LANGUAGE

LANGUAGE

Ibarat neraka ketika berada di dalam lubang persembunyian

"Ibarat neraka ketika berada di dalam lubang persembunyian"

Nama :Puan Sumiko Onaga (04翁長澄子)
Tarikh Lahir :5hb April 1927
Pada masa itu :Kakitangan Jabatan Perakaunan Tentera berusia 17 tahun

Walaupun 20 tahun telah berlalu semenjak peperangan tamat, saya masih tidak mampu melangkah ke lokasi peperangan di kawasan selatan meskipun ada peluang.. Kaki saya terasa berat untuk melangkah. Saya terasa berat hati untuk melawat tempat itu kerana iamengungkit kembali peristiwa yang telah berlaku di situ. Waktu itu saya bertugas sebagai kerani di Jabatan Perakaunan. Saya mengenakan lilit lengan yang menunjukkan saya adalah penulis dan seorang tentera, manakala di dada saya adalah tag nama saya.. Saya telahpun memotong seiikat rambut saya, mengikat rambut itu dengan pita, memasukkan ke dalam sampul, dan menghantar sampul itu ke tanah besar Jepun untuk disampaikan kepada waris saya. Saya telah metulis nama saya dan menyerahkan sampul itu. Tetapi, pada waktu itu, saya dapat merasakan yang sampul itu kemungkinan tidak akan sampai ke tanah besar.
Pada masa itu, perjalanan ke Shimajiri memang menakutkan. Dalam perjalanan ke Shimajiri, saya melihat banyak mayat mangsa tembak bergelimpangan dalam keadaan yang tidak boleh digambarkan. Di sana sini, ada mayat yang kepalanya terpenggal, terputus tangan, isi perut yang terburai, mayat orang yang dibom, cebisan daging manusia, dan saya terpaksa berjalan melalui mayat-mayat tersebut.

Akhirnya, kalau tidak silap saya, 21 atau 22 haribulan, menjelang pagi sebuah kereta kebal tiba ke tempat itu. Kemudian terdengar arahan, "Keluar, keluar!” tetapi kami bersembunyi jauh di dalam gua kerana ketakutan untuk keluar, kami tetap berkeras untuk tinggal di dalam gua semula jadi itu. Tidak lama kemudiannya, bermulalah serangan dengan menggunakan senjata penyembur api. Kami mendengar bunyi-bunyi aneh yang tidak dapat dinyatakan. Lidah api itu berpusar dan mengeliat memasuki lubang persembunyian kami. Gua semulajadi itu besar tetapi sedikit demi sedikit api itu semakin marak ke arah kami. Kami beralih semakin jauh ke dalam gua, sehingga ke tempat dua kali ketinggian badan, di situ sempit juga, tetapi mujurlah dapat masuk. Kami merangkak untuk pergi ke dalam lagi, tetapi sudah pun penuh dengan orang. Orang yang berada di depan, melecur teruk dan terbakar hidup-hidup. Percikan api terus meletus masuk ke dalam gua. Asap semakin tebal memenuhi ruang udara, dan kami semakin terseksa. Di situ, orang mula untuk membunuh diri. Pada masa itu, kami tidak mempunyai bom tangan. Tetapi, ada seorang lelaki yang mempunyai bom tangan. Lelaki itu dengan pantas mencabut pin dari bom tangan itu dan terus memeluknya dan terus dia bunuh diri. Mereka yang berdekatan juga mula membunuh diri. Ketika itu, serpihan bom tangan yang meletup tertusuk ke dalam belakang badan. Cik Kiyo dan saya juga terkena serpihan besar yang terpelanting, saya luka di sini (leher). Parut masih tertinggal di sini. Sebenarnya saya telah pengsan kerana kehilangan banyak darah. Saya tidak pasti berapa lama saya pengsan. Kemudian kawan saya berkata,
"Cik Sumi masih hidup ke? Jawablah kalau masih hidup lagi."
"Saya terdengar suara, cuma saya tidak pasti".
Dia menjerit dengan kuat, "Cik Sumi, masih hidup ke? Kalau hidup jawablah saya!". Dan kemudiannya
Dalam hati, "Ah, ah, saya masih hidup lagi."
Seterusnya saya menjawab, "Masih hidup"
Dia bertanya "Di mana"
Saya menjawab "Di sini", lalu dia menyalakan api dengan mancis, dan di bawah pancaran cahaya lilin dia menghampiri saya. Kami terkejut ketika lilin dinyalakan. Sekitar kami, luas terpapar gambaran neraka. Ramai yang terkorban dan mereka ditimpa pelbagai kekejaman. Sebenarnya saya tidak mahu mengungkitkan peristiwa ini lagi. Ramai, terlalu ramai yang terkorban. Adalah luar biasa kerana kami masih hidup lagi. Kemudiannya,
kedengaran suara, "Cik Sumi, tengok sini, buka mata, bangunlah".
Saya berkata, "Saya tidak boleh bergerak, tidak boleh berjalan."
Dia membantu membangunkan saya, "Mana ada, saya juga berusaha untuk berjalan ke sini.", Kemudian, apabila saya cuba melihat di sekitar saya, tetapi saya tidak sanggup melihat lagi. Seterusnya,
dia berkata, "Tidak boleh mati di sini. Tidak ingin berakhir sebegini, marilah, keluar dari sini, kita boleh mati lepas minum air sepuas-puasnya. Mari kita keluar".
Saya kata, "Macam mana hendak keluar?".
Katanya, "Mari sini. Ikut saya!", Kita sama-sama…

Sampai bila-bila pun, saya tidak ingin melihat korban perang. Saya juga pasti tidak akan berputus asa dengan menamatkan nyawa sendiri. Walau dalam apa keadaan sekalipun.