bapa saya berkata, "tempat ini sudah jadi medan perang, mari kita pergi ke tempat yang selamat", dan membawa mereka semua pergi.
Saya duduk dengan bapa saya di bahagian paling depan kereta kuda. Sambil saling memberi soalan kuiz. Contoh kuiz yang ditanya oleh ayah, "Hmm, binatang apakah yang segera terbang setelah digigit?". Pepijat? Kamu tahu maksud pepijat? Generasi sekarang, mungkin tidak tahu. Zaman dahulu, pepijat atau kutu adalah perkara biasa. Perjalanan kami penuh dengan perbualan perkara seumpama itu.
Pada satu ketika, perjalanan dengan kereta kuda menjadi semakin bahaya, lalu kami tinggalkan kereta kuda, dan kami berjalan kaki mengikut jalan gunung. Walaupun saya berumur 3 tahun setengah, ketika berjalan mendaki jalan yang beralun, ayah telah berulang kali memuji saya, "Mako-chan, hebat, hebat,". Ibu pula, menggendong adik di belakangnya, sambil juga membawa barang-barang, ibu tidak dapat memimpin tangan saya. Saya dipuji ayah berulang-kali, dipuji oleh ayah. Malah sehingga kini, suara ayah pada masa itu, masih lagi kedengaran. Saya tidak tahu rupanya bagaimana, tetapi masih kedengaran suaranya sehingga sekarang.

■ Adakah anda masih ingat keadaan ketika hidup berlindung di pergunungan?
Sebelum ditangkap oleh tentera AS, tiada makanan atau apa-apa lagi yang tinggal. Kami membunuh kuda, dan membahagi-bahagikannya kepada semua orang. Oleh kerana hari itu adalah hari jadi saya, ayah telah memberikan daging kuda yang besar, kepada saya terlebih dahulu. Sempena hari lahir itulah, daging seekor kuda, telah diagihkan kepada semua, dan nampak seperti dapat melegakan keadaan sedikit.

■ Adakah anda ingat kejadian(Tonokiya) pada hari itu?
Pada masa itu, saya sedang tidur. Ketika tidur, saya telah dikejutkan di tengah-tengah malam.
Ada panggilan, "Baiklah, semua, mari kita pergi ke tempat berkumpul", dan kami telah diarah pergi ke tepi laut. Waktu itu, kami dimaklumkan bahawa tentera Jepun ada menyatakan, "ada berita baik, ada berita baik".
Di hadapan sana, ada kira-kira 10 orang sedang berbaris. Di belakang pula, ada kira-kira 5 orang yang berbaris.
Tentera Jepun, ingin membunuh semua orang, dan melemparkan kira-kira 5 butir bom tangan. Mereka melemparnya dengan arahan, "1, 2, 3". Orang yang berbaris di belakang, telah melarikan diri ke gunung yang ada di belakang, manakala orang yang berada di hadapan pula, melarikan diri ke gunung ini. Saya tidak tahu bagaimana situasi ketika bom tangan itu dilemparkan. Saya berada betul-betul di bahagian belakang. Bom tangan itu meletup di tengah-tengah kumpulan itu, tetapi luka saya yang paling teruk.

■ Dengan siapa anda pergi ke sana?
Saya bersama-sama dengan ibu. Dengan ibu, abang, dan adik perempuan saya Toyoko semuanya empat orang.
Ayah pula, telah dibawa pergi di tengah-tengah malam.

■ Bapa anda telah dibawa ke mana?
Itu saya tidak tahu.

■ Siapa yang telah membawa bapa anda pergi?
Askar Jepun. Bapa saya dibawa pergi oleh 5 orang. Jadi, dia sendiri, sudah ketahui yang dia akan mati. Dan bapa saya meminta kepada askar-askar Jepun, "Tolong jangan usik isteri, dan anak-anak saya". Dia merayu melutut. Kepada seorang askar muda. Yang kelihatan seperti anaknya sendiri. Dia telah meminta, "Saya tak kisah dengan apa yang akan berlaku kepada diri saya sendiri, cuma tolong selamatkan anak-anak dan isteri saya".

■ Mengapa ayah anda dibawa pergi oleh tentera Jepun?
Sebenarnya semua orang telah dibawa pergi. Mereka kata kami perisik. Kami bukannya perisik, tetapi dituduh sebagai perisik. Tentera Jepun berkata, "kami sahaja yang menderita begini, tetapi kamu semua makan makanan yang baik-baik". Adakah ini tentera Jepun rasa geram kerana kekurangan makanan, atau iri hati? Peperangan itu keji. Peperangan juga melahirkan syaitan.

■ Adakah abang yang telah menjumpai bapa yang telah terbaring?
Betul. Dia dan juga ibu, mereka berdua yang jumpa.

■ Adakah anda tahu keadaannya ketika itu?
Pada leher ayah saya, terdapat banyak kesan tikaman pedang pendek. Pada kakinya pula, lubang telah ditebuk di bahagian lutut kononnya untuk melambangkan bendera Jepun. Dalam keadaan dia membengkokkan kaki, dalam kedudukan begini, mereka telah menusukkan pedang itu. Dengan tidak melunjurkan kakinya. Begini, seperti ini. Pastinya ia sangat menyakitkan. Adakah mereka lakukannya setelah bapa saya mati? Tidak, saya rasa mereka lakukan ketika dia masih hidup. Kerana abang dan ibu mengatakan bahawa, ayah telah menjerit dengan suara yang kuat.

■ Setelah melihat keadaan ayah, apa yang dilakukan oleh ibu anda dan semua?
Ayah, telah dibawa pergi, ke sana. Jaraknya tidak berapa jauh dengan kami.
Kami juga, telah dipaksa untuk pergi ke laut. Semua orang.
Hanya jeritan suara dan, perasaan pelik "Suara itu, rasanya mirip seperti suara suami saya", itu sahaja yang masih ada diingatannya.
Saya fikir, jika ayah atau ibu, telah berdosa, kalau terima balasan sebegini pun mungkin itu hakikat yang wajar , tetapi walaupun mereka tidak melakukan sebarang kejahatan, bapa tetap dibunuh. Selepas itu, ibu jadi hilang akal, abang pun sama. Memang tidak boleh dimaafkan. Hanya satu alasan mengapa saya tidak menjadi hilang akal, pada masa itu, saya tidak tahu tentang peperangan, saya juga tidak melihat mayat ayah, jadi, saya rasa itulah sebabnya saya masih waras. Mungkin kerana kecederaan yang saya alami.
Jika, saya ada melihat mayat ayah, pada masa itu, walaupun dalam usia empat tahun, saya dapat bayangkan perasaan itu, dan saya rasa saya juga akan menjadi hilang akal.

■ Adakah anda bermaksud, abang dan ibu telah melihat sendiri mayat itu.
Betul. Malah kini, abang masih kata, "saya akan tikam hingga mati". "Kalau saya jumpa, saya akan hapuskan semua orang-orang Jepun". Saya kata, "itu disebabkan perang", dan "itukan perang", dengan segala upaya, saya cuba untuk menenteramkan hati abang tetapi tidak berjaya. "Kamu juga berpakat dengan tentera Jepun", katanya.
Perbuatan itu amat kejam. Habis, batu dan berbagai benda disumbat ke dalam mulut bapa, supaya dia tak boleh bercakap.

■ Apa terjadi kepada adik perempuan yang ada bersama anda?
Adik perempuan saya, digendong oleh ibu. Saya dipeluk di sini. Abang pula dipeluk di sini. Adik pula digendong di tengah-tengah. Adik perempuan saya, tiba-tiba saja, telah jatuh terlentang. Pada masa itu, ibu dan saya sendiri tidak tahu. Kerana terlalu ramai orang di sekeliling kami.
Orang yang berada di sebelah abang telah putus kaki, dan datang menghampiri abang. Begini, dia datang. Entah bila, orang itu diam kerana telah mati rupanya. Abang saya, selalu menceritakan perkara ini. Masih kanak-kanak lagi berusia lebih kurang 7 tahun. Dia mungkin muda satu tahun dari abang saya.
Penuh mayat, bertimbun-timbun.

■ Apakah yang terjadi kepada adik perempuan anda seterusnya?
Adik perempuan saya, tanpa saya ketahui, telah meninggal dunia. Di mana, adik perempuan saya dikebumikan pun, saya tidak tahu. Bagaimana dia meninggal, itu juga saya tidak tahu sampai sekarang. Debu tulang adik pun tidak dapat dipungut.



■ Anda masih ingat yang pada masa itu, anda telah cedera?
Saya telah berlumuran dengan darah, saya fikir kenapa agaknya.
Kemudian, setiap hari-hari berikutnya, terasa sangat pedih. Setiap hari, serpihan bom tangan akan keluar, doktor akan periksa, dan buangkan serpihan itu. Tetapi, kerana terlalu sakit, sampai tak boleh nak menangis. Doktor tersebut, akan mengambil serpihan itu, macam itu sahaja. Boleh anda bayangkan. Kerana asyik menangis, doktor berkulit hitam itu mempelawa, "makanlah coklat ini", saya jawab, "saya tidak makan makanan daripada musuh". Lalu, doktor berkulit hitam itu makan sendiri, dan berkata, "sedap ini" sambil menunjukkan kepada saya. Saya juga, apabila masukkan coklat ke dalam mulut, rasa sungguh manis. Hari-hari berikutnya, sebab mahukan coklat, saya pergi lagi untuk membuangkan serpihan yang tinggal. Perangai budak-budak. Pada masa itu.
Sekarang pun, serpihan bom tangan tersebut masih ada tertinggal dalam badan, masih kelihatan serpihan itu.