LANGUAGE

LANGUAGE

Pengalaman perang di Kumejima oleh seorang kanak-kanak

Pengalaman perang di Kumejima oleh seorang kanak-kanak
En. Shousei Yamashiro, 79 tahun
(Asal: Nakazato, Kumejima-cho, Okinawa)

Walaupun askar pada masa itu selalu menyebut “mesti menang”, tetapi mereka tetap menggali parit perlindungan serangan udara di kawasan rumah saya untuk bersembunyi.

Semasa perang, seorang tentera Jepun berpangkat tinggi berkata, “Sudah tiada harapan untuk menang, saya berhenti.” Jadi saya fikir, tiada bom atom yang akan digugurkan.

Jika sehari sahaja peperangan ditamatkan lebih awal, tidaklah seramai itu orang yang mati di bahagian selatan pulau utama Okinawa.

Waktu itu saya berada di tahun 1 sekolah. Hampir tiada kelas langsung kerana sentiasa ada latihan perang. Waktu itu, jika siren serangan udara dibunyikan, kami diberitahu supaya larikan diri sebegini, juga kami membuat patung jerami dan dilatih menggunakan tombak buluh.


Sewaktu serangan udara pada 10hb Okt 1944 banyak pesawat datang. Semasa pesawat itu sedang berada di kedudukan tinggi, kami fikir ia pesawat rakan, maka kami akan menjerit-jerit, “Banzai! Banzai!” di padang, tetapi bila ia semakin rendah dan kelihatan lambang bintang, anak-anak muda akan menjerit, “Musuh!”, saya terkejut! Mungkin tentera Amerika tahu itu adalah sekolah maka mereka tidak menjatuhkan bom. Tiada seorang pun pelajar mati akibat ditembak. Tetapi, saya cukup merasakan bahawa peperangan telah bermula hari ini setelah bermulanya serangan udara ini.



Ada kapal yang dijadualkan berlepas dari pelabuhan tetapi ditunda kerana sesuatu maklumat, keesokan hari apabila mereka berlepas, kapal telah ditenggelamkan pada malam harinya.


Ramai penduduk pulau yang menaiki kapal tersebut, maka pada waktu itu bilangan anak muda di Kumejima menjadi berkurangan. Abang saya dan juga abang-abang jiran yang lain mendapat panggilan kerahan dan menaiki kapal tersebut.


Kumejima turut diserang tanpa pengecualian, kebanyakan kampung menerima serangan. Yang paling teruk adalah perkampungan berdekatan pantai.


Pada waktu malam, kami pernah diberitahu supaya, “Jangan pasang lampu, berhati-hati dengan api!” kerana mungkin pesawat akan terbang untuk menyerang. Jika cahaya lampu terkeluar dari rumah, kakak-kakak dari luar akan mengingatkan, “Cahaya lampu kelihatan dari rumah En. Yamashiro.” Kadang-kadang saya terpaksa menutup lampu dengan kain pembalut (furoshiki). Kanak-kanak juga menerima latihan untuk melarikan diri. Ada juga lagu sebegini yang berbunyi, “Bila kita dengar siren serangan udara, oleh kerana kita masih kecil, dengar kata orang dewasa, jangan terburu-buru, jangan terjerit-jerit, bertenang dan terus ke parit perlindungan serangan udara.”


Kehidupan pada masa itu sangat susah. Jika tiada keledek makin susah. Dengan keledeklah kami hidup. Semasa membuat sup tsuyu, saya makan kazura (ubi garut) sebagai sayur. Terdapat banyak sayur-sayuran semula jadi seperti nigana (sayur pahit) dan yomogi (jenis herba) dan orang-orang pada waktu itu juga mencipta pelbagai cara untuk makan.
Kami membina pondok kecil di dalam hutan di gunung, tiada alas, kami menghampar kazura sebagai alas dan tidur di atasnya. Pada waktu itu, kami tidak mandi, kami dapat banyak kutu, teruk sekali.

Selepas perang
Askar Amerika yang mendarat naik bukanlah orang gasar seperti yang disangka. Mereka memberi kuih-muih kepada kanak-kanak, mereka makan dahulu dan berkata, “Tengok tiada racun di dalamnya.” Saya fikir sayang sekali.

Mereka yang mati akibat peluru semasa perang di Kumejima adalah lebih kurang 10 orang. Saya dengar mereka yang dibunuh oleh Kayama (Tadashi Kayama, Ketua Pegawai Waran Angkatan Laut) pula adalah seramai lebih kurang 20 orang.

Mereka dibakar hidup-hidup dari luar rumah, orang dewasa dan kanak-kanak di dalam rumah jerami mereka…




Apabila En. Meiyu Nakandakari berkata, “Peperangan telah tamat. Tentera Amerika tidak akan membunuh tawanan perang,” beliau pula yang dibunuh oleh tentera Jepun. Sangat-sangat menakutkan. Bila bayi menangis, “Aku akan bunuh bayi ini!” kata sesetengah askar. Anak-anak muda tempatan juga diarah-arahkan oleh askar-askar itu, “Buat sesuatu dengan beras pulut di gunung,” lalu mereka dibawa ke gunung oleh askar-askar yang baru turun dari gunung. 3 kali kedengaran bunyi tembakan, pang pang pang, keesokan harinya, anak-anak muda itu telah dibunuh dan beras itu dimakan oleh askar-askar tersebut. Cara pembunuhan sebegini adalah sangat gasar, perbuatan tidak bertamadun seolah-olah musuh sebenar adalah rakan sendiri.

Pada waktu itu saya masih kecil, saya masih ingat orang dewasa bercerita selepas perang tamat. Rupa-rupanya ramai juga askar yang melarikan diri pada waktu itu.

Askar Amerika telah menembak mati orang bawahan Kayama, mereka ditanam di sekitar tempat yang dipanggil Eef Beach sekarang.


Mengenang kembali peperangan itu
Mengapa peperangan itu dilakukan? Mengapa serangan skuad berani mati dilakukan…? Cara sebegitu adalah cara Jepun yang gasar. Saya sering terfikir sejak dari kecil. Setelah perang tamat, oleh kerana kami adalah anak kecil, kami sering pergi berenang di tepi pantai. Kami juga mempunyai kawan. Saya lebih gembira dengan hati yang tenang daripada benda yang sedap.

Bagi mencipta dunia yang aman, dunia harus menjadi satu dan perkara-perkara yang meninggi diri tidak boleh dilakukan. Dunia harus bersatu hati. Orang-orang muda sekarang mempunyai kuasa keamanan, maka salinglah bercerita perkara-perkara yang baik sahaja dan jadikanlah dunia ini satu.