LANGUAGE

LANGUAGE

Cuma tertinggal kanak-kanak yang melarikan diri meninggalkan ibu bapa yang hangus terkorban ~Anak-anak muda, pergilah ke pilihan raya~

Cuma tertinggal kanak-kanak yang melarikan diri meninggalkan ibu bapa yang hangus terkorban
~Anak-anak muda, pergilah ke pilihan raya~

Nama Saksi : Puan Sachiko Nishihira (16西平幸子)
Tarikh Lahir : 27 Oktober 1933
Tempat Lahir : Nishiharacho
Pada Masa Itu : Pelajar Sekolah Awam berusia 11 tahun
Penemuduga : Anak perempuan, cucu

■ Setelah tentera AS mendarat, kami berpindah dari Nishihara di kawasan tengah pulau utama ke kawasan selatan. Telah kehilangan ibu bapa dan adik-beradik dalam pengeboman di Maehira, Itoman.)

Penemuduga Semasa tentera AS mendarat, apa yang anda lakukan.
Saksi Apabila tentera AS mendarat, kami semua melarikan diri ke kawasan perkuburan. Tentera AS telah semakin dekat dengan Nishihara, jadi semua orang melarikan diri ke Shimajiri.
Penemuduga Nenek dan mereka yang lain telah melarikan diri ke Shimajiri mengikut laluan mana?
Saksi Dari Nishihara, kami pergi ke Haebaru, tetapi sampai sahaja di sebuah tempat bernama Maehira, mereka semua telah terkorban. Di situ, Cikgu Koki Chinen, iaitu seorang guru yang mengajar saya semasa tahun 4 dan 5 telah berkata, “Semua ahli keluarga jangan berkumpul di satu tempat, elok bergerak berasingan. Dengan cara itu, pasti ada ahli keluarga itu yang dapat terus hidup”. Kebetulan masa itu saya terjumpa guru itu, dan saya terkejut kerana dia telah menjadi seorang askar. Kerana saya berjumpa dengan guru itu di situ, dan percayakan kata-katanya, ibu telah berpisah dari saya dan adik dan berada di tempat lain tetapi tidak lama selepas itu satu bom pembakar telah dijatuhkan tepat di kedudukan ibu dan adik saya yang seorang lagi menyebabkan mereka mati terbakar dan hanya kami yang terselamat. Masa itu saya memikul seorang bayi yang mulanya masih hidup. Tetapi, kerana saya menggendongnya di belakang, saya tidak perasan yang bayi itu telah meninggal dunia.
Ketika saya meneruskan perjalanan, seorang dewasa menegur, “Bayi ini sudah meninggal dunia, letakkan dia ke bawah” ... itulah apa yang telah berlaku di Shimajiri.
Penemuduga Di hadapan mata anda, ibu dan ....
Saksi Ya. Adik perempuan saya juga.
Penemuduga Adik perempuan anda hanya seorang?
Saksi Adik lelaki saya yang tak tahu kenapa, dengan rambutnya terbakar masih hidup dan datang dari arah sana.

■ Keluarga yang hangus terbakar. Tinggal saya, adik perempuan dan adik lelaki hanya kanak-kanak sahaja yang menjadi pelarian. Tiada seorang pun penduduk atau askar yang membenarkan kami masuk ke dalam lubang persembunyian.)
Sudah ramai yang meninggal dunia di sini. Termasuk pakcik dan makcik saya. Kemudiannya kami sendiri terpaksa berjalan mengikuti orang dewasa sampai ke Mabuni.
Penemuduga Nenek, dan makcik Sadako.
Saksi Ya. Juga adik lelaki saya.
Saksi Saya menggendong yang seorang anak kecil di belakang saya. Saya hanya dengar bunyi senapang jadi saya tidak tahu sama sekali yang anak kecil itu telah meninggal dunia atau tidak. Banyak tempat saya pergi, saya dihalau jika termasuk ke lubang persembunyian yang ada orang, askar juga halau saya. Kerana anak kecil akan menangis. Mereka kata musuh akan dapat tahu jika ada kanak-kanak menangis di lubang itu. Bila sudah terjadi perang, semua orang akan berubah menjadi syaitan. Manusia akan hilang sifat kemanusiaan. Orang akan mementingkan diri sendiri. Kalau mengenang semula, hanya disebabkan suara tangisan anak kecil sebegini telah dihalau keluar dan saya duduk berseorangan di bawah pokok, kemudian saya menggendong lagi di belakang. Sambil melarikan diri. Jika pergi ke tempat orang berkumpul. Beginilah jadinya. Perang itu sangat menakutkan.

■ Dalam usaha untuk terus hidup, saya perhatikan dan mengikut apa yang dilakukan oleh orang dewasa ....
Penemuduga Adakah anda terus mencari lubang persembunyian?
Saksi Ya, ketika saya berjalan mencari tiada siapa pun yang membenarkan budak seperti saya yang menggendong anak kecil untuk masuk. Semua orang cuma memikirkan keselamatan diri mereka sahaja. Tiada orang dewasa yang cuba membantu kami.
Penemuduga Masa itu, makanan dan sebagainya pula macam mana.
Saksi Hanya tebu sahaja. Adik perempuan saya, ambil hampas tebu kemudian perah dan minum air perahan tersebut. Sebab itulah, apabila kami menjadi tawanan perang, adik lelaki saya sudah nyaris-nyaris maut. Bagaimana saya berusaha supaya adik lelaki saya dapat sembuh. Saya lihat dari apa yang dilakukan oleh orang dewasa kemudian saya suruh adik perempuan saya pergi menangkap katak dan saya cari topi besi. Kami rebus katak itu dan beri minum kepada adik lelaki saya. Perut adik lelaki saya sudah bengkak, paru-parunya berhenti, seperti tiada apa yang kami boleh buat lagi.
Penemuduga Sudah lemah sampai begitu sekali.
Saksi Ya. Dan saya lihat apa dan bagaimana orang dewasa melakukannya saya ikut perbuatan mereka dan bagi adik lelaki saya minum, 2,3 hari kemudian dia sudah boleh buka mata. Begitulah kami hidup. Tiada siapa, yang mengajar bagaimana nak lakukan sesuatu. Saya rasa bernasib masih dapat teruskan hidup walaupun cuma berusia 11 tahun.
Apabila menjadi tawanan perang, disebabkan tiada rumah, kami bertiga tidur di bawah pokok Banyan. Ketika menjadi tawanan dan berada di bawah pokok Banyan, kami ditanya adakah kamu anak-anak Encik Fukama dan kami pun diberikan bantuan. Kerana ayah kami sentiasa melakukan perkara baik untuk membantu orang lain, kali ini kami pula mendapat bantuan. Jadi saya katakan dengan jelas, ada yang kaitkan ini dengan bantuan tuhan dan sebagainya, tetapi kesemuanya adalah perlakuan manusia itu sendiri. Pada pendapat saya, selepas menjadi ibubapa, perlu menjalinkan hubungan baik dengan orang lain, walaupun tidak menerima apa balasan kepada diri sendiri sekalipun, pasti segalanya akan dibalas balik kepada anak cucu. Jika ibubapa saya orang jahat, tiada orang yang akan pedulikan saya, tetapi ketika berjumpa dengan kenalan orang tua saya, mereka tegur, “Oh, ini anak-anak Encik Fukama”, dan terus menghulurkan bantuan. Kami tidur di bawah pokok Banyan kerana terdapat batu besar, tempat tinggal untuk berteduh dari hujan dan angin dibuat dengan hanya beralaskan rumput Kaya yang diletakkan di atas batu itu. Begitulah dahsyatnya, perang.

■ Tragedi akibat perang dari pandangan kanak-kanak.

Penemuduga Jika anda fikirkan kembali, apakah pendapat anda sebagai seorang yang terselamat dan masih hidup selepas peperangan?

Saksi Sampai sekarang saya masih rasa kasihan terhadap adik lelaki saya. Dia kehilangan ibubapa pada umur 6 tahun, dan langsung tidak mengenali mereka. Sekarang pun saya merasa kasihan jika ada orang yang senasib dengannya. Walaupun saya mengenali ibubapa saya, saya merasa simpati jika ada anak-anak yang kehilangan kedua-dua orang tuanya ketika masih kecil.

■ Perkara yang ingin disampaikan kepada generasi yang tidak pernah mengalami peperangan.
Penemuduga Pada pendapat nenek, apakah yang diperlukan untuk mewujudkan keamanan?

Orang Okinawa, hanya menghiaskan shamisen di ruang tamu mereka. Kalau orang Yamato, mereka menghiaskan pedang. Orang Okinawa hanya perlu shamisen. Sampaikan sahaja mesej yang orang Okinawa langsung tidak mempunyaisenjata.

Bagi diri saya, tidak kiralah negara atau apa sekali pun, anda semua pasti akan berebut untuk mendapatkan barang mainan. Tidak kira siapa, mulakan dengan “Silakan, ambilah dulu” dan pasti tidak ada yang akan mula bergaduh. Begitu juga antara negara dan negara, tidak akan ada perang jika saling bertolak-ansur dalam perbincangan, kerana hasil daripada rebut-merebut adalah peperangan.


Penemuduga Ada apa-apa yang perlu disampaikan kepada anak-anak dan cucu-cucu untuk dijadikan panduan hidup?

Walaupun peperangan adalah sesuatu yang boleh diakhirkan dengan hanya mengatakan “Saya tidak akan berperang.”, tetapi boleh bermula dengan sepatah perkataan yang dikatakan oleh pihak kerajaan. Oleh itu pilihlah kerajaan yang tidak akan berperang. Tetapi entah kenapa, anak-anak muda sekarang tidak berusaha untuk pergi mengundi.

Saya ingin sampaikan kepada orang-orang muda hari ini. Pergilah mengundi. Anak-anak muda langsung tidak pergi. Kalau negara ini menjadi negara berfahaman ketenteraan, kamu tidak akan diberi masa untuk membalas sama ada mahu menyertai atau tidak, kamu akan “dijemput” untuk menyertai anggota tentera apabilasekeping poskad datang sampai ke rumah kamu.