LANGUAGE

LANGUAGE

Pengalaman Peperangan Okinawa oleh pemuda negara ketenteraan

Pengalaman Peperangan Okinawa oleh pemuda negara ketenteraan

En. Fumio Shimabukuro, 87 tahun
(Asal: Maeshima, Naha, Okinawa)

Pada waktu itu impian semua orang hanyalah untuk menjadi askar. Ada seorang lelaki bernama Kapten Oomasu pada waktu itu. Saya mendengar bahawa kegiatannya cukup mendapat perhatian Maharaja.

Saya, sebagai pemuda negara ketenteraan juga mengimpikan untuk belajar di Sekolah Pegawai Tentera atau pun Sekolah Infantri Tentera. Sebaliknya semasa memasuki universiti saya hanya dapat belajar satu semesta kerana menghabiskan masa untuk persediaan peperangan.

Untuk menghadapi peperangan, kami membina kubu. Di lapangan terbang Oroku, ada parit perlindungan bernama Entaigou, dikelilingi tanah, kami membina parit perlindungan yang boleh menyembunyikan pesawat. Kami melakukan kerja-kerja memindahkan peluru ke dalam parit perlindungan di Hantagawa, dan juga kerja-kerja memuatkan perkakas askar di Pelabuhan Naha dan juga kerja-kerja mengangkat barang.

Ketika serangan udara semakin sengit
Semasa serangan udara 10hb Oktober, tiada maklumat maka kami tidak tahu apa-apa, saya telah ke tempat saya bekerja pada 7 pagi. Tiba-tiba siren berbunyi, saya terkejut melihat pesawat terbang di sekeliling, sedang saya memikirkan apa agaknya yang berlaku, ada seorang pegawai menghunus pedangnya, dan berpusing seraya menjerit, “Musuh menyerang, musuh menyerang! Cepat, masuk ke dalam parit perlindungan!”
Kami bersembunyi di dalam parit perlindungan, tetapi gegaran bom sangat kuat terasa, pasir berguguran dari atas, ini adalah pengalaman pertama saya, kaki saya menggeletar ketakutan.


Melarikan diri
Dari sebuah kuil di Asato, saya ke Maeda di Urasoe, saya melarikan diri sementara ke tempat kenalan. Ada juga yang melarikan diri ke utara, tetapi ada orang berkata, “Di sana teruk, makanan pun tiada.” Maka kami menjalankan kehidupan pelarian di dalam parit perlindungan di Urasoe.

Tentera Amerika yang menyerbu
1hb April, dari lepas pantai Gusukuma sehingga ke Yomitan keseluruhan pulau bagi dilitupi oleh banyaknya kapal perang di laut, pemandangannya seakan-akan kami akan diserang bila-bila masa sahaja.
Tidak lama selepas itu, ada satu pesawat seperti glider yang kami panggil “Tonbo” (pepatung) terbang, seperti sedang memberikan sesuatu isyarat, kemudian bedilan meriam kapal mula melanda seperti letupan bunga api. Pertama kali saya melihat perkara seumpama ini. Pihak Jepun mengisi peluru dan membedil meriam, “Bang, bang!” juga, tetapi pihak Amerikalah yang lebih hebat membedil terbang ke arah kami, di dalam parit perlindungan kaki saya menggeletar.

Tenchousetsu adalah hari ulang tahun kelahiran Maharaja, saya ingat kerana ia adalah pada 29hb April. Malam sebelumnya pada 28hb terdapat serangan meriam kapal. Oleh kerana serangan itu, bumbung gua kami runtuh dan menutup parit perlindungan tersebut, sangat gelap. Ada sedikit cahaya memasuki, tetapi kami tidak mempunyai penyodok, maka semua orang menggunakan tangan mengorek batu-batu kecil dan runtuhan dan akhirnya kami berjaya keluar. Terselamat nyawa kami.



Semasa melarikan diri
Saya terfikir, apa saya hendak lakukan ini. Dari Takushi, saya membawa periuk, dan bergerak ke Taira dari Shuri. Sepanjang perjalanan, ramai orang yang tumbang, melihat dari bekas Muzium Negeri, saya nampak pemandangan Istana Shuri sedang terbakar.

Sambil melarikan diri, tiada tempat untuk bersembunyi hingga terpaksa membuka kubur orang lain untuk bersembunyi. Terdapat banyak bekas tulang mayat, namun saya tidak takut dan terkadang tidur bersama-sama bekas-bekas tulang mayat.

Setelah itu, terdapat batu yang dipanggil Shimeyama di bukit di satu tempat yang bernama Aza Oshiro di situ saya membina pondok kecil. Kami mengumpul tanaman susuki dan buluh, menutupi batu itu dan bersembunyi di sana untuk sementara waktu.

Tidak lama setelah itu, khabar angin mengatakan tentera Amerika akan datang dari arah Yonabaru, dengan tergesa-gesa kami melarikan diri dari situ kerana kami hanya terfikir akan dibunuh kalau tertangkap.

Kami bersembunyi sementara di rumah jerami di Funakoshi di Tamagusuku, tetapi di situ juga terdapat serangan meriam kapal. Kami sempat keluar dan bersembunyi di batu pantai dan terselamat, lambat sedikit sahaja kami mungkin sudah terkena.
Dari situ kami fikir arah Cape Kyan adalah selamat dan bergerak ke situ, sebaliknya di sana lebih teruk.

6 atau 7hb Jun, terdapat serangan dari pesawat Grumman, lantai rumah tempat kami bersembunyi tercampak dan asap menjadi marak. Saya sambil menggenggam tangan datuk lari keluar. Saya tidak tahu emak melarikan diri dengan siapa.
Berdekatan ladang, terdapat lubang yang berpenutup batu, saya bersembunyi di bawahnya. Tetapi datuk yang melarikan diri dengan saya mungkin menjadi takut lalu melepaskan genggaman tangan saya dan mungkin juga dia telah berlari ke arah bom yang sedang digugurkan, mungkin dia terkena bom atau telah tumbang di tempat yang jauh dari saya. Emak pula, mungkin berpatah balik mengambil barang, telah terkena bom pada dadanya di pintu rumah dan gugur di situ. Saya tidak berhenti menangis kerana kehilangan ibu bapa. Selepas ini saya akan keseorangan, menjadi anak yatim perang.

Semasa mencedok air di satu tempat yang bernama Cape Kyan, saya nampak ramai orang telah mati. Ada yang timbul di atas air kolam. Saya rasa mereka terbunuh semasa hendak mencedok air. Mereka telah kembung seperti belon, dan banyak ulat keluar dari hidung dan mulut mereka.

Satu hari di waktu petang, bom dari meriam kapal gugur berdekatan, ia meletup dan mencampak batu-batu yang kami timbunkan. Bahu kanan saya terkena serpihan bom dan ia tidak mahu keluar dari lengan saya, maka lengan kanan saya sekarang pendek, saya menulis dengan tangan kiri. Selepas perang itulah kenangan yang pedih bagi saya.

Kemudian saya bersembunyi di dalam kendang kuda, ada 3 atau 4 orang askar Jepun di situ, salah seorang terbaring dan menjerit “Bunuh, tolong bunuh!” Organ dalam perut dia terkeluar kerana perutnya tertembak, di tangannya ada bom tangan, saya risau lalu mengambil dari orang itu dan membuangnya keluar. Saya takut dia akan membunuh diri dengan menggunakan bom tangan tersebut.
Ada juga wanita di situ, mungkin dari unit Himeyuri saya rasa.


Kemudian pada 21hb Jun, di sebelah petang, “Bang, bang, bang!” bunyi pistol kedengaran. Askar itu meletupkan diri, dan wanita itu juga melekapkan bom tangan di dada dan membunuh diri.

Pada waktu itu saya berada di Cape Kyan, kelihatan seperti surat khabar dijatuhkan dari udara. Itu adalah pemberitahuan Amerika memberitahu, “Segera menyerah!” Orang berdekatan saya berkata, “Sesiapa yang mempunyai pemberitahuan itu akan ditembak oleh askar Jepun.” “Wah, teruknya!” terus saya membuangnya.

Di medan perang, saya takut dengan askar Amerika, saya juga takut dengan askar sendiri, teruk sungguh. Saya rasa macam hidup di zaman yang mengamalkan hukum rimba. Memang tidak boleh dipercayai, tetapi setelah itu saya memang mendengar ada orang yang dibunuh oleh askar sendiri. Sesiapa yang cuba menyerah diri akan ditembak dari belakang.

Mengenang kembali peperangan itu
Kalaulah tiada peperangan semua orang akan hidup dengan aman.
Keamanan masa kini dicapai hasil dari pengorbanan orang di masa perang. Ada peribahasa oleh Takanori Ninomiya, “3 nilai dari syurga”. Ia bermaksud manusia mesti bersyukur terhadap alam dan orang yang membantu kita, dan saya mengamalkan ia. Kita tidak boleh memperoleh kebahagiaan untuk seorang sahaja, kebahagiaan adalah untuk semua. Dunia akan musnah jika kita tidak berfikiran begini.