LANGUAGE

LANGUAGE

Melarikan diri dari Urasoe kemudian ke bahagian selatan

Melarikan diri dari Urasoe kemudian ke bahagian selatan
Pn. Tomiko Ota, 86 tahun
(Asal: Jicchaku, Urasoe Okinawa)

10hb Okt waktu itu saya berumur 14 tahun, pertama kali tentera Amerika mengebom lapangan terbang Yomitan. Pesawat itu melalui laut dan bergerak ke Naha, kemudian mereka mengebom Naha sehingga Naha diselubungi asap. Bila ada serangan udara akan kedengaran bunyi tembakan “Pang, pang!”, asap menyelubungi, dan juga suara kuat melaung “Amaran serangan udara!”

Saya masih ingat saya masuk ke parit perlindungan kecil di depan rumah saya, membawa sebeban buku teks sekolah. Sejak keesokan harinya, tiada serangan udara, bulan Mac itu terasa sangat aman.

Sekitar 22hb Mac, kedengaran berita mengenai serangan meriam kapal di Pulau Tsuken dan Pulau Kudaka, ayah menaikkan kakak ipar dan anaknya, juga adik perempuan beliau ke kereta kuda, dan melarikan diri ke satu tempat dipanggil Kawasaki. Ayah terkorban dalam perjalanan pulang dari Kawasaki. Beliau tidak kembali ke Jicchaku.

3 bulan selepas tentera Amerika mendarat, mengharap kepada kakak ke-2, saya pergi ke Sueyoshi di Shuri. Di sana saya bersembunyi di perkuburan yang besar. Di bawah Istana Shuri terdapat ibu pejabat tentera Jepun, dan ia menjadi sasaran, dari pagi hingga malam serangan meriam kapal setiap hari. Kami menyaksikan keadaan itu dari Sueyoshi.

Kedudukan Jicchaku berhampiran tepi laut, maka jika tentera Amerika mendarat, ialah yang akan diserang terlebih dahulu, mungkin sebab itu ayah saya menyuruh melarikan diri. Tetapi setelah perang tamat, saya dapati sebutir bom pun tidak gugur. Ada beberapa rumah terbakar tetapi ia berhampiran kubu askar Jepun, mungkin mereka yang menyalakan api.

Perkuburan tepat kami melarikan diri telah diserang pada 29hb April. Pesawat tanpa henti dari pagi terbang, kami tidak dapat keluar langsung. Waktu petang, pesawat tidak terbang, anak-anak kecil berteriak, “Nak kencing!”, maka kami keluar melepaskan hajat, sebaik kembali ke perkuburan bom telah digugurkan. Ia berlaku dua kali. Saya dan emak berada berhampiran pintu masuk tetapi ia penuh dengan tanah kerana angin dari bom itu, di dalam juga penuh dengan tanah. Apabila kami ke rumah saudara mencari bantuan, ada seorang askar Jepun di situ, beliau juga telah ke perkuburan tempat kami melarikan diri, beliau berkata, “Saya tidak rasa orang boleh hidup di bawah timbunan tanah sebegini. Mereka sudah mati, kuburkan mereka semula setelah perang tamat. Sekarang, biarkan sahaja.” Maka kami tidak melakukan apa-apa.

Emak menangis. Mengenangkan anak-anak kecik tertanam di dalamnya, hati saya sangat pedih. Anak kakak ada 5 orang, kakak, nenek dan adik perempuan bongsu saya, 8 orang terkorban.

Setelah itu kami ke parit perlindungan di rumah asal kakak ke-2 saya, di Sueyoshi. Kemudian kami bersama-sama telah melarikan diri ke Shimajiri di bahagian selatan pulau utama.

Berhampiran pejabat gabenor terdapat hutan kecil, di situ terdapat parit perlindungan kecil, kami masuk ke situ. Keesokan hari, kami berjalan ke Tsukazan, kemudian kami bergerak ke Yoza dari Tsukazan. Malangnya di sana juga pesawat terbang ke sana sini, orang-orang dari Sueyoshi lain semuanya bergerak ke Tamagusuku.

Emak berkata, “Kakak pertama kamu bekerja dengan tentera, mesti dia berada di Shimajiri dengan pihak tentera, kita mesti mencarinya,” maka kami telah pergi ke Cape Kyan. Tetapi kakak tidak ke sana, dia telah ke Tamagusuku. Ada rakan sebaya saya melihatnya di Tamagusuku. Sekarang saya berfikir, alangkah baiknya jika saya ke Tamagusuku pada waktu itu.

Perjalanan ke Cape Kyan
Di simpang tapak sebuah rumah yang terbakar terdapat parit perlindungan yang dikelilingi batu. Emak yang cedera di kaki berkata, “Mak sudah tidak larat berjalan ke Cape Kyan, hidup atau mati biar emak di sini sahaja.” Maka kami pun masuk ke dalam.
 
Tempat itu berdinding batu, kami boleh lihat ke luar dari celah-celah dinding. Kami boleh melihat askar menembak dari situ, dan kami menjadi takut akan turut tertembak jika terus bersembunyi di situ.

Tetapi, bila kami lihat betul-betul pelarian dari Cape Kyan berjalan, tiada tembakan. Jika bersembunyi mereka akan tembak, jika berjalan sahaja tanpa membuat apa-apa mereka tidak akan tembak, kami berasa lega mengetahuinya.

Semasa barisan pelarian terputus, kami nampak askar Amerika menghampiri parit perlindungan tempat kami bersembunyi. Jika mereka terjumpa tempat persembunyian kami, nescaya kami akan ditembak, maka saya segera melompat keluar sambil mengangkat tangan. Askar yang terkejut menghalakan senapang ke arah saya dan memandang saya. “Sini!” katanya. Saya membalas, “Kamu yang ke sini! Ada seorang lagi sedang tidur di dalam. Kamu ke sini!”, tetapi dia tidak bergerak sambil membidik senapangnya. “Emak, saya pergi dulu ya, askar itu sedang marah,” sebaik saya berkata kepada emak, bang! askar itu menembak. Peluru itu mengenai batu di sebelah saya dan ledakan batu itu mengenai saya. “Wah, saya ditembak,” kata saya, terus saya keluar ke arahnya.

Askar Amerika ini membawa saya seorang ke sebuah pokok Banyan yang besar berdekatan air mata air. Di situ terdapat lebih kurang 15 orang pelarian lain. Kemudian 2 orang askar mengepalai dan memulakan perjalanan. Saya perlahan-lahan mengekori dari belakang. Askar Amerika ini tidak menoleh ke belakang, maka saya keluar dari barisan dan berlari ke tempat yang mempunyai air, saya bawa air itu ke tempat emak yang masih di parit perlindungan. Saya segera memasak bubur dan memberi emak makan.

Keesokan hari, ada 2 orang dari Okinawa membawa pengusung datang ke depan parit perlindungan. Mereka terdengar saya berkata semalam, “Ada seorang lagi di sini.” Saya mengangkat emak ke pengusung dan mengikuti mereka dari belakang.

 
Kami menjadi tawanan perang dan di bawa ke kem tahanan di Tomigusuku. Emak sentiasa membawa gula, dalam pelarian pun emak sentiasa memasukkan gula ke dalam mulut saya. Saya tidak kata mahu, tetapi emak tetap memasukkannya, maka saya makan sahaja. Emak asyik memberi saya makan, dia sendiri tidak makan, mungkin dia sudah kelaparan.

Setelah itu, emak meninggal di kem tahanan
Askar merasa denyut nadi emak, seorang yang seperti jururawat juga merasa denyut nadi emak dan berkata, “Dia sudah tiada”, dan memanggil seseorang. Emak di angkat dengan pengusung, dan dibawa ke sebuah lubang besar yang digali, emak ditanam di situ. Seorang makcik di situ berkata, “Jika ini emak kamu, duduk dan berdoalah,” terus saya duduk dan menyatukan tangan saya untuk berdoa.

Apa yang saya ingin sampaikan kepada generasi seterusnya
Saya ingin beritahu, “Keamanan adalah kebahagiaan.” Juga saya ingin beritahu, “Semasa perang itu, ada yang melarikan diri ke sana-sini, ada yang mati ditembak, sekarang dunia sudah aman, boleh bekerja dengan serius, boleh hidup dengan baik. Jalankan tanggung jawab kepada ibu bapa kamu.”