LANGUAGE

LANGUAGE

“Perasaan lali walaupun lihat mayat” – apabila perang tercetus, semua orang kehilangan waras-

"Perasaan lali walaupun lihat mayat" – apabila perang tercetus, semua orang kehilangan waras-

Encik Zenichi Yoshimine (40吉嶺全一)
Lahir pada 10hb November 1932
Pada masa itu berusia 12 tahun, pelajar sekolah awam
Penemuramah: anak, cucu

○Ragu tentang kekuatan Unit Serangan Khas
Di pintu masuk selatan Istana Shuri-jo, terdapat pintu masuk tentera Jepun. Dari situ keluar seorang tentera Jepun dan mengumumkan, "Unit Serangan Khas dah sampai". Dan guru-guru di sekolah pun berkata, "Jika Unit Serangan Khas dah sampai, semua kapal perang Amerika akan dimusnahkan", dan saya fikir, "Dengan ini semua akan berakhir." Kemudiannya, semua orang di Shuri, termasuk datuk dan nenek mula melihat ke arah Nara dalam keadaan gelap gelita itu.
Kami melihat suasana peperangan di mana kapal-kapal perang berlabuh di permukaan laut Naha dengan harapan “Semua akan dihancurkan.”. Apabila kapal terbang tentera Jepun menyerang, beratus-ratus serangan balas dari kapal perang Amerika berlaku serentak. Serangan itu sangat dahsyat dan menyebabkan laut Naha menjadi lautan api. Di antaranya, ada yang menuju ke arah kapal perang musuh, dan meletup.
Mulanya kami bersorak gembira, "Kita berjaya, kita berjaya", tetapi tidak lama selepas itu tiada bunyi yang kedengaran, kerana semuanya telah ditembak jatuh. Kemudian mereka mula melepaskan tembakan ke arah Shuri, dan kami terpaksa lari sekuat hati.
Pada keesokan pagi, ketika melihat keadaan Naha, bukan sahaja tiada sebuah kapal perang Amerika yang lenyap, bahkan semuanya masih ada. Guru-guru telah berkata, “Jika Unit Serangan Khas datang, semua kapal perang Amerika akan dimusnahkan”, tetapi akhirnya pasukan Amerika langsung tidak mengalami sebarang kerosakan, dan ini menyebabkan saya meragui kekuatan Unit Serangan Khas.

○Kawasan untuk pelarian berkumpul di Mabuni telah dihujani peluru
Di tengah-tengah malam, tiba-tiba peluru terbang para,para,para ke arah bukit di Mabuni. Terdengar suara orang yang sedang nazak, "Aku dah kena.", "Tolonglah aku", "Aduh sakit, aduh sakit", terdapat suara kanak-kanak dan wanita menangis meraung-raung. Ramai orang telah dikejar dan dikepung sehingga ke semenanjung Kyan yang kecil itu. Kami juga lari dan cuba untuk bersembunyi di tempat perlindungan serangan udara. Terdapat beberapa tempat perlindungan serangan udara, tetapi semua tempat telah dipenuhi ramai orang yang bersembunyi dan tiada tempat untuk kami 3 beranak masuk.

○Tempat ambil air dijadikan sasaran dan banyak mayat bergelimpangan
Air adalah sumber kehidupan. Semua orang berusaha untuk menimba air. Mereka bermati-matian untuk menimba air sambil memerhatikan pergerakan kapal perang. Ketika saya cuba untuk menimba air, saya ditolak ketepi oleh orang-orang dewasa dan tidak dapat menimba air. Dan pada ketika itu, apabila saya toleh ke belakang dan melihat ke arah laut, saya dapat rasakan bala akan menimpa, lalu cepat-cepat saya lari ke arah batu besar. Tidak lama kemudian, tempat ambil air itu diserang.
Keesokan hari, pada waktu yang agak tenang untuk pergi menimba air, saya dapati kawasan sekelilingnya dipenuhi dengan banyak mayat. Dan ada yang mati dengan menjulurkan kepala ke dalam mata air. Kawasan itu dipenuhi dengan darah, dan mayat-mayat bertimbun-timbun.

○Nyaris terkena peluru meriam
Kawasan sekitar lubang persembunyian kami menjadi lapang tembakan meriam dan sebatang pokok pun tiada. Walau bagaimanapun, terdapat satu batu besar di hadapan lubang tempat kami bersembunyi dan ia tetap kukuh walau diserang secara berterusan dari arah laut.
Selepas beberapa ketika, kami nampak kapal-kapal perang datang. Tanpa berlengah, kami menuju ke dalam lubang persembunyian, ketika itu tubuh kami merasa satu kuasa tekanan yang sangat kuat, selepas itu, suasana menjadi gelap dan senyap. Sejak melarikan diri ke lubang persembunyian,sepanjang hari kami diserang dengan hebat, di dalam keadaan gelap itu, tiada apa yang kedengaran, yang menyebabkan saya tidak tahu saya masih hidup atau tidak. Setakat ini saya telah melihat banyak mayat, walaubagaimanapun, saya telah menerima hakikat yang mungkin saya akan terbunuh dan kali ini saya sangka ajal saya telah sampai.
Tetapi, bila saya terus duduk di situ, suasana menjadi terang dan penglihatan saya kembali sedikit demi sedikit, pada ketika itu saya sedar yang saya masih hidup.
Kemudian, ibu yang berada di dalam lubang bersama saya telah bangun dan terkebil-kebil, saya dapati, mukanya hitam terkena asap meriam. Apabila saya sentuh mukanya, saya dapati serpihan daripada batu besar yang berada di hadapan lubang (batu kapur Ryukyu) telah tertusuk di mukanya akibat tekanan yang kuat daripada serangan itu. Sehari suntuk kami buangkan serpihan itu. Dengan adanya batu besar itulah kami sekeluarga telah terselamat. Ada 5,6 orang yang berlindung berdekatan kami tetapi semuanya telah mati akibat serangan itu.

○Terpaksa melangkah atas mayat untuk mencari makanan
Sejak itu, sangat susah untuk saya keluar. Sekitar pertengahan Jun, ibu yang selalu pergi menggali ubi bersama-sama, tiba-tiba berkata "Sudah, saya tidak mahu pergi menggali ubi". Sebabnya ialah terlalu banyak mayat yang bergelimpangan di sana sini, dan mayat-mayat itu akan hancur bertaburan setiap kali terkena peluru daripada serangan. Banyak kali ibu tergelincir kerana terpijak benda yang licin, tidak tahu samada cebisan mayat atau entah apa. Kerana itu, ibu menyatakan, “Walaupun mayat, ia tetap manusia dan saya tidak sanggup melangkah atas jasad orang lagi”.

○Perasaan terhadap mayat mula lali
Masa itu, saya sangat lapar, tiada apa yang menarik perhatian saya selain daripada makanan seperti ubi, tebu, air dan lain-lain. Kalau ada mayat sekalipun, saya cuma rasa “Oh, sudah mati”.
Suatu ketika, ibu berkata, "Pakcik di sebelah itu sedang makan snek bijirin". Pada masa itu, saya yang hanya fikirkan pasal makanan bertanggapan, "Dalam keadaan sekarang, masih ada snek bijirin lagi" dan menjenguk ke luar lubang, ulat membuak-buak dari mulut pakcik itu. Itu yang digambarkan sebagai snek bijirin berwarna putih. Kalau zaman sekarang, pasti pengsan kalau tengok benda begitu. Tetapi, waktu itu mata dan perasaan semuanya telah lali. Apabila di dalama peperangan, semuanya akan menjadi tunggang-langgang.