LANGUAGE

LANGUAGE

Tentera Jepun yang menembak orang Jepun dari belakang

"Tentera Jepun yang menembak orang Jepun dari belakang"

Encik Seiji Yogi (39与儀清治)
Dilahirkan pada 29hb Januari 1928
Pada masa itu berusia 17 tahun, anggota Pasukan Besi dan Darah Maharaja dari Sekolah Perguruan Okinawa

Kami juga ada melakukan misi untuk mendapatkan makanan untuk komander. Saya pernah pergi ke Kiyanmisaki untuk satu misi lain. Ia berlaku pada waktu itu. Saya terdengar suara mengatakan peluru telah ditembakkan ke arah sini, lalu saya merebahkan badan ke busut di dalam ladang tebu. Tetapi, peluru meriam meletup berdekatan dengan saya, dan lebih kurang dua jam telinga saya berdengung. Pengalaman seperti itu telah menjadi perkara biasa, lalu saya bangun dan terus berjalan. Selepas itu, saya masih ingat yang saya telah melalui Komesu untuk menuju ke Kiyanmisaki.
Bagi mendapatkan makanan, kami pergi ke kebun kobis berdekatan yang masih mempunyai sedikit daun kobis yang tertinggal selepas kobis dituai dan kami telah mengambil daun luar kobis itu yang berselerak untuk dibawa pulang. Bukan setakat mendapatkan makanan, kami juga telah pergi menimba air di telaga yang terletak di tebing laut.
Kali terakhir saya pergi menyerang adalah selepas 23 haribulan Jun. Kami disuruh pergi menyerang dengan membawa letupan seberat 10 kg. Tetapi, ada Lans Koperal yang berpengalaman berperang di China telah berkata "Kamu semua jangan biarkan diri mati macam anjing. Jangan bawa benda itu pergi.". "Pergi buang bom ini di mana sahaja" tambahnya lagi. Saya tidak tahu sama ada Lans Koperal itu masih hidup atau tidak, tetapi kami terselamat daripada menjadi korban perang kerananya.
Dan akhirnya kami tidak pergi menyerang dengan membawa bom selepas 23 haribulan.Kami pergi sehingga ke Yanbaru dan di situ kami bergabung dengan tentera Jepun yang lain dan ada arahan supaya kami meneruskan perjuangan. Dengan itu, satu seksyen turun ke pantai untuk cuba pergi ke arah Yanbaru melalui tepi pantai. Tetapi, sudah tentulah di siang hari tidak dapat bergerak melalui tepi pantai kerana terlalu terang dan pada waktu malam pula, tembakan suar turut menerangi sekeliling, menyebabkan kami tidak dapat bergerak sesuka hati. Tetapi, jika kami teruskan juga bergerak melalui pantai, kami akan terdedah kepada serangan tentera Amerika. Akhirnya, kami tidak dapat meneruskan perjalanan. Waktu itu, terdapat beberapa orang yang telah terkorban.
Sejak dari itu, sudah tiada apa-apa makanan. Saya hanya mempunyai sebungkus mi kering. Kini jika diimbas kembali, dalam pertempuran itu saya telah melakukan suatu perkara baik. Elok-elok ketika itu, saya sedang bersembunyi di belakang batu besar dan saya ternampak dua kanak-kanak yang tidak mempunyai makanan sedang bersandar di batu besar untuk menyembunyikan diri. Saya menyerahkan biskut yang tertinggal itu kepada mereka. Saya berfikir yang tidak ada gunanya saya menyimpan makanan kerana saya akan mati akhirnya. Saya ada terlihat rakan-rakan yang putus harapan berkata "Saya minta diri", lalu memberi tabik hormat, masuk ke dalam lubang batu yang kecil dan tidak keluar lagi selepas itu. Di antaranya ada juga wanita. Perbuatan itu adalah bunuh diri dengan menggunakan bom tangan. Dalam keadaan itu, saya terfikir, yang saya juga turut akan mati. Sebab itulah saya telah menyerahkan biskut yang tidak seberapa itu. Saya juga memasak nasi dengan menggunakan peralatan memasak dan mengikis hulu senapang untuk dibakar. Ketika itu, tiada benda yang boleh dijadikan bahan api untuk memasak nasi.
Selepas 23 haribulan, makanan sudah tiada, saya hanya bersembunyi di belakang batu di bahagian bawah tebing. Di situ kami berfikir bahawa tiada jalan lain selain daripada bunuh diri, tetapi daripada menyesal mati dengan sia-sia, lebih baik bunuh lebih banyak musuh dahulu sebelum mati. Oleh itu, kami pun memanjat tebing dan cuba pergi menyerang. Saya tidak ingat bagaimana saya berupaya memanjat tebing itu kerana tubuh saya sudah terlalu lemah. Selepas sampai ke atas tebing, sudah ada ramai tentera Amerika yang mengacukan senjata. Cahaya tembakan suar sudah menerangi sekeliling. Saya rasa ini tak boleh jadi dan saya turun semula dari tebing yang telah dipanjat. Hari berikutnya, saya cuba untuk memanjat lagi tebing itu badan sudah terlalu lemah dan saya hanya mampu memanjat sekerat jalan. Saya tiada pilihan lain tetapi untuk turun dari tebing itu lagi sekali. Ketika saya rasa semuanya sudah berakhir, saya teringat mimpi semalam. Dalam mimpi itu, kami sedang menyambut Tahun Baru dan nenek mengagihkan daging ke dalam pinggan saya. Ketika mengingatkan kembali mimpi itu, saya berasa yang ahli keluarga saya yang masih hidup dan saya berjaya mengawal perasaan untuk membunuh diri. Walau pun demikian, stamina tubuh saya semakin hilang. Apabila saya melihat ke laut yang berada di depan mata, kelihatan ada beberapa buah kapal pemusnah bom Amerika. Melalui pembesar suara dari kapal pemusnah bom itu kedengaran "Jadilah tawanan. Keluarlah, keluarlah. Jangan takut.". Kerana itulah, ada orang yang berjalan ke arah laut untuk menjadi tawanan perang.
Tetapi, tentera Jepun telah menembak orang yang berhasrat untuk menjadi tawanan perang dari belakang. Kami tidak boleh bergerak ke laut untuk menyerah diri kerana kami mungkin akan ditembak dari belakang jika sesiapa cuba menyerah untuk menjadi tawanan perang. Keadaan itu memaksa untuk kami terus menunggu di situ.
Akhirnya, saya telah ditangkap tentera AS kerana telah kehilangan stamina. Mungkin saya menyahut panggilan supaya menyerah dan telah berjalan terhuyung-hayang ke arah tentera Amerika, sejauh yang sejauh yang saya mampu. Selepas itu, saya rasa saya telah dibantu oleh tentera Amerika dan menjadi tawanan mereka. Walau bagaimanapun, perasaan saya ketika itu adalah bersemangat tinggi. Dan ketika saya dibawa ke Minatogawa dengan menaiki trak bersama-sama dengan tawanan lain, kami telah merancang untuk menolak pengawal tawanan yang duduk bersama kami dibelakang trek dan melarikan diri. Tetapi saya sangat lemah dan tidak dapat meneruskan rancangan tersebut. Tetapi saya fikir sekarang, saya dapat rasakan pendidikan yang mendorong untuk menyemarakkan semangat bagi melawan musuh pada ketika itu adalah amat menakutkan.