LANGUAGE

LANGUAGE

Menerima pendidikan di pusat latihan tentera darat Sekolah Nakano di Taiwan

"Menerima pendidikan di pusat latihan tentera darat Sekolah Nakano di Taiwan"

Nama: Encik Satoshi Nakama (34仲間 慧)
Tarikh Lahir: 22hb Ogos 1928,
Tempat Lahir: Miyakojima
Pada Masa Itu: berusia lebih17 tahun


■ Menerima serangan udara tentera Amerika Syarikat (10hb Oktober 1944)
Ada arahan menyatakan "Bersiap sedia kerana kita akan bertolak pada 7 haribulan Oktober", lalu kami pun menuju ke pelabuhan Naha. Di sana, kami dapati barisan 30 buah kapal-kapal pengangkut arang batu seberat kira-kira 30 tan hingga 50 tan yang dibuat daripada kayu sedang menunggu di situ. Saya menaiki sebuah kapal, pada 10hb Oktober, kira-kira pukul 3 pagi, dan bertolak meninggalkan pelabuhan Naha. Kapal yang dinaiki oleh laksamana yang mengetuai pasukan mula-mula sekali bertolak dari pelabuhan. Pasukan pendahulu itu, telah sampai di kawasan Kerama. Kira-kira pukul 4 pagi, apabila saya berada di dek dan melihat ke langit, ke arah Kadena, saya nampak api sedang terbakar dari arah satu lapangan terbang yang pada masa itu dikenali sebagai Naka. Saya berasa, "Sungguh pelik ". Ketika hari semakin cerah, kelihatan pula seolah-olah seekor burung besar sedang terbang. Saya tidak terfikir yang burung itu, adalah kapal musuh. Apabila saya lihat ke arah kapal-kapal di bahagian hadapan, api sedang marak terbakar. Daripada kapal pertama dari arah Kerama sehinggalah ke sini. Tidak lama selepas itu, keadaan bertukar menjadi riuh-rendah, "kapal musuh datang menyerang". Ada dua kapal di hadapan kapal yang saya naiki, satu daripadanya terkena tembakan torpedo tentera AS, dan habis berkecai sampai tak tinggal bayang atau bentuk. Selepas itu keadaan bertukar menjadi kacau-bilau, kerana "terpaksa turunkan bot dari kapal, untuk melarikan diri". Memang terdapat bot kecemasan dalam kapal itu, kami pelajar seramai tujuh orang menaiki bot tersebut, dan mendayung ke arah daratan. Pada masa itu, pesawat Grumman tentera Amerika Syarikat telah turun menjunam ke arah bot kami, dan kami ditembak dengan mesingan. Waktu itu, dayung saya patah terkena tembakan mesingan itu. Peluru mesingan itu terkena sedikit di dahi saya, dan terus menghentam pendayung. Saya tidak ada merasa sakit. Cuma rasa sedikit panas sahaja. Pelajar di sekitar berkata "kepala kamu, berlumuran darah", saya cuba sentuh dan dapati banyak darah mengalir keluar. Oleh kerana dayung sudah patah dan tidak dapat digunakan lagi, kami bertiga berenang sambil menarik bot itu.

■ 25hb Disember 1944
Pada 25 haribulan Disember, ketika berada di dalam lubang persembunyian terdapat pengumuman mengatakan "majlis tamat pengajian untuk Sekolah Teknik Okinawa akan diadakan". Seramai 15~16 orang hadir di majlis itu. Selepas selesai majlis tamat pengajian itu, saya dipanggil oleh guru yang mengajar struktur pembinaan, "Nakama, mari sini". Dia berkata "Kita manusia tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya, lebih baik jika kamu bersedia supaya dapat berpindah dan masuk mana-mana sekolah. Saya akan buatkan sijil tukar sekolah, nanti pergi ambil di bilik guru". Jadi, kami pergi ke bilik guru bersama-sama. "Jangan sekali-kali hilangkan sijil ini, janji, jaga sijil ini betul-betul" katanya. Saya pun membawa sijil pengesahan itu dan lari ke Taiwan.

■ Menjadi pegawai kerahan yang menulis kertas merah di ibu pejabat rejimen di Taiwan
Apabila saya bawa sijil pengesahan itu ke Sekolah Teknik Taichung, saya diterima masuk dengan serta-merta. Satu perkara yang luar biasa berlaku setelah kira-kira lima hari berada di asrama sekolah itu. Anggota polis tentera dari ibu pejabat rejimen daerah Taichung, telah datang untuk menemui saya. Polis tentera itu berkata, "Awak, telah mendakwa diri sebagai mangsa perang di Okinawa dan melarikan diri ke sini, tetapi jangan sekali-kali ceritakan kepada sesiapa keadaan di sana(Okinawa). Saya disuruh untuk merahsiakan hal ini oleh anggota polis tentera itu di dalam pejabat pengetua. Walaupun saya mengikuti kuliah tanpa sebarang masalah, sekolah-sekolah di Taiwan juga, ada membentuk kadet tentera pelajar sama seperti di Okinawa. Ada seorang leftenan yang berasal dari Kagoshima, dan saya telah mendapat sokongannya untuk masuk ke ibu pejabat. Saya telah dilantik sebagai pegawai kerahan untuk menulis kertas merah (surat arahan masuk tentera). Saya senaraikan nama-nama yang diperolehi dari pejabat pentadbiran kerajaan, dan tugas saya ialah menghantar kertas merah (surat arahan) itu kepada orang yang berkenaan.

■ Pusat latihan tentera darat di sekolah Nakano, Pusat LatihanTakushi
Pada Mei 1930, saya telah dipindahkan ke Pusat Latihan Takushi. Saya ditempatkan ke dalam satu perkampungan orang Taiwan, untuk mengumpul maklumat samada terdapat sentimen anti-Jepun. Satu kumpulan dianggotai tiga atau empat orang ahli, dan dipecahkan ke kampung-kampung untuk mengumpul maklumat. Kebanyakan penduduk tempatan, faham bahasa Jepun, kami bergaul di antara mereka dan ada juga yang telah memberikan maklumat. Di dalam pusat latihan itu, terdapat kerbau, lembu, dan kuda. Kami menyamar sebagai sebuah kawasan ladang. Oleh itu nama pegawai di pusat latihan itu, samada nama sebenar atau nama samaran, itu saya tidak tahu.

■ Perang berakhir
Saya mendengar siaran pengisytiharan menyerah kalah oleh Maharaja, bukan 15 haribulan tetapi 14 haribulan Ogos. Yang perang berakhir pada 15 haribulan itu tidak betul, sebenarnya 14 haribulan. Deklarasi Potsdam telah dipersetujui. Ibu pejabat rejimen telah mengumpul semua senjata yang ada secara sukarela, dan ia terus dibubarkan di situ. Pada masa itu, ada arahan juga yang "kewujudan Pusat Latihan Takushi ini, mesti dirahsiakan sampai bila-bila".