LANGUAGE

LANGUAGE

Pendaftaran untuk Pasukan Pelindung Tanahair

Pendaftaran untuk Pasukan Pelindung Tanahair

Nama : Encik Chotoku Yoshihama (07吉浜朝徳)
Tarikh Lahir : 10 November 1927
Tempat Lahir : Kadena-cho
Pada masa itu : berusia 18 tahun, pasukan pelindung tanahair

■ Latihan peperangan gerila
Saya telah memasuki pasukan pelindung tanahair pada 1hb Mac 1945. Pusat pasukan ini adalah di sekolah awam Atsuta, Kampung Onna.
Latihan yang diadakan adalah teramat lasak.
Bangun pada pukul 5 pagi. Kami terpaksa berlari ke sungai yang mengalir di kampung untuk membasuh muka kerana tidak ada bilik air. Bangun pukul 5, berlari ke sungai, balik sambil menyanyikan lagu perang dan terus bersarapan.
Selesai sahaja bersarapan, kami terus dipanggil untuk melaporkan diri. Setelah selesai, latihan khas akan bermula.
Oleh kerana kami adalah pasukan gerila, kami akan menjalani pelbagai latihan gerila. Contohnya, pergerakan secara senyap dan penyusupan, dan latihan-latihan yang tidak diberikan kepada askar biasa, termasuklah latihan mengenai letupan. Secara khususnya, kami lakukan latihan bergerak tanpa bunyi, dan menyelinap masuk ke dalam kawasan musuh.
Dalam latihan letupan, kami berjalan sambil memikul bahan letupan seberat 10 kilogram. Latihan dilakukan di laut, di luar pantai ketika air surut. Kami tidak diajar teori atau diberi sebarang arahan bertulis. Cuma latihan praktikal dijalankan. Ada juga kes di mana terletup semasa latihan dijalankan. Mereka gagal mengendalikan bahan letupan dengan betul. Sebilangan pelatih mati ketika latihan.
■ Masuk perang gerila
Selepas tamat latihan, saya ditempatkan di gerbang Onnamo, Kampung Onna. Saya pernah pergi menyusup masuk dan meletupkan kereta kebal dan trak tentera Amerika.
Selain itu, pada waktu yang lain, saya berjaya menyusup masuk dan meletupkan berek tentera Amerika yang terletak di Sekolah Awam Onna. Tetapi ketika saya sampai di sana, tentera AS sudah meninggalkan tempat tersebut. Waktu itu misi kami gagal, tidak dinafikan ada juga pengalaman sebegitu.
■ Kematian rakan
Kenangan yang paling tidak dapat saya lupakan adalah kejadian yang menimpa rakan-rakan saya yang melakukan persiapan untuk menjalankan operasi. Kami biasanya bersembang-sembang di sebelah pagi. Apabila tersedar, saya nampak mereka terbaring berlumuran berdarah, dan jasad mereka sudah sejuk. Perkara sebegini biasa terjadi setiap kali menjalankan operasi,dan saya tidak dapat lupakan kejadian ini. Saya masih ingat lagi nama-nama mereka semua.
Contohnya, Chotoku Ogimi yang berasal dari Kampung Ogimi. Hubungan kami sangat baik. Ketika dia meninggalkan kami selamanya, saya benar-benar hampa, sehingga sekarang, saya masih mengenangkannya.

■ Kapten Dari Sekolah Nakano
Kapten kami adalah seorang pegawai graduan dari Sekolah Nakano.
Komander batalion kami adalah kapten yang bernama "Hisashi Iwanami". Komander kompeni adalah leftenan yang bernama "Tomomichi Hata". Ramai ketua platun berasal dari Okinawa.
Kami dilatih supaya mematuhi arahan pegawai atasan. Oleh itu, kami patuh segala arahan yang diberikan. Jika berlaku pertempuran kombat (pertempuran jarak dekat), kami tidak dapat mendengar apa-apa kerana dalam keadaan berbalas tembakan, ketika itu kami hanya ikut arahan pegawai atasan.
Mungkin tidak akan saya lupakan seumur hidup saya pertempuran di Gunung Sankaku dalam kawasan pergunungan Onnadake. Kerana pertempuran sia-sia yang dimulakan oleh ketua platun, ramai rakan-rakan saya yang tumbang. Rakan seperjuangan saya sejak sekolah rendah sehinggalah memasuki tentera turut terkorban. Dia cedera parah di bahagian dada.
Kami banyak bertempur sehinggalah sekitar awal bulan Mei. Kemudian kami menggunakan strategi gerila, di mana kami masuk ke kawasan musuh pada waktu malam untuk menjalankan serangan. Kami berundur pada separuh kedua bulan Jun. Kami terpaksa meninggalkan kubu dan berundur ke Higashimura kerana kehabisan makanan dan peluru.
Pasukan yang terakhir telah dibubarkan di Higashimura. Terakam dalam ingatan saya, daripada sejumlah 370 anggota, cuma tinggal lebih kurang 200 orang.
(Saya tidak sedar yang Komander Ushijima telah membunuh diri di Mabuni pada 23hb Jun kerana maklumat tidak disampaikan kepada kami).
Kami terputus hubungan dengan rakan-rakan di Shimajiri, dan tidak tahu apa-apa mengenai keadaan peperangan. Saya dapat tahu bahawa Jepun telah menyerah kalah pada 15hb Ogos daripada risalah yang ditabur oleh kapal terbang. Risalah itu disampaikan kepada kami melalui orang yang telah mengutipnya. Setelah membaca risalah tersebut, kapten pun memutuskan supaya "Kalian semua menyerahkan diri", "Sebagai pegawai tentera Jepun yang bermaruah, kami akan menghukum diri kami. Kalian yang lain, pergilah menyerah diri.", Setelah itu, kami keluar dari hutan.
■ Perang gerila berlangsung sehingga September, tanpa menyedari komander telah membunuh diri pada bulan Jun
Cuma tinggal kami berempat: ketua platun dan askar-askar yang berasal dari Nakagami.
Setelah dibubarkan, kami bersembunyi di dalam pondok, kami cuma menyerah diri ke kem tahanan pada bulan September.
■ Perbicaraan tentera Amerika tiga kali sehari
Kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan ketika keluar dari hutan untuk menyerah diri. Kami bersembunyi di dalam loteng rumah orang dan di pelbagai tempat. Pada suatu malam yang berkabus, bayangan bulan yang cantik terpancar di sungai kawasan Taira, Haneji.Kami berempat keluar untuk menikmati pemandangan sungai.
Ketika kami tidak sedar, dengan tiba-tiba, seorang MP tentera Amerika (polis tentera) mengacukan senapangnya di belakang kami. Kami dibawa ke penjara tahanan, dimasukkan ke dalam jeriji besi (bilik pengasingan) dan dibicarakan sebanyak 3 kali sehari. Mereka menuduh bahawa kami adalah tentera Onnadake, dan dibicarakan sebanyak 3 kali sehari. Akhirnya, kami dilepaskan kerana kami hanya anggota tentera pelatih.