LANGUAGE

LANGUAGE

Terpisah dengan keluarga ketika menyelamatkan diri tetapi menerima bantuan daripada orang ramai – Jangan mengalah, nyatakan apa yang kamu mahu –

Terpisah dengan keluarga ketika menyelamatkan diri
tetapi menerima bantuan daripada orang ramai
- Jangan mengalah, nyatakan apa yang kamu mahu -

Nama Saksi :Puan Kayoko Tamanaha (09玉那覇香代子)
Tarikh Lahir :20hb Februari 1934
Tempat Lahir :Onaga, Nishihara-cho
Pada masa itu :11 tahun

■ Berasal dari Onaga, Nishihara-cho. Masih pelajar sekolah rendah pada masa itu. Mengalami serangan udara di Onaga pada 10/10 kerana menolak tawaran berpindah ke Kunigami dan enggan berpisah dengan keluarga.
Setelah serangan udara 10/10 (10hb Oktober), dan semenjak sekitar bulan April, kami menerima semakin banyak serangan peluru di situ. Majlis permulaan sekolah sepatutnya diadakan pada bulan April, tetapi sekolah pada waktu itu telah digunakan oleh pihak tentera. Kira-kira seminggu, kami berulang-alik dari Onaga ke Amuro untuk ke sekolah sementara. Selepas hampir seminggu, kedengaran bunyi siren dari Yonabaru yang menandakan "amaran serangan udara”. Sebaik sahaja siren berbunyi, dengan secepat mungkin, kami akan melarikan diri dari Amuro ke lubang perlindungan di Onaga. Cikgu berpesan, “Semasa melarikan diri ke lubang perlindungan, kamu mesti berlari di bawah pokok-pokok yang ada. Larilah dalam ladang tebu. Kalau lalu jalan besar, kamu akan menjadi sasaran peluru tentera AS dengan mudah. Faham ya. Baiklah, ambil beg dan lari dengan pantas.” Kami lari dari sekolah dan sebaik sahaja sampai ke lubang perlindungan, kedengaran bunyi mesingan yang bertubi-tubi. Pelik juga kerana tiada peluru yang terkena kami.

Menjelang senja, apabila amaran serangan udara telah lenyap, "Mari kita pergi, mari kita pergi" kata mereka sambil keluar dari lubang persembunyian untuk pulang ke rumah. Apabila saya sampai di rumah, saya dapati bapa sedang menyiapkan makanan untuk esok.
Makanan untuk esok, apa sahaja yang ada seperti ubi, kacang dan sebagainya dimasak dan disimpan, esok pagi apabila “Amaran serangan udara” dikeluarkan, kami masih ada masa untuk lari dari rumah ke lubang perlindungan.
Seterusnya, tembakan meriam tentera laut dari Pulau Kudaka datang bertalu-talu, “bang-bang-bang”. Lubang persembunyian yang berada di sebelah lubang kami habis rosak teruk.

■ Rakan juga turut berada di dalam lubang persembunyian. Kami melarikan diri ke Shimajiri.
Air mata tidak mengalir walaupun menyaksikan ada yang terkorban. Saya hanya mampu melindungi diri sendiri, "Ah, kawan-kawan saya, ada yang bersembunyi di lubang itu. Kasihan, mereka sudah meninggal dunia" saya berbisik dalam hati. Kami sendiri pun terpaksa berlari untuk menyelamatkan diri.

■ Adik perempuan saya terperangkap dalam serangan bom di pondok menyimpan gula setelah berpindah ke Shimajiri

"Ayah, adik perempuan tidak dapat berkata apa-apa, darah adik banyak keluar" kemudiannya, ayah pun membawa mayat adik, dan menanamnya di dalam lubang yang terdapat di kilang gula itu sebelum pulang ke rumah. "Ah, maafkan saya Tsuruko. Maafkan saya" itu sahaja yang dapat saya katakan. Darah dan air mata sudahpun kering. Kami juga bersabung nyawa.
Abang saya yang menganggotai pasukan pertahanan turut pulang ke situ setelah mengalami kecederaan di kaki dan lengan.
Keesokan harinya banyak ulat berengga keluar dari luka abang saya, saya gunakan rumput berbulu untuk membuangkan ulat-ulat itu. Keesokan pagi, saya menyangka yang ulat-ulat itu sudah tiada, tetapi rupa-rupanya masih ada, dan saya pun terus membuangkannya lagi.

■ Terpaksa meninggalkan kilang gula akibat daripada serangan tentera AS

Kemudiannya, kami terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada jasad adik. Oleh kerana kaki abang cedera dan sukar berjalan, ayah memaut bahunya, untuk membantu dia bergerak. Saya pula berjalan seorang diri. Dalam perjalanan, "Kau cepat-cepat ikut saudara-mara kita itu. Jangan toleh kepada ayah dan abang, cepat pergi ke hadapan" kata ayah. Ketika saya angkat barang sendiri dan mula berjalan, tembakan dari tentera laut pun singgah di antara saya dan kedua abang dan ayah, bang bang bang. Saya tidak tahu apa yang terjadi kepada abang dan ayah saya. Saya cuma lari sepantas yang boleh, dan kami akhirnya terpisah. Sejak itu, saya melarikan diri sendirian. Saudara-mara juga saya tidak tahu entah ke mana. Saya mula merasa sunyi.

■ Kejadian semasa mendaki gunung bersama seorang makcik, kenalan lama yang sedang menunggu di kandang kuda.

Semasa saya dan makcik itu ingin pergi menuju ke puncak gunung, belum pun sempat kami mendaki, sebutir bom telah jatuh ke kandang kuda itu. Lapan ahli keluarga orang Onaga kesemuanya terkorban.
Semua anak-anak makcik turut mati di kandang kuda itu. Dari atas gunung, "Mengapa mesti Toshiko (nama anaknya), mengapa mesti Jiro, mengapa mesti anak-anak, ...dan selanjutnya" kedengaran jeritan makcik itu ke arah kandang kuda sambil turun ke bawah, masih terngiang-ngiang di telinga.

Apabila saya teruskan perjalanan, saya jumpa lagi kandang kuda.
Ada askar berlindung di kandang kuda, mereka berkata, "Berikan saya air, berikanlah saya air". Saya kata, "Saya tidak memiliki bekas untuk menceduk air, bagaimana saya boleh menceduk air." sambil mahu menceduk air dengan daun keladi dan cuba untuk memberi minum kepada tentera itu, ada orang berkata, "Tentera yang cedera akan mati jika minum air. Jangan beri mereka minum". Ada yang merintih, "Saya mahu air, ibu, saya mahu air". Sungguh kasihan, tetapi saya tidak dapat memberikannya air.
Di kandang kuda itu juga ada peluru jatuh, saya meniarap begini, dan sekeping papan menimpa saya. Pada masa itu, secara kebetulan apabila saya menjerit, "tolong saya, tolonglah saya", guru saya masa darjah 3, iaitu Cikgu Giko Yonamine lalu di situ. "Eh, Kayobo (nama panggilan) ya" katanya, lalu cikgu pun mengalihkan papan, "Ikut saya, ikut belakang saya" "Ya"
"Jangan panggil saya cikgu. Kalau panggil cikgu, mungkin saya ditangkap oleh sesiapa, panggil sahaja atuk" katanya lagi. Saya jawab, "Ya, saya faham" dan terus mengikutinya.

■ Terpisah dengan cikgu dan bersendirian lagi. Bertemu dengan seorang wanita yang peramah ketika sedang berehat kerana perut sakit.

"Perut saya sakit, makcik" “Sakit perut? Mungkin sebab tak makan nasi. Saya tahu ianya sangat sakit” dan, makcik hulurkan tebu untuk saya hisap, baringlah di sini katanya sambil menepuk belakang saya. Sedang makcik menepuk belakang saya , saya rasa tangan itu sudah hilang. Makcik itu telah terkena peluru. Di sebelah sini ada anak perempuan pertama dan anak lelaki kedua makcik itu. Mereka menjerit dan menangis "kenapa, ibu, ibu". Saya tiada masa untuk menjerit bersama-sama, saya tinggalkan makcik itu kepada dua orang ini, dan terus melarikan diri lagi.

■ Bertemu kembali dengan cikgu. Pergi bersama-sama ke kubu perlindungan di Kiyanmisaki. Disyorkan supaya keluar oleh tentera Amerika "Kami tidak akan bunuh kanak-kanak" dan saya pun keluar seorang diri.

Saya rasa tentera Amerika mungkin berkata, "come on, come on". Dan Cikgu Giko kata kepada saya, "cepat keluar" kerana mereka panggil, "come on, come on". Saya berkata, "Tidak, saya tidak akan keluar. Jika keluar saya akan dibunuh" tetapi cikgu berkeras, "Tidak akan bunuh, mereka tidak akan bunuh kanak-kanak, cepat keluar. Kamu tidak dengar cakap cikgu?", saya pun kata, "Baiklah, saya keluar" dan saya bawa barang-barang saya lalu keluar dari lubang persembunyian itu.
Apabila keluar dari lubang persembunyian,
Saya disuruh,"Makan coklat ini, ambil, makan itu dan ini" tetapi mulanya saya tidak makan. Saya ditanya, "Ada orang bersembunyi di dalam lubang ini?” saya jawab, "Ramai bersembunyi. Ada ramai orang". "Kalau ada ramai orang, suruh mereka keluar. Kalau tidak keluar, kami akan tembak peluru ke dalam. Semua orang akan mati. Awak mahu semua orang mati?" kata tentera Amerika dari Hawaii yang berdarah Jepun generasi kedua. Saya jawab, "Tidak, saya mahu semua orang hidup", "Kalau mahu orang-orang yang ada di dalam lubang hidup, suruh mereka keluar. Tidak mengapa jika mati setelah keluar. Yang pentingnya suruh mereka keluar" katanya lagi. Jadi saya katakan, "Cikgu Giko, kalau tidak keluar dari lubang, mereka kata mahu tembak. Mahu kena tembakkah?”. Cikgu Giko bertanya, “Macamana keadaan orang di luar sana?”, saya kata, “Ada orang yang separuh terbakar, ada tentera Jepun, mereka suruh makan itu dan ini, tetapi saya pegang sahaja belum makan lagi. Apabila semua keluar nanti, saya nak makan sama-sama”, saya kata lagi, “Keluarlah Cikgu Giko, keluarlah cepat, mereka kata sudah mahu tembak”. Tidak lama kemudian, ramai yang keluar dari lubang persembunyian dengan mengangkat tangan. Orang yang keluar adalah orang-orang dari Tsuha, Naha, Goya, dan orang-orang Kohatsu yang hidup terpinggir. Tiada orang Onaga yang keluar, saya sedih kerana tiada orang yang berasal dari Onaga seperti saya.

■ Perkara yang berlaku setelah ditahan dan dibawa ke Adaniya, Nakagusuku

Dan selepas beberapa ketika, mereka mula beramah mesra dengan saya. "Cik Kayoko duduk sini. Tanggalkan pakaian, saya akan basuhkan, saya akan pinjamkan pakaian harian, tunggu di sini ya", walaupun masih kanak-kanak, saya diajarkan bermacam perkara. Awak tak perlu bimbang tentang makan dan tidur, makcik ini akan menjaga kami.
Keadaan ketika itu benar-benar menyedihkan. Selagi masih bernyawa, kami cuma berharap agar keamanan berterusan.

■ Abang dan ayah saya masih hidup dan dibawa ke Hawaii. Kami berjumpa selepas itu.

Abang dan ayah saya ditangkap dan dibawa ke Hawaii. Mereka menyangka yang mereka akan dibunuh di dalam kapal ketika dalam perjalanan ke Hawaii, tetapi tidak, bahkan apabila sampai ke Hawaii, mereka dapati ramai orang-orang yang berasal dari Onaga di sana, orang-orang dari Persatuan Penduduk Hawaii berkumpul dan menyambut mereka dengan kata-kata “Datang ke Hawaii bukan untuk berperang” “Wah, hebat, hebat”.
Seperti ini, abang bertemu dengan ayah di situ. Jika anda kembali ke Onaga, 68% daripada Onaga telah musnah, bandar Onaga itu. Antaranya, penduduk Nishihara-cho yang paling ramai terkorban.
Antara mereka yang terselamat, hanya saya seorang yang tidak mengalami sebarang kecederaan. Tiada langsung luka. Orang lain, cedera di bahagian sini, cedera di bahagian telinga, cedera di belakang badan dan sebagainya, tetapi semuanya sihat. Luka-luka pun semakin sembuh.

■ Mesej kepada generasi muda

Sekarang sudah tidak ada lagi ideologi ketenteraan, saya fikir sekarang sudah bertambah baik kerana pendidikan tentang keamanan juga diterapkan. Kemungkinan telah lewat kerana peperangan seperti itu telah pun berlaku. Sebab itulah mesti ada pendirian sendiri, tegaskan pendirian tersebut secara berterusan.