LANGUAGE

LANGUAGE

Peperangan di Pulau Ie

"Peperangan di Pulau Ie"

Encik Takao Toyozato (38豊里隆夫)
Dilahirkan pada 3hb Oktober 1926
Pada masa itu berusia 19 tahun, Pelajar Sekolah Perguruan Okinawa/ Tentera

Bagi askar tahun pertama, dalam satu kompeni terdiri daripada lebih kurang 12-13 orang. Dan dalam satu batalion ada tiga kompeni dan secara keseluruhan, satu batalion terdiri daripada 30 hingga 40 orang askar tahun pertama. Kami dari sekolah perguruan seramai 3 orang telah diterima masuk dan akhirnya, hanya saya seorang yang selamat pulang ke rumah. Pengalaman itu menyebabkan saya rasa sangat malu kerana kami telah bersedia untuk mati dalam peperangan dan saya rasa sangat malu hanya saya dapat hidup dan kembali ke sini. Pulau Ie adalah sebuah pulau yang kecil, dan saya tidak dapat lari ke mana-mana.
Kami hanya melakukan latihan menyerang kereta kebal dan menggali lubang tempayan. Latihan itu diawasi oleh ketua pasukan dan penolong jurulatih. Untuk tujuan latihan, kami telah membina imitasi kereta kebal M4 dengan menggunakan papan lapis, kereta kebal imitasi itu kami pikul dengan dua orang dan kami telah memegang peranan sebagai kereta kebal M4. Askar yang bersembunyi di lubang tempayan, akan berkata "M4 menghampiri dalam 50 meter, menghampiri dalam 30 meter", bila sampai jarak 7 hingga 8 meter, dia akan menjerit "Sore", dan keluar dari lubang itu untuk menyerang M4. Bom segera seberat 7 hingga 10 kg merupakan senjata yang telah digunakan. Kami hanya mengendalikan bom segera yang seberat 7 kg. Bom segera itu, dikepung dari empat arah dengan papan setebal 1 cm, dan tinggi kotak kayu itu adalah kira-kira 30 cm. Selain itu, kotak itu turut disumbat dengan bahan dinamit berwarna kuning. Pada waktu itu, disebabkan oleh kekurangan fius, bom tangan diletakkan di atas bahan kuning itu, sebagai ganti fius. Hanya peledak bom tangan sahaja dikeluarkan dari bahan kuning, kemudian penutup dipasangkan di atas kotak bom segera, dan ditutup dengan paku. Bom segera berbentuk kotak itu diikat dengan tali berdiameter 1.5 cm dan di pikul seperti beg galas.
Di Pulau Ie, tiada bukit yang tinggi, dan ini merupakan masalah kerana tiada apa-apa yang boleh menjadi penghadang. Askar-askar tahun pertama, telah dihantar masuk ke dalam setiap skuad dengan serta-merta.
Pada siang hari, pesawat pengangkut tentera AS menyerang bergilir-gilir, dan kami terpaksa menyembunyikan diri. Pada waktu senja, setelah pesawat pengangkut tentera AS berundur pulang, arahan untuk menyerang akan dikeluarkan kepada kami. Selepas membuat serangan dimulakan, tidak lama selepas itu tembakan meriam dari kapal tentera AS pun bermula. Saya merasa semakin takut. Tembakan meriam darat juga sangat menakutkan. Apabila peluru dilepaskan bunyi yang kuat akan bergema. Tidak dapat diramal di mana peluru akan jatuh. Situasi ini berterusan selama seminggu, sehingga 16 haribulan April. Pada tengahari 16 haribulan, tentera Amerika telah mendarat di pulau Ie. Oleh kerana bahagian utara pulau Ie terdiri daripada tebing tinggi, kereta kebal dan lain-lain kereta perisai tidak boleh mendarat. Tentera Amerika dijangka akan mendarat di bahagian selatan. Oleh itu, kami telah menanam jerangkap samar anti kereta kebal, dan juga membuat markas. Atau kami telah memanggil tempat itu sebagai kubu.
Senjata adalah kurniaan maharaja, walau ada satu katrij yang terjatuh ketika latihan, seluruh pasukan akan mencarinya. Sebaliknya tentera Amerika, peluru sentiasa penuh di dalam raifel kabin mereka. Raifel kabin itu digenggam dengan sebelah tangan dan tembakan bertalu-talu dilepaskan. Jika diserang tembakan, kami pasti tidak akan menang. Ketika bersembunyi, Sarjan Taniguchi berkata kepada semua orang, "Tinggalkan satu bom tangan untuk membunuh diri, yang lain itu, baling dengan sembunyikan badan dan jangan tunjukkan bahagian kepala". Jika bahagian kepala terkeluar dari tempat persembunyian, ia akan menjadi sasaran tembakan tentera Amerika. Tembakan kami telah dilakukan secara rambang. Bom tangan pula, hanya satu kami sembunyikan di dalam poket. Apa yang kedengaran selepas itu adalah, bunyi peluru tembakan dari tentera Amerika. Pasukan Tamura daripada tentera bersekutu, mempunyai senapang yang boleh melepaskan tembakan berterusan. Mereka melakukan tembakan untuk melindungi kami, tembakan itu sepatutnya diarahkan kepada tentera Amerika, tetapi mereka menembak ke arah belakang kami. Tembakan dihentikan serta-merta, tetapi jika serangan itu diteruskan untuk seketika lagi, tentu kami akan mengalami kecederaan daripada serangan itu.
Mungkin Sarjan Taniguchi telah bersedia untuk mati. Dia panggil saya "Hey, Toyozato". Apabila saya menjawab "Ya", beliau berkata, "Letakkan bom segera kamu di tengah". Saya pun meletakkan bom segera saya di situ. Di sekeliling saya cuma ada dua prebet kelas pertama yang tercedera dan sarjan Taniguchi berseorangan. Sarjan adalah komander ketika itu jadi dia tidak membawa bom segera, dan hanya membawa pedang tentera. Sarjan Taniguchi berkata, "cabutkan pin bom tangan itu". Saya tidak dapat menentang arahan, dan mencabutkan pin itu. Saya fikir semuanya sudah selesai, saya hanya berserah kepada nasib dan memejamkan mata. Saya tak berani lakukannya dengan mata terbuka jadi saya pejamkan mata. Tetapi, kedua-dua prebet kelas pertama itu kelihatan seperti dirancang telah menjerit sekuat hati, "Tuan Sarjan, masih terlalu awal untuk mati!". Kedua-duanya menjerit serentak. Sarjan Taniguchi tersedar dengan jeritan suara kedua mereka itu berkata "Oh, betul juga, begitu rupanya" lalu membatalkan arahan supaya menarik keluar pin dari bom tangan. Saya berasa lega. Dalam hati saya berkata "Oh, selamat". Sekarang bolehlah kata, "Oh, selamat", tetapi waktu itu, di situasi begitu mana boleh sebut "Oh, selamat".