LANGUAGE

LANGUAGE

Kanak-kanak yang kehilangan keluarga selepas perang

Kanak-kanak yang kehilangan keluarga selepas perang

Nama Encik Kinjo Owan (20大湾近常)
Tarikh Lahir 24hb Ogos 1939
Tempat Lahir Kampung Yomitan
Pada Masa Itu Berusia 6 tahun

■ Di bantu oleh tentera AS, dipindahkan ke hospital di Kin di mana ibu berada
Saya dapat tahu bahawa ibu saya berada di sebuah hospital di Kin, dan saya telah dihantar ke hospital tersebut.
Di hospital Kin, ibu dan abang saya Yoshio, serta adik perempuan saya Toshiko, mereka bertiga berada di sana, dan saya telah bertemu semula dengan mereka di sana. Walau bagaimanapun, abang saya Yoshio menjadi semakin lemah dan meninggal dunia 2~3 hari kemudian.
Selepas itu, saya dan adik perempuan serta ibu saya dipindahkan dari hospital di Kin ke kem tahanan di Ginoza, dan akhirnya di khemah perubatan hospital perang Gino ibu saya jatuh sakit dan meninggal dunia.

■ Kematian adik perempuan
Selepas ibu saya meninggal dunia, tinggal saya dan adik perempuan saya. Untuk sementara waktu, kami dijaga oleh ibu saudara di sebuah kem pelarian. Tetapi keluarga ibu saudara saya agak ramai, dan kem pelarian itu sentiasa penuh dengan orang yang baru sampai setiap hari, dan mungkin dia tidak mampu untukmemberikan penjagaan secukupnya kepada kami juga. Bagi saya, kehidupan di Ginoza merupakan kenangan yang amat perit.
Mengapa saya kata begitu, adik saya yang ketika itu berusia 4 tahun sentiasa berlegar-legar berhampiran khemah tempat ibu meninggal dunia untuk mencarinya. Waktu itu musim hujan, saya membawanya berjalan dan kami berdua basah kuyup, saya rasa adik saya telah menghidap pneumonia dan dia telah meninggal dunia di sebuah khemah kosong.
Waktu itu, oleh kerana saya hanya berusia enam tahun saya rasa bebas untuk keluar di sana sini secara sendirian.
Ketika saya berjalan merayau-rayau tanpa tujuan, saya ditahan di satu pondok polis di Kochiya. Oleh kerana saya "tiada saudara mara", saya telah dihantar ke rumah anak yatim.

■ Kehidupan di rumah anak yatim
Di rumah anak yatim, kesemuanya merupakan kanak-kanak yang tidak mempunyai ibubapa. Saya dapat rasakan orang Amerika sangat teliti dengan perkara-perkara berkaitan rumah anak yatim.
Di sana, terdapat makanan yang banyak, kanak-kanak berkumpul, bermain dan menyanyi. Dan juga, terdapat orang-orang seperti pengasuh yang menjaga kami, dan saya rasa kehidupan saya lebih stabil di situ.Saya hanya ingat beberapa kejadian di rumah anak yaim itu seperti dapat berkawan dengan kanak-kanak di situ, kami bermain bersama-sama, sehingga saya lupa peperangan sedang berlaku.
Selepas itu, bapa saudara sebelah ibu yang memanggil saya "Kamadeegwaa, Kamadeegwaa" (nama panggilan saya ialah Kamadeegwaa) dan datang menjemput saya. Dia selalu memanjakan dan memang sentiasa mengambil berat tentang saya.

■ Kematian abang saya, Sadao
Abang saya, Sadao, ibu saudara dan seorang cucu kepada ibu saudara berada di Ishikawa. Saya telah pergi untuk tinggal dengan mereka. Tetapi tidak sampai sebulan kami tinggal bersama, Lebih kurang sebulan atau tidak sampai sebulan setelah saya datang, abang saya Sadao telah meninggal dunia akibat menghidap malaria. Dengan ini semua adik-beradik saya telah meninggal dunia dan tinggal saya seorang diri.
Setelah itu, saya dan makcik itu serta cucunya, kami bertiga tinggal bersama-sama di Ishikawa. Dan tibanya bulan 4, saya masuk darjah satu di Sekolah Rendah Miyamori di Ishikawa.

■ Kemasukan ke sekolah rendah
Apa yang saya ingat ialah kelas diadakan di bawah sebatang pokok di kuil Miyamori. Saya tidak ingat samada berlatih menulis atau apa-apa, kami tidak belajar dengan sungguh-sungguh, cuma berkumpul dan menyanyikan lagu-lagu, mendengar cerita dan selepas itu balik ke rumah.

■ Kehidupan di Yomitan
Kemudian, kami dibenarkan pulang ke kampung Yomitan, kami berpindah ke satu perkampungan di Sobe yang mempunyai Stesen Komunikasi Torii. Kami menyewa rumah yang dibuat dengan jerami dan tinggal di situ bersama dua buah keluarga yang lain.
Pada masa itu, sekolah baru siap dibina di Furugen, Sekolah Rendah serta Sekolah Menengah Rendah Furugen.
Hari-hari, kami mendapat pelbagai barangan dari tentera Amerika yang ditempatkan bersebelahan dengan sekolah kami. Selepas perang tamat, keadaan di sekitar Yomitan sangat sibuk kerana ramai orang berkumpul, suasananya meriah, dan terdapat pelbagai aktiviti.
Pada masa itu, macam-macam benda yang saya terpaksa makan, siput babi yang saya rendam dalam air semalaman untuk menghilangkan kotoran, kemudian saya rebus dan makan, memang zaman itu susah untuk mendapatkan makanan. Keadaan semasa perang dan sesudah perang adalah sama sahaja. Hanya untuk kekal hidup selepas perang adalah sangat perit pada ketika itu.