LANGUAGE

LANGUAGE

Peperangan di Saipan. Neraka hidup. Perbuatan yang tidak patut dilakukan oleh manusia hidup

”Peperangan di Saipan. Neraka hidup. Perbuatan yang tidak patut dilakukan oleh manusia hidup”

En. Hideo Iha, 88 tahun
(Asal: As Lito, Saipan)

Bermulanya serangan tentera Amerika di Saipan
Waktu itu saya berusia 15 tahun, baru menamatkan pengajian 2 tahun di sekolah tinggi rakyat. Ada Sekolah Vokasional Saipan. Waktu itu ia adalah sekolah menengah rendah Nanyo.
Saya mengambil ujian kemasukan ke Sekolah Vokasional Saipan itu, saya lulus dan baru memulakan pelajaran. Bulan April saya masuk, bulan 6 peperangan telah bermula.

Pada hari serangan udara berlaku, saya bersama-sama rakan Sekolah Vokasional Saipan telah keluar ke laut dan berenang-renang di jeti. Ketika kami sedang berenang, amaran serangan udara dibunyikan. Mulanya saya fikir ia adalah latihan. Tetapi, sebenarnya pesawat Grumman telah muncul. Keadaan menjadi semakin teruk, kami melarikan diri ke hutan camachile. Pada hari tersebut, ia hanyalah pertempuran udara antara pesawat Jepun melawan Grumman.

Setelah itu apabila bermula Pertempuran Saipan, keadaan menjadi semakin teruk, Saya sangat takut. Saya lihat lapangan terbang terbakar dibom. Saya sangat takut. Keseluruhan pulau menjadi lautan api. Entah berapa puluh buah kapal perang Amerika mengelilingi pulau. Di sebelah siang kami bermandikan serangan bom dan meriam kapal.

Kehidupan persekolahan waktu itu
Pada waktu itu, kami mendapat latihan ketenteraan sejak dari sekolah rendah lagi. Apabila perang memuncak, kawasan sekolah semuanya diduduki tentera. Kami ke atas gunung belajar di bawah pokok, seolah-olah sekolah dalam hutan pula. Latihan lembing buluh, perlumbaan lariuntuk melatih kaki, telah menjadi rutin harian. Apabila memasuki sekolah vokasional kami melakukan kerja seperti menguatkan landasan di lapangan terbang untuk tentera Jepun. Inilah kehidupan kami waktu itu.

Keadaan ketika melarikan diri
Mulanya kami melarikan diri dari parit perlindungan di rumah kami di tempat bernama As Lito di bahagian selatan, kemudian kami melalui Gunung Sinasis untuk ke Teluk Laulau. Kami sampai berhampiran Teluk Laulau kemudian kami ke kawasan bernama Chacccha (Chacha). Ia adalah satu-satunya gunung yang kecil di pulau ini, Gunung Tapochau. Kami ke satu tempat yang mempunyai punca air di pulau ini, iaitu Donney. Kemudian kami meneruskan perjalanan ke bahagian timur, iaitu pantai yang bernama Banaderu, akhirnya kami ke Tanjung Marpi. Di situ ialah tempat beradanya sekarang “Menara Okinawa” iaitu satu menara peringatan. Kami melarikan diri hingga ke situ.

Hampir 1 bulan kami tidak makan. Tiada makanan jadi kami menggigit tebu dan memakan teras di dalam batang betik.

Kami melarikan diri 3 keluarga, keluarga En. Taba Kushi, pakcik dari sebelah emak, En. Eihou Taira dan ayah saya Kamara Iha, emak saya bernama Kana. Keluarga Taba Kushi sahaja yang lambat melarikan diri, mereka tinggal di dalam parit perlindungan berhampiran. Akhirnya hanya keluarga ini sahaja yang selamat. Menurut cerita, hari selepas kami melarikan diri, mereka telah ditangkap oleh tentera Amerika.

Kematian ayah, kemudian kami ditangkap
Ayah kami mati dalam peperangan. Satu hari dalam pukul 2 petang di pantai bernama Banaderu, tiba-tiba kami mendapat serangan meriam kapal. Ayah cedera parah di muka dan ketiak kiri dan berdarah dengan banyak, ayah mati di situ. Keesokan harinya saya dikepung tentera musuh kemudian ditangkap. 2 atau 3 hari setelah itu pulau telah menjadi padang jarak padang tekukur. Mereka telah mengejar sehingga ke hujung utara.
Mengenai kem (kem tahanan)
Di kem, orang dewasa di arah melakukan kerja-kerja askar.
Di kem sekolah telah didirikan oleh kerajaan tentera Amerika, maka kanak-kanak belajar di situ. Di dalam kem tahanan, staf sekolah atau pegawai kerajaan mengajar sementara. Pelajaran adalah di dalam bahasa Jepun berdasarkan buku teks Kementerian Pelajaran Jepun.


Menyaksikan pemandangan yang menyedihkan di medan perang
Saya mempunyai pengalaman sedih seperti mimpi buruk yang tidak boleh dilupakan. Ada seorang dewasa yang terputus kakinya semasa pengeboman meriam kapal. Kaki orang itu tersangkut di dahan pokok, dan mayat mangsa di bawah pokok.

Satu peristiwa lagi, ketika melarikan diri ke bawah tebing di pinggir pantai di malam hari. Saya rasa askar Jepun sedang duduk di sebelah saya. Bila hari siang, saya lihat askar itu telah membunuh diri dengan menembak pistol ke dalam kerongkongnya.

 
Terdapat pengalaman yang saya rasa sedih kepada tentera Jepun.
Di waktu malam, keluarga En. Taira dan keluarga saya, kami sedang bersembunyi di dalam gua di sebuah batu yang besar. Pegawai tentera Jepun sambil mengacukan senapang datang ke arah kami. “Pulau ini akan dilindungi oleh kami pihak tentera, orang awam boleh keluar dari sini!” kata pegawai itu. Kami dihalau keluar dari situ. Saya berasa sangat sedih terhadap tentera Jepun.

 
Pelbagai khabar angin palsu disebarkan di pantai tempat kami dikejar
Kami diberitahu jangan sesekali ditangkap oleh tentera Amerika. Orang dewasa akan diikat dengan tali dan akan digilis oleh kereta kebal. Wanita dan kanak-kanak akan dibawa pulang ke Amerika dengan kapal perang.
Di Banaderu, ibu bapa yang percaya dengan khabar angin itu, telah membuang anak-anak mereka ke dalam laut. Keesokan harinya, saya di tangkap di pantai berpasir di situ. Di pantai berpasir itulah, semalam kanak-kanak, askar dan orang awam yang terjun ke laut di bawa naik.

Saya mempunyai perasaan bermusuhan dengan tentera Amerika kerana memang telah diajar bahawa mereka adalah syaitan sejak dari dulu lagi. Tetapi saya terkejut kerana apabila dibawa ke kem tahanan, mereka menyediakan makanan, sekolah dan juga hospital.

Sebelum perang di sekolah vokasional, pelajaran bahasa Inggeris dilarang oleh tentera dan kementerian pelajaran. Tetapi guru bahasa Inggeris saya, berkata kepada saya, “Jika kita menang atau kalah sekalipun, bahasa asing adalah penting untuk memahami mereka.” Jadi saya telah diajar bahasa Inggeris secara rahsia tanpa pengetahuan tentera atau kementerian pelajaran. Saya belajar huruf-huruf rumi. Saya rasa cikgu yang berkata bahawa pelajaran bahasa Inggeris adalah penting, iaitu cikgu Tajima mempunyai pandangan ke hadapan.

Kisah tempat ketika saya ditangkap. 100 m di hadapan ada rumah orang. Seorang askar Jepun sedang mengintai. Di seperti hendak menyerah, tidak berbaju dan berseluar pendek dan memakai topi askar berjalan kaki. Dia mengangkat kedua belah tangan dan keluar seperti hendak menyerah diri. Malangnya mungkin nasib tidak menyebelahi dia, askar Amerika menghampiri dan menembak mati dia dari hadapan. Perkara menyedihkan sebegini berlaku di depan mata saya.

Ada ladang berhampiran. Ladang untuk membekalkan makanan kepada pelarian. Di situ ada wanita dan kanak-kanak. Kadangkala terdapat kes rogol di situ.

 

Semasa mengetahui kalah perang
Satu perkataan sahaja, malangnya!
Sejak awal lagi saya percaya akan menang. Pada waktu itu kami sebagai kanak-kanak, sentiasa berharap dan mengimpikan bahawa Jepun akan datang menyelamatkan kami.

Penghantaran pulang secara paksa ke Okinawa
Orang Jepun dipaksa untuk pulang. Kami dinaikkan ke kapal perang Jepun seperti kapal pemusnah kecil yang sudah dilucutkan senjata. Mungkin dari Saipan ia memakan masa 3-4 hari, lalu kami mendarat di Pelabuhan Kubasaki di Nakagusuku di bahagian tengah pulau utama Okinawa.

Kami ditahan 2-3 hari di tempat yang diberi nama Kem Innumi (Innumi yadori: Tempat tahanan sementara orang dihantar pulang). Dari situ kami dibawa ke kem tahanan Ishikawa.

Mengenang kembali peperangan itu.
Saya menggelarkan pengalaman waktu itu sebagai neraka hidup, Peperangan bukanlah sesuatu yang dilakukan oleh manusia hidup.
Bagi saya pendidikan jiwa adalah penting. Bagi menjamin keamanan, pendidikan yang lebih realistik seperti bagaimana setiap manusia harus berfikir dan harus bertindak adalah diperlukan.