LANGUAGE

LANGUAGE

Peristiwa di medan perang Pulau Ie

"Peristiwa di medan perang Pulau Ie"
Puan Kiku Tamaki (08玉城キク)
15hb Ogos 1928, berusia 17 tahun pada masa itu

Pagi itu, kedengaran bunyi yang dahsyat dari arah bandar Naha. Saya ingatkan bunyi petir. Bunyi itu semakin lama semakin dekat. Dalam sekelip mata, langit di Pulau Ie dilitupi dengan pesawat terbang. Skuadron dengan 4 kapal terbang. Skuadron-skuadron itu berpusing sebanyak 2,3 kali di ruang udara Pulau Ie. Mulanya saya ingatkan latihan tentera Jepun. Tetapi, setelah saya meneliti keadaan itu, saya dapat melihat simbol bintang di pesawat tersebut. Sejurus kemudian saya pasti bahawa kapal terbang tersebut kepunyaan tentera Amerika. Saya menjerit dengan suara yang kuat, "serangan udara". Tetapi, anggota pertahanan yang berada berdekatan dengan saya berkata, "Bodoh, itu rakan tentera kita. Latihan sedang dijalankan". Saya menjerit ke arah anggota pertahanan itu, "Bukan, pesawat itu ada simbol bintang.".

Saya menjerit dan pada hampir masa yang sama, serangan dengan bom api, bom dan tembakan pun bermula. Rumah kuarters yang bersebelahan dengan lapangan terbang dan orang-orang yang tinggal di situ menjadi sasaran serangan. Keesokan harinya, saya cuba meninjau ke tempat kejadian. Rumah kuarters telah dibakar, penghuni-penghuni telah hangus terbakar, seperti kambing panggang. Tubuh badan mereka patah riuk dengan tulang keting dan tangan mereka bengkok. Mayat mangsa bom bertindih-tindih dan bergelimpangan dengan banyak. Keadaan mayat-mayat itu amatlah tragis.

Saya tidak dapat melarikan diri ke daerah Kabira, tetapi menyembunyikan diri di lubang perlindungan yang lain. Saya mempunyai adik perempuan yang berusia 3 tahun dan 1 tahun setengah. Adik-adik saya menangis kuat. Disebabkan itu, mereka yang berlindung di tempat yang sama itu berkata, "Bunuh kanak-kanak ini.". Saya tiada niat untuk membunuh adik-adik saya. Jadi, kami pun keluar dari lubang persembunyian, dan menyembunyikan diri di sebalik pokok. Orang-orang yang lalu lalang di situ berkata, "Jika anda berada di sini, nyawa anda tidak akan tahan sampai esok. Sekejap lagi akan mati.". Lalu kami menuju ke daerah Maja bersama-sama mereka.

Di daerah Maja, terdapat satu kumpulan yang terdiri daripada 5,6 orang wanita yang tidak melarikan diri tetapi memilih untuk tinggal di situ. Daripada dibunuh oleh tentera Amerika, mereka merancang untuk pergi menyerang dan mati bersama-sama. Seterusnya, kami menuju ke kem tentera Jepun yang dibina di sebelah utara sebuah rumah api yang terdapat di pulau itu. Oleh sebab kami pernah membantu kerja-kerja pembinaan kem tersebut, kami kenal askar-askar di situ. Dipendekkan cerita, kami merayu agar dibenarkan menyertai serangan bersama askar-askar di situ. Tetapi kapten menjawab, "Bom tangan habis kerana telah diagihkan kepada orang lain. Kamu semua jagalah keluarga masing-masing. Kalau sudah tidak boleh buat apa-apa lagi, kamu terjunlah dari tebing tinggi.". Jadi, dengan berat hati, kami kembali ke tempat asal, dan nyawa kami terselamat.