Melangkah dari Dunia PeperanganOrang yang terlibat dengan peperangan. Video penerangan semasa dan selepas peperangan

Melintasi Garisan Maut Manchuria

En. Keisei Kawamitsu

Tarikh Lahir:1933

Tempat Lahir:Pulau Miyako

Kumpulan rintis penghijrahan ke Manchuria

Kampung saya di Karimata di Pulau Miyako merupakan perkampungan yang miskin dan anak selepas anak sulung hampir semuanya tidak diwariskan ladang. Jadi mereka perlu meminjam ladang atau keluar mencari pekerjaan sahaja pilihan yang mereka ada.

Semasa saya berusia tiga tahun terdapat kilang besi yang terletak di Tobata, Fukuoka yang kini merupakan bandar Kita-Kyushu dan ayah saya merupakan pekerja di kilang besi itu. Selepas dua atau tiga tahun kemudian ayah pulang semula ke Karimata. Semasa saya darjah dua di sekolah kebangsaan dan sebelum cuti musim panas ayah saya dapat menyertai kumpulan rintis penghijrahan ke Manchuria. Di sana kami diberitahu akan diberikan tanah pertanian jadi ayah sangat teruja dan menyertai kumpulan rintis itu. Semasa saya darjah dua di sekolah kebangsaan kami sekeluarga telah berhijrah ke Manchuria. Untuk berhijrah tiada masalah buat saya, tetapi daripada Okinawa yang panas tiba-tiba ke iklim sejuk Manchuria. Pada zaman itu kaedah pengangkutan yang digunakan ialah kereta kuda. Selepas terenjut-enjut dalam kereta kuda, kami tiba di sebuah kampung yang dipanggil Inaminegou. Apa yang saya ingat sebelum sampai di situ amat sukar akibat iklim Manchuria yang sejuk. Saya tidak sangka dalam dunia ini wujudnya tempat sejuk. Setelah dua hingga tiga bulan berhijrah ke Manchuria musim sejuk bermula dan permukaan tanah mula membeku.

Perubahan kehidupan setelah bermula perang

Ketika musim sejuk pada bulan Disember tahun 1941, saya dapat tahu tentera Jepun telah menyerang Hawaii. Kerana pada waktu kami berfahaman ketenteraan jadi saya rasa gembira kerana rasa Jepun pasti menang. Kedua ibu bapa saya pula telah diberikan sebidang tanah pertanian yang sangat luas yang tidak mereka pernah bayangkan semasa tinggal di Karimata jadi mereka sangat gembira. Saya masih kanak-kanak ketika itu jadi kami hanya peduli untuk bermain. Pada mulanya dalam keluarga saya hanya saya, kakak, kakak saya berada di Yaeyama sekarang, dan adik lelaki saya. Selepas itu baru adik perempuan lahir di Manchuria menjadikan adik beradik saya bertambah tiga orang. dari keempat hingga keenam semuanya lahir di Inaminegou. Ibu saya juga seperti ayah berasal dari Karimata.

Dalam jarak dua kilometer dari sekolah terdapat tempat dipanggil Hokushingou yang menjadi perkampungan orang dari Miyako. Kami tinggal seketika di Hokushingou. Ayah dan lain-lain diberikan tanah pertanian di kawasan sekitar, kuda juga dibekalkan oleh tentera, dan senjata api untuk mempertahankan diri diberi setiap keluarga. Setiap bulan beberapa butir peluru hidup untuk senjata api. Sebagai seorang warga Jepun kami menjalani hidup yang agak mewah. Bagaimana pun, keadaan mula teruk sedikit demi sedikit ketika perang hampir tamat ketua setiap keluarga dipanggil oleh tentera. Pada waktu itu juga semua senjata api dan kuda diminta untuk dikembalikan semula. Kuda pada waktu itu merupakan kuda dari baka Hokkaido yang sangat besar, kuda itu juga diambil semula tentera. Kemudian keadaan bertambah sulit
yang disusuli masalah bekalan makanan. Nak buat kerja di ladang pula, bapa-bapa semua telah dibawa pergi oleh tentera, yang tinggal hanya kanak-kanak dan wanita. Ini menyukarkan lagi kami untuk menjamin bekalan makanan untuk kami sendiri.

Dalam keadaan itu pula, ahli keluarga kami telah bertambah. Keluarga kami seramai enam adik beradik ketika itu, pada tahun tamat perang adik lelaki saya telah meninggal dunia. Sebelum kematian adik saya tanah dalam keadaan boleh digali ketika itu, tetapi semasa adik saya meninggal kami tinggal di kem musim sejuk. Disebabkan sudah musim sejuk permukaan tanah membeku lubang untuk pengebumian tidak dapat digali. Tanah tidak dapat dikorek walaupun menggunakan beliung.
Tifus pula mula merebak pada waktu itu. Kanak-kanak mahupun orang dewasa yang terkena jangkitan akan mati. Sesiapa yang mati ketika musim panas masih boleh dikebumikan tetapi sesiapa yang mati ketika musim sejuk, tanah membeku jadi pengebumian tidak boleh dilakukan dan mayat terpaksa dibiarkan. Kem dipenuhi dengan mayat terbiar yang banyak, dan kerana tidak sedap dipandang selepas tamat perang kerajaan China di Manchuria telah menghapuskan jasad-jasad tersebut.
Mayat diangkut menggunakan kereta kuda tetapi ditindih seperti timbunan kayu mati. Ibu saya yang melihat keadaan tersebut berasa kasihan terhadap anak lelakinya jika diurus sedemikian, jadi dia sedaya upaya mengebumikan anak sendiri, saya tidak pasti daripada mana tetapi ibu berjaya mendapatkan beliung, dan memberitahu saya akan menggali tanah menggunakan beliung itu. Sehari suntuk masa saya dihabiskan untuk mengebumikan adik lelaki saya yang telahmeninggal. Pada waktu itu terdapat lelaki muda yang pulang dari tentera yang dipanggil Giyugun kami meminta bantuan mereka menggali lubang untuk pengebumian. Saya juga turut membantu.

Pada waktu itu askar Rusia telah datang ke Manchuria. Para wanita takut kepada tentera Rusia, jadi mereka sengaja mencalit jelaga pada muka dan mencukur botak kepala. Di sekeliling perkampungan terdapat parit yang telah digali. Parit itu bertujuan untuk melindungi daripada perompak bersenjata. Tetapi askar Rusia telah mengheret wanita ke parit tersebut dan merogol dan pelbagai perkara teruk. Bagi melindungi para wanita, kami kanak-kanak lelaki berumur sebelas hingga dua belas tahun yang terlihat askar Rusia akan menjerit “Askar Rusia datang!” dan meluru ke rumah dan memasukkan kayu api bawah cerek untuk menghasilkan asap. Lalu kami menutup tingkap supaya asap memenuhi rumah. Askar Rusia akan terbatuk-batuk dan tidak tahan dengan asap dan pergi. Dengan cara tersebut, walaupun masih kanak-kanak kami melindungi wanita dan anak kecil. Sekiranya orang dewasa melakukan perkara yang sama, mereka akan ditembak dan mengundang bahaya. kami diberitahu askar Rusia pasti tidak akan mengapa-apakan kami kerana masih kanak-kanak. Oleh itu kami diminta oleh orang dewasa untuk. melindungi para wanita. Itulah keadaan kehidupan yang kami jalani dalam satu musim sejuk di Manchuria.

Dihantar balik dari Manchuria

Kami mengetahui bahawa kami boleh dihantar balik dari Manchuria, jadi kami menuju ke Harbin dengan berjalan kaki. Selama dua bulan tidak kira siang malam kami berjalan sambil berhati-hati supaya yang tiada perompak. Keadaan ketika malam gelap jadi kami tidak dapat melihat sekeliling dan semasa bergerak anak kecil dan bayi kerap menangis. Bayi tidak tahu situasi ketika itu. Sehinggakan ketua kumpulan emigran mengarahkan ibu bapa untuk membunuh bayi mereka. Ketua berkata bayi yang menangis akan menyusahkan orang lainjadi lebih baik bunuh saja. Saya rasa itu arahan yang cukup kejam untuk mengarahkan ibu bapa membunuh bayi mereka. Sungguhpun saya tidak menyaksikan ibu bapa yang benar-benar membunuh anak mereka, tetapi selepas arahan membunuh bayi itu dikeluarkan suara tangisan bayi tidak lagi kedengaran. Semasa hendak menyeberang sungai, anak-anak kecil enggan menyeberang sungai jadi mereka mula menangis sehinggakan ibu bapa terpaksa meninggalkan anak mereka.

Mengenang kembali perjalanan sebelum dihantar pulang itu, saya rasa benar-benar seperti neraka. Anak-anak terpaksa ditinggalkanhanya ibu bapa yang dihantar pulang, atau menjual anak mereka kepada orang China cuma ibu bapa yang pulang sahaja pilihan untuk situasi ketika itu.

Keluarga saya pula tidak perlu lagi menghadapi dilema sebegitu kerana semasa tinggal di kem semasa musim sejuk adik lelaki dan perempuan saya empat orang telah meninggal. Jadi yang tinggal hanya ibu, saya dan kakak tiga orang yang akan dihantar pulang. Bagaimanapun kami berjaya
sampai di Harbin.

Kehidupan di Harbin

Pada waktu itu di Harbin, terdapat sekolah rendah Jepun. Sekolah rendah itu diberi nama Sekolah Rendah Hanazono. Di situ kami ditempatkan. Waktu itu saya tubuh badan saya agak lemah tetapi saya berjaya mendapat pekerjaan di kedai roti. Saya bekerja selama sebulan namun saya tertangkap kerana telah mengambil lebihan roti dan simpan dalam poket. Saya melakukan perkara tersebut kerana ingin memberi ibu saya makan kerak roti. Jadi saya curi kerak roti dan telah menjadi punca
saya dipecat.

Ibu saya pula, semasa saya mandapat jangkitan tifus, ibu telah menggunakan semua wang simpanan dan menjual semua harta untuk rawatan saya. Pada waktu kami tidak punya apa-apa lagi ibu saya pula jatuh sakit. Doktor pun tiada ketika itu, jadi ibu saya meninggal begitu saja. Perkuburan pun tiada jadi saya runsing di mana boleh melakukan pengebumian. Tempat tahanan kami terdapat kawah terhasil daripada batu besar yang dikeluarkan. Jasad orang yang meninggal di tempat tahanan akan diangkut ke kawah tersebut. Apabila ruang kawah itu dipenuhi mayat jasad-jasad itu akan diangkut keluar menggunakan kereta kuda. Disebabkan waktu itu adalah musim panas dan bukannya musim panas serampang yang digunakan petani menjadi alat untuk kami menaikkan mayat ke atas kereta kuda. Saya tidak tahu ke manalah
mayat ibu saya dibawa, tetapi kesan menggunakan serampang, terdapat mayat yang kepalanya atau badannya terpisah daripada badan. Sampai sekarang kami tidak tahu ke mana mayat-mayat dibawa.

Penghantaran pulang dari kem tawanan Harbin dibahagikan kepada satu dan dua giliran. Saya bersama kakak telah berjalan kaki namun semakin keletihan. Kereta api pula tinggi jadi kanak-kanak seperti kami tidak mampu mencapainya. Orang Korea yang membantu mengangkat kami untuk naik ke atas gerabak. Kakak saya sering memberitahu bahawa orang Korea yang membantu kami ketika itu. Walaupun kereta api yang kami naik tidak berbumbung tetapi kami bersyukur asalkan tidak perlu berjalan kaki. Keesokan paginya setelah sedar saya lihat ke sebelah, di sebelah terdapat orang dewasa yang terbaring kaku. Saya cuba menggerakkan orang itu tetapi, orang itu sudah meninggal. Beberapa hari pun berlalu dan kami tiba di Busan di semenanjung Korea kalau tidak salah saya. Dari situ kami dinaikkan ke kapal.

Dihantar pulang ke Jepun

Saat saya menaiki kapal saya sudah merasa seolah-olah telah sampai ke Jepun. Saya berasa sangat lega. Makanan semasa di kapal adalah nasi dan terdapat rumpai laut. Walaupun lauk kami hanya rumpai lauk tetapi rasanya sangat sedap. Saya terpegun tidak percaya benda sesedap ini wujud. Setelah tiba di Jepun kapal menuju ke pelabuhan tentera Sasebo di Nagasaki. Semasa kami tiba di Sasebo wabak taun mula merebak dalam kapal. Kapal berlabuh di tengah laut di Sasebo selama seminggu sehinggalah penularan wabak taun tamat. Namun setelah seminggu berlalu kami masih tidak boleh berlabuh di Sasebo, seterusnya kami berpusing ke Otake di Hiroshima dan mendarat di sana. Mula-mula sekali kami menerima semburan DDT(racun serangga). Seluruh badan disembur sehingga diliputi warna putih. Kami tinggal satu malam di Otake. Selepas itu kami menuju ke Kure di Hiroshima. Kami mendapat tahu ada kapal yang pergi ke Okinawa jadi kami menuju Kure dengan menaiki kereta api. Semasa melintasi bandar Hiroshima semua benda kami lihat telah terbakar. Tiada satu pun stesen yang tinggal hanya bekas tapak. Segalanya telah hangus. Kami telah menghampiri Kure tetapi di Kure kapal yang pergi Okinawa pula tidak dapat meninggalkan Kure, jadi kami bergerak sehingga ke kem tawanan di Nagoya. Di tapak bekas kilang Perindustrian Berat Mitsubishi itu terdapat kem tawanan khusus untuk orang dari Okinawa. Setelah duduk di sana selama sebulan, akhirnya, kami pulang ke Pulau Miyako.

Pulau Miyako tidak lama setelah perang

Pulau Miyako pada waktu itu masih lagi mengalami krisis makanan, jadi kehidupan agak sukar. Saya tinggal di rumah pak cik selama satu tahun. Pulau Miyako waktu itu mendapat bekalan makanan dan pakaian daripada kerajaan tentera Amerika. Agihan bekalan makanan juga diutamakan kepada kanak-kanak yang dibawa pulang dari luar tanah air. Manakala yang dibawa pulang dari kawasan berhampiran dikecualikan dari mendapat keutamaan. Saya dan kakak kedua-duanya dihantar pulang dari Manchuria jadi, banyak agihan bekalan yang dihantar ke rumah pak cik. Agihan bekalan tersebut mengandungi bahagian kuning telur yang dikeringkan, makanan dalam tin dan sebagainya. Untuk pakaian pula kami mendapat pakaian kanak-kanak Amerika tetapi untuk kami kanak-kanak Jepun saiz seluar dan pakaian luarnya agak besar.
Benda-benda seperti itu diagihkan secara percuma.

Waktu itu juga terdapat kapal penyeludup keluar masuk, dan orang Taiwan yang sering terlibat dalam aktiviti penyeludupan. Apabila mendapat tahu kapal orang Taiwan tiba, saya akan pergi ke tempat itu. Waktu itu saya boleh bercakap Bahasa Cina sikit-sikit jadi, apabila saya bercakap dengan orang Taiwan, mereka kagum dan berkata “Kamu pandai berbahasa Cina rupanya!” lalu saya diberi tin makanan. Barang-barang itu saya akan bawa kepada pak cik saya. Dia gembira dan mengatakan bahawa saya cerdik. Dengan cara seperti itu saya berusaha untuk meneruskan hidup.

Kembali belajar setelah mendapat pekerjaan

Waktu itu kakak bekerja di Klinik Pergigian Takehara sebagai pembantu rumah di sana. Saya juga mula bekerja Klinik Pergigian Takehara dan belajar daripada kakak. Tidak lama selepas itu saya masuk ke program belajar sambilan di Sekolah Menengah Miyako. Sebelum ini saya tidak dapat ke sekolah jadi saya tidak tahu membaca. Walaupun begitu saya masih meneruskan hasrat ke Sekolah Menengah Miyako. Saya menggunakan khidmat kedai sewa buku bagi menghafal huruf-huruf. Di kedai itu terdapat pelbagai jenis manga yang boleh disewa. Disebabkan terdapat buku yang mempunyai Furigana(panduan bunyi huruf), jadi saya fikir inilah caranya. Saya meminjam buku-buku yang mempunyai Furigana dan bersungguh-sungguh mengingat huruf. Saya juga tidak tahu cara menggunakan kamus. “Kenapa pula terdapat satu garis, dua garis?” tanya saya yang tidak tahu langsung kaedah menggunakan kamus. Namun saya tetap merujuk kamus dan tekad belajar sendiri hingga cara menggunakan kamus pun saya kuasai.

Saya tetapkan untuk kuat berusaha, sementara belajar sambilan di sekolah, saya juga mula membaca buku mengenai teknologi pergigian dan buku perubatan pergigian sehinggakan saya boleh faham kandungan dan istilah sedikit demi sedikit. Saya mula yakin pasti saya mampu untuk melakukan. Apabila saya telah faham pembelajaran pun menjadi menarik. Terutamanya cita-cita saya untuk menjadi juruteknologi pergigian, meskipun saya tidaklah menjadi doktor gigi, tetapi apabila saya membaca buku perubatan pergigian, saya mula puas dan “Faham, faham”. Masalah berikutnya ialah kandungan Bahasa Inggeris dalam buku perubatan pergigian pula saya tidak faham. Jadi bahagian Bahasa Inggeris itu, apakah yang dimaksudkan menjadi persoalan bagi saya. Saya belajar pula dari mentor dan belajar sendiri sehinggakan saya mula
faham.

Saya merupakan kumpulan pertama untuk program pelajar sambilan Sekolah Menengah Miyako. Saya tidak tamat belajar kerana tempat kerja saya Klinik Pergigian Takehara akan berpindah ke Pulau Utama Okinawa dari apa yang saya dengar semasa saya baru masuk ke program pelajar sambilan Sekolah Menengah Takehara.

Berlepas ke pulau utama dan belajar Bahasa Inggeris

Selepas lokasi klinik dipindahkan ke Bandar Okinawa, saya memberi tumpuan belajar Bahasa Inggeris. Ramai orang asing yang datang ke pulau utama Okinawa. Disebabkan ramai warga asing yang datang ke klinik, saya fikir sekiranya tidak tahu Bahasa Inggeris pasti sukar untuk berkomunikasi dengan mereka. Oleh itu saya pergi belajar Bahasa Inggeris. Untuk belajar Bahasa Inggeris saya telah pergi ke fasiliti tentera AS di Nakagusuku. Suatu hari hujan turun dengan lebat, seorang surirumah dari keluarga Amerika memberitahu untuk ambil dan bawa pergi payung. Umbrella(Payung) saya faham maksudnya dalam Bahasa Inggeris, tetapi ambil dan bawa pergi saya tidak faham. Saya berdiri senyap di situ sehinggalah dia menggerakkan tubuh untuk memberitahu saya supaya membawa payung. Saya mengucapkan terima kasih dan
membawa payung itu pulang.

Mengenang kembali pasca perang

Saya tidak rasa saya seorang sahaja yang menderita. Bagi kanak-kanak zaman itu, itulah perkara biasa. Setelah pulang ke Pulau Miyako dari Manchuria saya rasa tiada sebarang masalah besar berlaku. Tetapi perkara yang paling memeranjatkan bagi saya setelah kemabali ke Pulau Miyako saya hampir lupa semua huruf. Katakana, Hiragana dan Kanji…Segalanya telah padam dari ingatan saya. Pengalaman peperangan telah menyebabkan manusia menderita ketakutan hingga menjadi bodoh
sebegini.

Punca mampu bekerja keras

Saya mampu lakukan sejauh ini kerana tidak suka kalah kepada orang lain. Perasaan yang sedemikian membuat saya ingin menjadi lebih kuat daripada orang lain. Saya tidak ingin kalah kepada kawan-kawan. Waktu itu orang yang sama umur dengan saya telah menghabiskan sekolah menengah, sekolah tinggi dan universiti, walhal saya pula tidak dapat pergi ke sekolah seperti mereka jadi saya fikir, baiklah saya tidak akan mengaku kalah. Cara fikir yang sedemikian membuat saya bekerja keras.

Mesej kepada golongan muda

Kepada orang muda sekarang saya ingin merayu agar tidak lagi mencetuskan peperangan buat kali kedua. Kemudian pada pendapat saya, Saya dari Pulau Miyako menyeberang ke Manchuria, tempoh waktu dari saya berusia 9 tahun sehingga 12 tahun itu berbanding rakan seusia yang hanya tinggal di Okinawa saya lebih kaya dengan pengalaman. Saya pernah melihat pemandangan Manchuria dilitupi salji kemudian saya pernah melihat serigala, pergi gunung, petik dan makan anggur gunung. Banyak perkara telah saya alami. Jadi saya lebih banyak merasa pengalaman lain berbanding orang yang hanya tinggal di Okinawa. Oleh itu, semasa masih muda ini lihatlah dunia yang luas dan sila nikmati perjalanan hidup. Itu juga salah satu rayuan saya.


En. Keisei Kawamitsu pernah menjadi Ketua Bahagian Persatuan Juruteknologi Pergigian dan pada tahun 1995 menjadi presiden untuk Persatuan Juruteknologi Pergigian Okinawa dan menyumbang dalam perubatan pergigian dan kumpulan juruteknologi di wilayah itu. Melalui sumbangan tersebut beliau telah menerima Anugerah Kementerian Kebajikan dan Perubatan pada tahun 2000.