LANGUAGE

LANGUAGE

Menerima 4 butir bom tangan dan di saat terakhir sebelum membuat serbuan ~ dikejar sehingga ke pantai bertimbunan mayat bunuh diri ~

● Menerima 4 butir bom tangan dan di saat terakhir sebelum membuat serbuan
~ dikejar sehingga ke pantai bertimbunan mayat bunuh diri ~

Nama Saksi : Encik Kensei Kamiunten (13上運天賢盛)
Tarikh Lahir : 1 Disember 1931
Tempat Lahir : Saipan
Umur Ketika Itu : 14 tahun

■ Bagaimanakah keadaan sekeliling sebelum tentera AS mendarat di Saipan?
Sebelum tentera Jepun memasuki Saipan, pemandangan di kampung pertanian indah permai, dan suasananya aman damai. Suasananya bertukar menjadi huru-hara sekitar pertengahan tahun 1943. Tidak lama selepas itu, sekitar Tahun Baru 1944, tentera Jepun tanpa senjata tiba secara beramai-ramai. Oleh kerana semua bangunan sekolah dijadikan berek tentera Jepun, kami hilang tempat untuk belajar.

■ Melihat tentera Amerika untuk kali yang pertama
Nyalaan isyarat dilepaskan ke langit,. Apabila kedengaran bunyi tersebut keadaan sekeliling akan menjadi cerah seperti tengah hari. Isyarat itu teramat terang, sehingga kami tidak dapat bergerak. Dan setelah isyarat itu lenyap, kami akan bergerak dalam masa kira-kira seminit. Kemudian, apabila kedengaran isyarat itu dilepaskan semula, pada waktu yang sama kami akan meniarap di atas tanah. Kami terpaksa menunggu sehingga isyarat itu lenyap, biasanya akan mengambil masa lebih kurang seminit. Sebaik sahaja isyarat itu lenyap, kami akan mula bergerak semula. Dalam keadaan itu, perjalanan sejauh satu kilometer memerlukan masa sejam.

Labih kurang pada pukul 10 pagi Keesokan harinya,, kedengaran jeritan beberapa orang yang terdesak dan kuat, "Habislah kita. Cepat lari". Apabila saya meneliti keadaan itu, memang betul kerana di jarak lebih kurang 500~600 meter, kelihatan 2 buah kereta kebal, serta satu barisan tentera Amerika sedang bergerak menghampiri kami.

Tentera-tentera Jepun di hadapan kami telah mengalami kecederaan sama ada di sebelah kaki dan kedua-dua belah tangan. Dengan tidak semena-mena, salah seorang mereka mengeluarkan bom tangan. Pada mulanya saya tak tahu apa bendanya itu. Tiba-tiba seorang askar Jepun yang berada di sebelah saya, menolak saya sambil menjerit, "Tunduk". Sebelum itu saya hanya pernah melihat bom tangan, saya tidak tahu apa akan berlaku jika bom tangan itu dikeluarkan dan seterusnya meletup. Saya ditolak dengan kuat dan ketika tertiarap di atas tanah, bom itu meletup, “Bam!”. Akhirya, tentera Jepun di depan saya yang cedera tadi telah membunuh diri dengan bom tangan. Bila memikirkan peristiwa ini semula, saya merasa pelik, “Bukankah di sini ada orang awam, kenapa tidak pergi ke tempat yang jauh sedikit untuk membunuh diri, kenapa dia mesti bunuh diri di sini”. Tiba-tiba sahaja, askar itu bunuh diri dengan bom tangan di depan mata saya. Jarak dari saya, lebih kurang macam ini. Bapa saudara saya pula berada di tempat lebih kurang antara jarak kamu dengan saya. Dan perutnya mengeluarkan bunyi yang aneh, disebabkan oleh bom tangan yang meletup, tanpa bercakap apa-apa, dia terus rebah”. Sepupu saya, yang duduk di sebelah bapa saudara saya itu, terkejut dan mula menangis. Seterusnya makcik saya berkata mahu melarikan diri dan terus beralih dari situ. Selepas itu, askar yang menolak saya tadi berkata di sini bahaya. Dia menghalau saya pergi kerana semakin ramai tentera yang akan bunuh diri di sini dan tanpa saya sedari , kami berdua telah lari sehingga ke dalam sebuah ladang tebu.

■ Penglibatan kanak-kanak dalam serbuan
Kalau tidak silap saya tempat itu dipanggil Tehada dan di situ tentera Jepun bebas bergerak, dalam erti kata lain semua lelaki yang tinggal berjauhan dengan keluarga akan ditangkap. Tidak kira orang dewasa atau kanak-kanak, kesemuanya akan ditangkap, selepas itu saya diberi 4 butir bom tangan, dan 6 butir bom untuk orang dewasa, dan diarahkan untuk menyerang pangkalan tentera AS di Matansha.

Seorang Leftenan akan dipilih sebagai kapten untuk memimpin, diikuti oleh Lans Koperal. Maknanya ada dua orang anggota askar Jepun, dan kemudian orang dewasa...mungkin 2 orang tetapi saya tak pasti samada mereka berasal dari Okinawa atau tidak, kanak-kanak termasuk kami jumlahnya 4 orang. Jadi, mungkin kesemuanya berjumlah 6 orang. Jika ditambah dengan anggota tentera, satu kumpulan terdiri daripada 8 orang. Di situlah pertama kali saya diajar mengenai cara penggunaan bom tangan. Mula-mula cabut pin keselamatan, kemudian ketuk di atas batu, dan ia akan meletup dalam 4 saat, saya diajar supaya selepas ketuk, bilang 1, 2, 3, dan lontarkan. Begitulah kami diajar, setelah menerima latihan, barulah kami akan pergi (menyerang)."

"Waktu bertolak pun sampai dan kami baru berjalan tidak sampai 50 meter, apabila datang seorang pegawai muda dari Akademi Tentera Jepun, seorang Leftenan Muda. Leftenan Muda itu keluar dan berkata, "Kamu semua mahu pergi ke mana”. Leftenan pun menjawab "Kami akan pergi untuk menyerang”. Bila dia katakan, “Ini adalah arahan Leftenan Jeneral... Saya tak ingat namanya ”, Leftenan Muda pun menjawab, "rahan begitu tidak pernah dikeluarkan". Dia pula bertanya, "Siapa yang sampaikan?", Leftenan pun menjawab, "Kapten kami yang namanya aku tak ingat tu. Tetapi, "peperangan ini patut dilakukan oleh tentera, bukannya kanak-kanak. Pergi balik” arahnya pula. Apabila Leftenan membalas, "Tidak boleh, ini adalah arahan", "Tiada arahan untuk kanak-kanak pergi berperang. Cepat pulangkan bom tangan” tegasnya lagi sambil merampas semua bom tangan daripada kami, dan seterusnya mengarahkan kepada Leftenan, Lans Koperal dan Leftenan Muda , "Sekarang kami bertiga akan pergi menyerang. Kamu semua pergi balik” dan beredar dari situ."

■ Neraka medan perang dari kaca mata kanak-kanak yang melarikan diri
Dan akhirnya, kanak-kanak terpaksa hidup berasingan sekali lagi, saya dan sepupu saya telah melarikan diri ke gunung, melarikan diri ke laut, dan melarikan diri ke mana-mana sahaja.

Matahari terbit terang pada kira-kira pukul 04:00. (Matahari) sudah agak cenderung ke arah barat. Pada masa itu, tembakan dari tentera laut sudah berhenti. (Tembakan tentera laut) sudah berhenti, dan kemudian, cucunya ... yang paling tua lebih kurang empat tahun, paling kecil baru bertatih-tatih, kesemuanya 3 orang. Seorang nenek keluar membawa 3 orang anak kecil, saya rasa semua itu adalah cucunya, kerana tidak kelihatan ibubapa mereka. Sejurus kemudian, nenek itu mengeluarkan sabit, dan mengarahkan semua (cucunya) untuk memejamkan mata. Saya tidak pasti kerana jarak saya agak sedikit jauh, tidak sampai hingga 15 meter tetapi lebih sedikit daripada 10 meter. Kemudian nenek itu telah memotong semua leher cucunya, dan menolak semua (cucunya) dari tebing. Saya amat terkejut. Sepupu saya yang juga telah melihat kejadian itu mula menangis kerana tidak tahu apa yang patut dilakukan. Tidak lama kemudian, nenek itu turut memotong lehernya sendiri dengan sabit, dan terjun (dari tebing).

“Mayat yang ditolak oleh ombak. Seterusnya ialah di tempat yang jauh sedikit dari pantai berbatu, mayat-mayat terapung seperti kayu hanyut yang dipukul ombak, dan ada juga mayat yang dinaikkan ke atas batu oleh pukulan ombak, bukan sahaja orang dewasa, terdapat juga banyak tubuh kanak-kanak kecil”

"Dalam pada itu, hanya dua kali, ketika kami melalui bawah tebing, dua kali kami nampak (orang)yang terjun dari atas. Terdapat banyak batu-batu di bawah, apabila terjun ketika ombak sedang surut, mereka akan jatuh ke atas batu, dan hampir kesemuanya mati serta-merta. Tetapi jika mereka terjun ketika ombak datang, mereka tidak akan mati serta-merta. Dan, pada masa itu, lebih kurang 20 meter dari pinggir pantai, kereta kebal (tentera AS) sedang menunggu. Kereta kebal akan datang dekat, sehingga lima meter dari pinggir pantai, dan menyelamatkan orang-orang yang terjun tadi. Apabila saya melihat antara celah-celah batu di kawasan bertentangan, saya nampak ada tentera Jepun yang bersembunyi. (Tentera Jepun) Tidak melawan dan tidak juga berbuat apa-apa. Hakikatnya hanya penduduk yang berjalan dan berulang-alik di situ, dan mayat-mayat yang terjun bunuh diri juga tiada seorang pun anggota tentera Jepun. Semuanya penduduk setempat!"

"Begitulah cara saya menghabiskan sesuatu hari, sehingga matahari terbit. Semasa saya duduk berehat, ketika matahari semakin cerah, (tentera) Amerika memanggil dengan pembesar suara di pinggir bukit, dan saya lihat semakin ramai orang yang mendaki untuk pergi ke situ. Dalam barisan itu, saya nampak kelibat ibu saya, "Oh, itu ibu", lalu saya meluru ke arahnya. Apabila sampai di sana, tentera Amerika menghulurkan tangan untuk membantu kami. Dan pertama sekali, kami diberikan air minuman. Tetapi kami bimbang yang tentera Amerika mungkin telah meracunkan air itu. Pada mulanya kami tidak mahu minum. Jadi tentera Amerika akan minum dulu baru memberi kami minum. Selepas itu, barulah kami percaya air itu tidak beracun, dan dengan itu, kami pun minum sepuas hati"