LANGUAGE

LANGUAGE

Pengalaman pahit peperangan dan keajaiban bertemu semula dengan ibu

”Pengalaman pahit peperangan dan keajaiban bertemu semula dengan ibu”

En. Housei Nako, 80 tahun
(Asal: Shuriteracho, Naha, Okinawa)

Perang bermula sebaik saya masuk ke tahun 2 pada bulan April di sekolah rakyat. Sehingga itu di sekolah, kami berlatih menusuk patung jerami menggunakan lembing buluh atau pun latihan memadamkan api menggunakan baldi. Sehingga waktu itu saya masih tidak memahami apa itu peperangan, tetapi yang saya ingat hanyalah saya takut dengan cikgu dan polis.

Tidak lama, pesawat tentera Amerika iaitu Grumman dan Curtiss pun tiba, mereka menggugurkan bom. Keseluruhan bandar menjadi lautan api. Kami melarikan diri ke parit perlindungan serangan udara yang ada di sana-sini.

Keluarga kami adalah keluarga besar 13 orang, kami tidak muat untuk masuk ke dalam 1 parit perlindungan sahaja. Kami berpecah kepada 2 tempat dan bersembunyi.

Kisah semasa saya bersembunyi di dalam kubur di lereng bukit. Kami bersembunyi dengan berpecah kepada 2, kubur atas dan bawah, tetapi waktu itu sedang hujan. Kubur di sebelah bawah dimasuki air hujan, dan air bertakung di lantai, tetapi kubur di atas tidak berlaku apa-apa kerana air hujan masuk dan mengalir ke bawah.

Adik lelaki, datuk dan makcik bersembunyi di kubur di bahagian atas. Malangnya 2 das bom tangan telah dilemparkan ke dalamnya, maka ketiganya mati akibat bom telah merobek organ dalaman dan tulang mereka. Kubur kami di bawah juga dilemparkan bom tangan, tetapi oleh kerana air hujan bertakung, bom tidak meletup.

Semasa bom tangan dilemparkan ke dalam kubur tempat kami bersembunyi, kami meninggalkan emak yang cedera. Saya dan ayah melarikan diri keluar dari kubur tersebut. Semasa melarikan diri melalui ladang tebu saya yang memegang tangan ayah dan berlari telah ditembak dengan senapang Carbine. Saya cedera dan berasa sangat dahaga, “Saya hendak minum air,” kata saya kepada ayah. Ayah berkata, “Ayah akan bawa air,” dan itulah kali terakhir saya bertemu ayah. Saya dengar setelah itu, ayah telah terbakar ditembak pelancar api.

 Parut ini adalah bekas ditembak dengan mortar. Dada saya pula ditembusi sehingga ke belakang badan ditembak dengan senapang Carbine. Luka tempat ditembak mortar, telah berulat dan membusuk. Peluru senapang yang sangat panas telah menembusinya, di situ ia telah berulat. Saya rasa ngilu dan sakit yang pelik.

Saya pengsan kerana kesakitan yang amat sangat, apa yang saya masih ingat, bila saya sedar saya rasa tidak nampak apa-apa. “Adakah aku masih hidup?” saya berfikir, tiba-tiba saya berasa sangat dahaga. Saya fikir mahu minum air kencing sendiri, tetapi air kencing pun tidak keluar, kemudian entah bila saya pengsan sekali lagi.

Dalam keadaan tidak berapa sedar, 4 hingga 5 orang askar Amerika telah datang. Kaki saya ditendang. Bila mereka mengetahui saya masih hidup, saya dibawa ke tempat mereka dengan pengusung dan mereka merawat saya. Mereka memberi saya tin makanan C-Ration (bekalan makanan peribadi tentera Amerika) semasa di hospital lapangan. Saya telah diajar bahawa makanan yang diberi oleh askar Amerika mengandungi racun, jadi saya menutup mulut tidak mahu makan. Lalu askar Amerika itu berkata, “Tak apa, tak apa,” dan dia sendiri membuka tin dan makan di depan saya. Saya merasa lega dan saya pun turut makan.



Ada hospital untuk tentera darat Amerika di tempat yang sekarang adalah pintu masuk ke Pusat Konvensyen di Ginowan. Saya telah dirawat di situ, tetapi selepas itu saya telah dibawa ke kem tahanan pelarian di Goya di Okinawa. Setelah itu saya telah dihantar pula ke pusat anak yatim Koza di Kamara, Okinawa. Pertempuran masih berlaku di bahagian selatan jadi anak-anak kecil setiap hari akan dihantar ke pusat anak yatim. Saya yang masih berumur 9 tahun adalah kanak-kanak paling tua di situ.

Di hadapan pusat anak yatim ini terdapat Sekolah Rendah Murokawa. Hari sukan dijalankan disitu. Saya mendapat tempat pertama lumba lari. Kebetulan ada jiran dari tempat asal saya di Shuri nampak saya, dan memeriksa identiti saya. Setelah itu saya dihantar ke Ginoza dengan Jeep yang dipandu oleh askar Amerika. Di sana emak yang saya sangka sudah mati dan ditinggalkan di dalam kubur itu rupanya masih hidup. Saya gembira tetapi berasa seolah-olah bermimpi. Tidak ada perkataan yang mampu keluar dari mulut saya.

Mengenang kembali peperangan itu
Saya tidak mahu mengalaminya lagi. Jika saya akan mengalaminya lagi, lebih baik saya mati.