LANGUAGE

LANGUAGE

Pengalaman di divisyen keempat tentera Taiwan

Pengalaman di divisyen keempat tentera Taiwan

Nama : Encik Asatoshi Kamida (05嘉味田朝俊)
Umur pada masa itu : 18 tahun (lahir pada Disember 1926)
Tugasan pada masa itu : Mendapat tawaran daripada tentera Taiwan

[Latihan menikam orang]
Latihan itu adalah sangat sukar. Pada hari-hari terakhir dalam latihan sebagai calon pegawai rendah, kami diarahkan untuk berbaris. Kami tidak tahu apakah arahan seterusnya.Di hadapan kami, terdapat seorang lelaki berbadan besar yang datang dari Indonesia dan seorang wanita bertubuh kecil; kedua-dua belah tangan mereka diikat ketat dan terlentang jauh daripada tubuh mereka. Kami diarahkan berbaris dihadapan mereka. Sedang kami berfikir apakah arahan seterusnya, pegawai atasan mengarahkan, "Cuba bunuh dengan teknik bayonet yang telah diajar sebelum ini". Kami tidak percaya dan amat terkejut. Wanita itu sangat cantik dan berusia dalam lingkungan 30an. Lelaki itu juga masih muda dan saya menyoal mengapa perkara sebegini harus dilakukan. Tetapi nama saya yang pertama dipanggil, dan saya tidak tahu apa yang harus dibuat. Saya menjadi orang pertama yang menikam lelaki itu. Walaupun saya menggigil, sewaktu diarahkan "Mara", kepala saya diketuk kerana teragak-agak dan saya terpaksa mara ke hadapan. Tetapi teknik bayonet saya gagal. Walaupun perut lelaki itu terkoyak, beliau masih bertenaga untuk menggenggam bayonet itu. Saya menarik kuat untuk melepaskan bayonet itu supaya saya dapat kembali ke barisan, tetapi pegawai atasan memberi arahan, "Sekali lagi!". Saya melakukan latihan itu sekali lagi dengan menunjukkan tikaman yang tidak tepat. Malam itu saya tidak dapat tidur lena. Lelaki itu melihat ke arah isterinya, kemudian merenung tajam ke arah kami. Darah memancut-mancut keluar. Itu adalah pengalaman pertama saya. Ketika melihat pasangan itu, saya terkenang ibubapa saya di kampung, kerana usia mereka lebih kurang sama. Saya berasa kasihan terhadap mereka. Selepas pulang, saya masih tidak dapat tidur lena. Kejadian pada hari itu, di mana saya melakukan perkara itu sambil menggeletar, telah menguatkan lagi perasaan benci terhadap perang. Ketika mengenang kembali, saya tidak pasti jumlah askar yang telah mengacu bayonet, tetapi seorang demi seorang menikam tubuh mereka sehingga darah meleleh-leleh. Lubang kubur telah digali, dan kami tidak menoleh kembali selepas menikam mereka. Sekali-sekala saya akan merenung, apa sebabnya yang mereka harus menghadapi nasib sebegini.