LANGUAGE

LANGUAGE

Bapa terbunuh serta-merta di hadapan mata saya

Bapa terbunuh serta-merta di hadapan mata saya

Nama: Puan Yoneko Kyan (26喜屋武米子)
Umur pada masa itu: 9 tahun (lahir pada Februari 1935)
Jawatan pada masa itu: Pelajar tahun tiga sekolah awam

[Peperangan terjadi ketika saya di darjah empat]
Peperangan telah berlaku ketika saya berada dalam darjah empat. Pihak tentera mengarahkan supaya kami lari ke Yanbaru tetapi saya berasa kami akan mati kebuluran kerana tiada makan di Yanbaru yang dikelilingi laut dan gunung. Bapa saya sangat arif tentang bahagian selatan, di sana ada kebun jadi kami fikir akan dapat menggali ubi untuk dijadikan makanan, lalu kami pun mengambil keputusan untuk melarikan diri ke bahagian selatan.

[Di depan mata, ayah telah...]
Pada pagi itu, gas telah ditaburkan di tempat kami bersembunyi, kami cuba untuk keluar, tetapi bom fosforus telah digugurkan. Adik perempuan saya telah melecur di bahagian kepala dan pipi akibat terkena bom fosforus itu, "Mari kita cari lubang persembunyian, di sini bahaya" dan kami telah keluar di awal pagi. Itulah yang berlaku pada suatu pagi di mana ayah meninggal dunia. Ayah saya kembali semula dan berkata, "Saya sudah cari tempat perlindungan, tetapi tidak ada tempat yang sesuai". Dan ayah berkata, "Mari kita susun dinding batu di tempat kita berada sekarang dan bersembunyi", dan baru sahaja hendak menyusun batu, tubuhnya terkena peluru. Yang jelasnya, perut ayah telah terkena serpihan peluru yang besar, tangan dan bahagian atas matanya telah tercungkil. Saya tidak sanggup melihat keadaan tubuhnya. Ayah telah mati serta-merta. Kami berbincang dan menetapkan untuk mengebumikan jasad ayah di satu lubang kecil dan menimbuskannya dengan batu.

[Kata-kata terakhir seorang askar]
Suatu hari ketika gas ditaburkan terdapat ramai tentera Jepun yang bersembunyi di sebalik batu-batu yang menghadap ke laut. Semua askar yang bersembunyi itu, telah melecur akibat serangan tentera Amerika Syarikat, dan ada juga mangsa kebakaran yang mati. Ada seorang askar remaja berbadan kecil yang berkata, "Perut saya lapar, perut saya lapar," sambil menyedut hingusnya yang meleleh, bapa saya bimbangkan remaja itu, dia cuba mencari budak itu tetapi tidak jumpa, dan ada yang menyatakan, "Mungkin terkena bom dan telah mati terbakar", tiba-tiba muncul seorang lagi askar remaja dengan seluruh badannya sedang terbakar. Budak lelaki itu, berlari ke arah kolah yang terletak tidak berapa jauh dari situ, lalu menjirus air ke badannya. Kulit di seluruh badannya menggelupas, dan ada kulitnya mengendur, mukanya bengkak, dan matanya sudah tidak dapat melihat. Lalu, tentera remaja itu menghadap ke arah utara dan berdoa, "Ayah, ibu, saya harap kamu hidup sejahtera". Dia tidak mengucapkan ungkapan "Panjang usia untuk maharaja", tetapi kata-katanya merupakan doa untuk ayah dan ibunya.

[Bunuh jika dia menangis lagi]
Ini adalah peristiwa di Mabuni. Adik perempuan saya yang berusia tiga tahun lebih muda dari saya sangat kuat menangis, mungkin dia lapar, selalu sangat menangis. Kemudiannya, seorang askar yang saya tak kenal datang dengan membawa senjata, dan berkata kepada ayah "Lepas ini, kalau budak ini menangis lagi, bunuh pakai senjata ini. Semua orang akan susah, kalau musuh kedengaran tangisannya, mereka akan datang menyerang", lalu meletakkan senjatanya di situ. Dan, seorang lagi askar, datang membawa satu bom tangan dan berkata, "Apabila musuh datang, lindungi anak-anak anda dengan benda ini" lalu meninggalkan bom tangan itu, setelah askar itu pergi, bapa saudara saya berkata dengan marah, "Macamana mahu pertahankan dengan hanya sebutir bom tangan, dia sengaja mahu kita bunuh diri". Kemudian, datang pula seorang tentera yang lain dan berkata, "Peperangan adalah pertempuran antara askar dengan askar, penduduk awam tidak patut menerima padahnya. Jadi penduduk awam tidak perlu mati. Jika kalah jadilah tawanan perang." dan sejurusnya tentera itu beredar dari situ. Banyak orang, banyak ragam, ada orang jahat, dan ada juga yang baik.