LANGUAGE

LANGUAGE

Pemindahan ke Taiwan

”Pemindahan ke Taiwan”

En. Toru Ishimine 84 tahun
(Asal: Azanagahama Irabu-mura Miyako-gun Okinawa)

Sebelum perang, saya bersekolah di sekolah kebangsaan pada masa tersebut. Semasa saya di tahun 5, saya dan keluarga berpindah ke Taiwan apabila perang meletus.

Kapal pemindahan tiba di Pelabuhan Keelung melalui Pulau Ishigaki. Dari situ kami menaiki kereta api ke tempat yang bernama Taoyuan County dan Kampung Kameyama (sekarang daerah Guishan), maka bermulalah kehidupan pelarian kami. Di sana terdapat rumah besar berlantaikan anyaman buluh dan jerami.

Berhampiran tempat kami tinggal, terdapat syarikat menghasilkan teh, tentera Jepun menduduki tempat tersebut dan mereka tinggal di situ.

Kami sering berbual-bual dengan tentera-tentera itu, jika ada jamuan kami juga akan dijemput dan akan bergembira bersama.

Sekolah di Taiwan, seorang cikgu yang sama akan menjadi guru kelas dari tahun 1 hingga tahun 5. Kami anak-anak pelarian juga belajar bersama-sama pelajar Taiwan.

Pada satu hari, semasa kami sekeluarga sedang makan di luar rumah, seorang posmen datang menyerahkan telegram kepada kami. Saya masih ingat emak dan nenek berteriak sambil menangis dengan teruk bila melihat telegram itu. Mungkin ia arahan kerahan untuk ayah agaknya?

Apa yang berlaku kepada ayah setelah itu?
Ayah ke medan perang, dan pulang semula. Pada masa itu saya dengar adik telah lahir. Selepas itu ayah disuruh kembali ke medan perang semula, dan selepas itu ayah tidak pernah pulang semula kerana telah terkorban di medan perang.

Saya dengar dari emak, sebelah tangan ayah telah dicederakan, tangan kiri atau kanan saya tidak tahu. Kemudian doktor tentera menasihati ayah, “Sudah, pulanglah.” Tetapi ayah menjawab, “Tangan aku sudah cedera, tiada guna kalau aku pulang, aku akan terus berjuang demi negara.” Emak kata, setelah itu ayah terus berjuang hingga titisan darah terakhir.

(Setelah perang tamat)
Untuk penghantaran pulang, kami bergerak dari Hsinchu dengan kereta api barang, sehingga ke Pelabuhan Su’ao, di situ kami 3 beranak bermalam di bawah dinding konkrit tanpa bumbung, dan seterusnya pulang dengan kapal penghantaran pulang gelap yang bernama Umemaru

Kehidupan setelah pulang apabila perang tamat adalah sangat memeritkan. Amat sukar untuk mencari makanan untuk meneruskan kehidupan kerana kekurangan bahan makanan.

(Mengenang kembali peperangan itu)
Bagi saya, saya tidak mahu perang berlaku lagi. Saya fikir kita tidak harus hidup dalam kesengsaraan kerana peperangan.

Terdapat lagu “Mengira Perang” sehingga yang ke-15. Saya suka satu perenggan lirik pada lagu yang ke-9. Terdapat lirik yang berbunyi “Saya rela untuk mati, tetapi bagaimana anak dan isteri akan hidup setelah itu?” Saya rasa semua tentera akan berjuang habis-habisan sehingga terkorban tetapi tetap memikirkan keluarga mereka walaupun mereka akan terkorban. Bila saya mengenangkan mereka sanggup mati sambil memikirkan tentang keluarga mereka, air mata saya akan mengalir bila melihat lirik ini.