LANGUAGE

LANGUAGE

”Melarikan diri dari Yomitan ke utara, serba kekurangan. Perang itu menang jadi abu, kalah jadi arang.

”Melarikan diri dari Yomitan ke utara, serba kekurangan. Perang itu menang jadi abu, kalah jadi arang.
En. Hideaki Tamaki, 87 tahun
(Asal: Tokeshi, Yomitan-son, Okinawa)

Serangan Pearl Habour
Pada 8 Disember 1941, bermulanya serangan ke atas Pearl Habour. Pada waktu itu saya mendengar dari guru-guru saya “banyak kapal-kapal perang musuh telah ditenggelamkan”. Saya rasa “Wah, hebatnya Jepun”. Guru-guru saya juga turut berkata “Orang lelaki cepat-cepat masuk tentera, dan berbakti untuk negara. Semakin cepat menjadi tentera, semakin cepat mempunyai kedudukan. Kamu akan mempunyai banyak anggota bawahan dan kamu akan jadi orang hebat”. Mendengar itu kami berfikir “Betul juga itu!”. Perasaan kami menjadi sangat teruja.

Di waktu tahun 1 sekolah menengah rendah. “Kamu semua, pergi memohon untuk jadi tentera laut!” kata cikgu kepada kami. Maka saya telah memohon untuk menjadi tentera laut.

Ada piawaian ketinggian dan berat dalam pemeriksaan ketika permohonan saya. Jika tidak cukup syarat, permohonan akan gagal. Saya tidak cukup ketinggian dan juga berat, saya tidak lulus. Jika saya lulus permohonan pada waktu itu, apa akan jadi agaknya, saya pun tak tahu.

Sedikit pun saya tidak fikir saya akan mati.

Serangan udara 10/10
Serangan udara 10/10 telah bermula di waktu pagi sebelum pukul 8. Pesawat pejuang telah datang ke lapangan terbang Yomitan dan menggugurkan bom di situ. Asap menjulang ke udara di situ. Di Tokeshi tempat saya tinggal, terdapat pit bawah tanah yang boleh memuatkan ramai orang. Kami beramai-ramai melarikan diri ke situ. Kami menyaksikan serangan udara tentera Amerika di situ. Semua kapal perang telah diranapkan. Saya mengetahui selepas itu bahawa bandar Naha juga habis terbakar kerana dihujani bom pembakar. Setelah itu kami telah dikerahkan oleh tentera.

Kami dikerah melakukan kerja-kerja ketenteraan, menggali pit kereta kebal, kubu lubang dan lain-lain.

Sekolah telah dirampas untuk dijadikan berek bagi setiap angkatan tentera Jepun. Tiada kelas, sebaliknya kami dikerah untuk menggali parit perlindungan serangan udara.

Pada 23 Mac 1945, serangan udara dimulakan oleh tentera Amerika bertujuan untuk mendarat di Okinawa. Saya masih ingat dengan jelas. Kami tidak dapat membuat majlis graduasi kerana serangan udara tersebut. Keesokan harinya, banyak perkampungan telah digugurkan bom. Tiada apa yang lebih menakutkan dari peristiwa ini. Bom gugur berhampiran diri sendiri. Bang! Kedengaran bunyi bom, dan juga bunyi senjata kapal terbang. Walaupun berada di kejauhan, tetap terasa gegaran tanah akibat bom. Bila bom jatuh, mula-mula kilat akan kelihatan. Kemudian bumi akan bergegar. Selepas itu bunyi yang kuat. Tanah di parit perlindungan juga akan berjatuhan.


Sehingga tengah hari 23, 24, dan 25 Mac serangan udara diteruskan. Waktu petang serangan udara ditamatkan. Sangat tenang bila ia tiada. Kami akan keluar dari parit perlindungan dan melihat laut. Banyak kapal-kapal tentera Amerika kelihatan, ada kapal perang, kapal pengangkut dan lain-lain. Banyaknya kapal-kapal itu sehinggakan jika kapal-kapal itu disusun, agaknya kami boleh berjalan kaki menyeberang sehingga ke kepulauan Kerama. Jumlah yang sangat banyak sehingga sukar melihat warna air laut.


Melarikan diri ke utara
“Penduduk semua diminta berpindah ke bahagian utara! Di sini sebentar lagi akan menjadi medan perang.” Kami telah diberitahu. Penduduk semua menjadi panik, di dalam parit perlindungan, kanak-kanak menangis. Orang tua juga ada. Ada juga yang berkata “Kami tidak larat berjalan ke bahagian utara. Kami rela mati di sini, kami tidak akan lari.”

Kami bertolak dari perkampungan dan keluar ke jalan negeri di Yamada. Di sana ramai pelarian dari bahagian tengah dan selatan. Tiada seorang pun yang berkata-kata. Semuanya hanya diam sambil berjalan ke arah utara. Dalam perjalanan, kami berselisih dengan hampir 30 orang askar Jepun. Sambil menarik meriam, mereka menuju ke arah yang berlawanan dengan kami. Hanya 1 kali ini sahaja kami berselisih dengan tentera yang sedang bergerak.

Di destinasi kami melarikan diri
Di destinasi kami dan keluarga melarikan diri juga, tentera Amerika yang mendarat dari Nago semakin menghampiri kami. Untuk melarikan diri, kami terpaksa mendaki ke kawasan pergunungan. Waktu itu saya rasa sekitar 7 atau 8 hari bulan April. Jadi kami mendaki ke atas gunung. Terdapat pondok kecil yang telah dibina bagi kegunaan para pelarian. Mungkin pondok-pondok itu dibina atas arahan dari pihak negeri. Ramai juga yang tidak dapat memasuki pondok-pondok tersebut. Bagi kami yang melarikan diri kerana mendapat arahan pemindahan, kami mendapat sebahagian tempat yang memang dibahagikan kepada kami. Bagi orang lain, ada yang tidak dapat memasuki pondok walaupun telah naik ke atas gunung. Mereka menggunakan daun-daun pokok untuk berlindung dari hujan, ada juga yang bersembunyi di bawah bebatuan.

Terdapat pada sesuatu masa, jika kita mengambil ubi berhampiran perkampungan pun tiada siapa yang akan ditangkap oleh tentera Amerika. Tetapi, ada seorang pelarian ini, tiba-tiba pada satu hari telah ditangkap oleh tentera Amerika, kemudian beliau telah dibawa ke kem tahanan Taira di Haneji. Saya mendengar sendiri dari beliau tentang peristiwa tersebut. “Saya makan nasi kepal yang besar hingga kenyang” cerita beliau. Beliau datang dari kem tahanan untuk memanggil keluarga beliau. Disebabkan itu, ia telah menjadi khabar angin yang menggemparkan bahawa beliau adalah seorang “pengintip”. Seorang askar yang dapat lari dari tawanan dari bahagian selatan tengah berkata “kita bunuh”. “Aku bukan pengintip, sama seperti kamu semua, anak lelaki sulung aku juga ke medan perang untuk bertempur. Jadi kenapa aku harus dibunuh?” beliau berkata, lalu beliau tidak jadi dibunuh.

Ada juga kalanya askar-askar Jepun melawat rumah kami, para pelarian. “Esok kami akan pergi bertempur, boleh beri kami sedikit nasi? Kami perlukan tenaga” kata mereka. Tetapi, rupa-rupanya mereka tidak pun pergi bertempur. Mereka hanya menipu untuk mendapatkan makanan.

Kami turun dari gunung pada 23hb Julai 1945. Tentera Amerika berkata “tidak mengapa, kami tidak akan bunuh kamu” lalu kami pun turun ke bawah.

Saya juga pernah berasa seperti akan dibunuh. Kami diberitahu “lelaki akan dikerat hidung, dikerat telinga, dikorek biji mata sebelum dibunuh, manakala wanita akan dipergunakan sebelum dibunuh”. Ada juga yang berfikir “Lebih baik bunuh diri dari ditangkap!”. Ada juga rasanya yang bunuh diri beramai-ramai.

Turun dari gunung
“Tidak akan dibunuh”, kami mendapat maklumat dari bawah gunung, maka kami pun mengambil keputusan untuk turun dari gunung. Ia nampaknya dibincang dan diputuskan oleh orang-orang dewasa. Ada juga yang berpendapat “Sekarang, anak-anak kita sedang berjuang di bahagian selatan, kita pula hendak menyerah diri di hadapan musuh? Itu tidak patut.” Tetapi ramai yang setuju dengan “Perkampungan sebelah, ramai yang sudah turun. Jika mereka tidak dibunuh, kita juga akan selamat. Mari kita juga turun.” Maka di perkampungan kami, kami bersetuju untuk turun dari gunung. Malangnya, setelah turun dari gunung, tiada makanan diagihkan. Kami dengar, bagi pelarian dari selatan tengah, mereka dapat makanan tetapi tidak bagi orang dari bahagian utara. Mungkin barangan yang sampai ke mari sedikit jumlahnya.

Mereka yang tinggal di atas gunung
Bagi mereka yang tidak mendapat maklumat mengenai “Tidak akan dibunuh walau ditangkap” terus tinggal bersembunyi di atas gunung. Mereka yang terima maklumat akan turun dari gunung, mereka yang tidak, bersembunyi di atas gunung sehingga bulan September. Ada yang mengambil keputusan untuk turun menjadi tawanan perang, tetapi berpatah balik ke atas gunung. Mungkin bagi mereka “Lebih baik dari ditangkap lalu dibunuh”?

Mengenang kembali peperangan itu
Menang jadi arang, kalah jadi abu. Itulah peperangan. Tiada yang lebih disyukuri daripada keamanan. Hanya peperangan, wajib dielakkan walau apa pun yang berlaku. Hanya peperangan wajib dielakkan!