Melangkah dari Dunia PeperanganOrang yang terlibat dengan peperangan. Video penerangan semasa dan selepas peperangan

Membina Semula Sekolah Kampung Halaman

En. Kanyu Iha

Tarikh Lahir:1928

Tempat Lahir:Kampung Yomitan

Kem tentera di Istana Zakimi

Pada tahun 1944, enam senapang anti-pesawat tentera Jepun telah dipasang di bahagian atas Istana Zakimi. Kerja penebangan pokok di tapak ini dilakukan oleh hanya pelajar-pelajar Sekolah Pertanian dan Perhutanan Wilayah Okinawa. Kami berjalan dari sekolah di Kadena ke Istana Zakimi setiap hari. Ini merupakan pembinaan utama di kawasan kem yang telah disertai oleh para pelajar dari Sekolah Pertanian dan Perhutanan Wilayah Okinawa. Selain itu, di pantai Toya di Yomitan, dinding batu telah dibina untuk menghalang kereta kebal mendarat dari laut. Kami telah diarahkan untuk menggali lubang di belakang dinding batu dan membuat kubu parit bagi memerangkap kereta kebal ke dalamnya. Kami juga telah dipaksa membuat landasan kapal terbang untuk tempat yang kini dipanggil Lapangan Terbang Kadena. Pada waktu itu, tempat tersebut dipanggil Lapangan Terbang Naka.

Kami telah mendaftar di Sekolah Pertanian dan Perhutanan dan menduduki kelas selama setahun di sana. Ketika kami baru sahaja memasuki tahun kedua pengajian, satu Unit Tentera Gunung (Divisyen ke-24) telah ditempatkan di bangunan sekolah menyebabkan pembelajaran kami terbantut. Kami menghabiskan masa setahun sibuk membina kem tentera setiap hari. Ada hari yang kami dikerah membina Lapangan Terbang Naka, ada hari membuat lubang kereta kebal di Yomitan dan seterusnya ialah mengorek parit tentera laut. Di penempatan Furugen di Kampung Yomitan, pasukan medik dari Unit Gunung telah ditempatkan di sebuah rumah yang mempunyai bilik tatami yang besar. Kediaman saya juga menempatkan lebih kurang 14 ke 15 orang askar. Sebelum Perang Okinawa bermula, penduduk Yomitan disuruh berpindah ke sebuah kampung yang dipanggil Hiji di Kunigami.

Situasi di Hiji, Kunigami

Apabila Perang Okinawa bermula para pelajar dari Sekolah Pertanian dan Perhutanan telah berkumpul di sekolah dan bekerjasama dengan tentera Jepun. Walau bagaimanapun, memandangkan saya mempunyai adik perempuan, adik lelaki dan ahli keluarga lain di rumah saya di Furugen, saya telah berbincang dengan tiga orang rakan sekelas saya yang juga berasal dari Furugen dan mencari perlindungan ke Yanbaru bersama keluarga saya. Situasi perang semakin buruk dan saya tidak dapat kembali ke Yomitan. Di Hiji, pada awalnya kami mendapat bekalan beras tetapi bekalan itu terhenti, jadi kami terpaksa makan rumput liar. Daripada sengsara akibat kekurangan makanan, saya telah membuat keputusan untuk kembali ke Yomitan. Saya berjalan kaki dari gunung ke gunung menuju ke Nakagami. Saya telah pergi sejauh Okawa di Kushi (kini Bandar Nago) bersama keluarga saya, tetapi tentera A.S mula datang ke Okawa pada setiap pagi dengan menaiki jip. Khabarnya lelaki muda akan ditembak mati dengan serta-merta, jadi saya dan 3 orang rakan yang lain telah berpisah dengan keluarga kami dan meninggalkan mereka di Okawa. Kemudian, kami melarikan diri ke kawasan pergunungan.

Apabila Perang Okinawa bermula, saya telah diberitahu jika kami tidak bekerjasama dengan askar Jepun, kami akan menghadapi kehidupan yang sukar kelak apabila Jepun memenangi perang. Jadi saya membuat keputusan untuk bekerjasama dengan tentera Jepun. Terdapat Unit Tentera Udo di Motobu, maka, saya mempertimbangkan untuk mencari mereka supaya saya dizinkan untuk berkhidmat bersama mereka sepanjang perang. Malangnya saya gagal mencari unit tersebut. Ketika kami sedang merebus ubi keledek di tepi sungai di kawasan pergunungan Okawa, secara tiba-tiba kami bertiga telah diacu dengan senapang di belakang kami oleh tentera A.S. Secara spontan kami mengangkat tangan dan kami ditolak ketebing sungai sebelum ditangkap sebagai tahanan perang. Saya kemudiannya mendapat tahu bahawa peristiwa ini berlaku pada 4hb Julai. Saya percaya bahawa saya tidak ditembak dan hanya diacu dengan senapang kerana saya bersembunyi hingga bulan Julai. Pada hari tersebut, kami telah dijadikan tahanan perang dan ditempatkan di kem Henoko, Kushi (kini dikenali sebagai Bandar Nago).

Menjadi tahanan perang dan ditahan di Kem Tahanan Perang Henoko Lebih kurang 200 hingga 300 orang telah ditahan di sana termasuk rakan dan senior yang telah ditangkap terlebih dahulu. Kem itu hanyalah sebuah khemah di tengah lapang yang dikelilingi kawat duri. Hanya orang muda yang dipenjarakan di Henoko. Mereka yang mempunyai status tentera telah dibawa ke kem tahanan perang Yaka di Kin. Hari pertama penahanan kami hanya dipenuhi dengan soal siasat. Apabila saya ditanya sama ada saya merupakan askar Jepun, saya menjawab yang saya hanyalah seorang pemuda biasa. Kemudian, saya telah ditanya dengan pelbagai soalan, antaranya adalah siapakah nama datuk bandar tempatan saya tinggal. Apabila mereka menyedari yang saya bukannya seorang askar, saya telah ditempatkan di kem Henoko.

Tahanan di sana telah dipaksa melakukan pelbagai jenis kerja buruh. Kebanyakan kerja melibatkan aktiviti meluaskan jalan berhampiran kem Henoko. Terdapat sebuah hospital besar berdekatanKushi. Walaubagaimanapun, hospital tersebut hanyalah sebuah khemah dengan barisan katil tentera AS yang digunakan pada waktu perang.
Ramai pesakit yang tercedera di Shimajiri telah ditempatkan di dalam khemah tersebut. Terdapat ratusan pesakit yang terdiri daripada golongan dewasa, kanak-kanak,lelaki mahupun perempuan dalam keadaan berbalut dan terbaring di situ. Dari masa ke masa, tahanan perang telah dihantar untuk membersihkan hospital. Tahanan perang juga menggali lubang kubur berhampiran hospital. Saya telah diarahkan ke sana sebanyak 3 ke 4 kali. Penggali lubang untuk menanam mayat dipanggil sebagai kumpulan penggali kubur. Kami telah mengebumikan sebanyak 4 ke 5 orang mayat dalam satu lubang. Saya sudah tidak mempunyai sebarang perasaan pada waktu itu. Jadi saya sukar untuk berasa kasihan kepada mereka.

Bergraduasi dan menuju ke Yomitan

Kebanyakan pelajar yang bersekolah di Sekolah Pertanian dan Perhutanan Kadena sebelum perang telah menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Pertanian Hokubu di Nago selepas perang tamat. Saya juga bersekolah di sana dan bergraduasi selepas setahun menuntut di situ. Selepas tamat sekolah menengah, saya memulakan kehidupan di Ooki, Yomitan tempat di mana keluarga saya tinggal. Saya bekerja selama lebih kurang dua tahun sebagai pekebun untuk keluarga tentera AS di kampung halaman saya, Furugen. Terdapat lebih kurang 50 pondok Quonset (berek tentera AS) dan dua keluarga tinggal dalam setiap Quonset.

Bekerja di fasiliti tentera

Tugas sebagai pekebun di Quonset tidaklah susah. Saya bertugas merapikan taman, menanam bunga dan mebersihkan kawasan di sekitar Quonset. Oleh kerana tidak ada pekerjaan lain saya telah memilih untuk bekerja sebagai pekebun. Keluarga saya pada waktu itu seramai tujuh orang. Saya sebagai anak sulung,ibu, dua adik lelaki dan 3 adik perempuan. Memandangkan gaji pekebun adalah rendah dan tidak cukup untuk menampung keluarga saya, saya mula bekerja di dewan mes atau dewan makan unit tentera AS di bahagian barat Lapangan Terbang Yomitan. Sebagai salah seorang pasukan memasak di situ saya juga diberikan makanan oleh mereka. Keluarga saya tidak perlu memasak lagi kerana kami memakan roti dan buah yang saya terima daripada unit tersebut. Ianya lebih memudahkan hidup kami. Saya mengutip sisa makanan di dewan makan dan menjualnya kepada penternak khinzir untuk mendapatkan wang. Walaupun begitu, saya tidak mencuri daripada unit tentera tempat saya bekerja untuk mendapat pengiktirafan yang dipanggil “trofi perang.” Saya bekerja di sana selama lebih kurang 2 tahun.

Menjadi guru di sekolah lama saya

Sekolah lama saya iaitu Sekolah Rendah Furugen telah dibina semula tetapi mengalami masalah kekurangan guru. Bilangan guru pada waktu itu kurang kerana mereka berhenti untuk bekerja sebagai tentera yang menjanjikan gaji yang lebih tinggi, dan ada juga yang terbunuh dalam perang. Guru lelaki terutamanya adalah sangat sedikit. Walaupun sekolah telah dibina semula, masalah kekurangan guru telah menyebabkan Guru besar berhadapan dengan situasi yang sukar. Guru besar beberapa kali
cuba memujuk saya untuk mengajar di sekolah tersebut selepas saya tamat belajar di sekolah menegah tinggi. Beliau meyakinkan bahawa lepasan sekolah menengah tinggi seperti saya layak menjadi guru. Beliau menjemput saya ke sekolah untuk mendidik anak-anak di situ. Oleh itu, saya mula bekerja di Sekolah Rendah Furugen sebagai guru ganti pada bulan Januari tahun 1950.

Pendidikan pasca-perang

Sekolah tidak dibina semula di tapak asal, sebaliknya khemah dipacak di kawasan lapang, padang sekolah juga tidak diturap rata dan dipenuhi dengan batu-batuan. Pada awal pembinaan semula sekolah rendah, fokus utamanya ialah untuk mewujudkan tempat belajar. Kami memecahkan batu,meratakan tanah dan sebagainya. Kelas hanya berlangsung pada waktu pagi dan sebaik sahaja kanak-kanak pulang, saya menyambung kerja pembinaan kawasan sekolah. Sekolah dibawah khemah terasa sangat panas kerana sinaran matahari yang memancar. Jadi saya meminta kanak-kanak dan ibubapa mereka membantu memotong jerami untuk dibuat atap.

Kerja membuat atap dilakukan oleh para guru setelah kanak-kanak dihantar pulang ke rumah. Kerja-kerja pembinaan semula sekolah dilakukan hampir setiap hari. Untuk mendapatkan kayu, saya menebang pokok pain dari kawasan pergunungan yang dimiliki oleh ibu bapa pelajar dan telah membina lebih kurang 10 buah bangunan sekolah. Kami menyediakan tempat untuk mereka belajar dengan meletakkan dua kelas di dalam setiap bangunan.

Pada awalnya, tiada langsung buku nota untuk digunakan dalam kelas. Jadi, kami telah mencipta buku nota sementara daripada kertas yang kami kumpul dari tempat pembuangan sampah tentera AS. Kami menggunakan pensel yang diterima daripada tentera AS atau yang dipungut daripada tempat pembuangan sampah mereka. Pada mulanya, kami juga tidak mempunyai buku teks. Jadi langkah pertama ialah para guru membuat buku teks mimeograf dan mengagihkannya kepada kanak-kanak untuk sesi pembelajaran sebagai ganti kepada buku teks. Setelah 4 ke 5 tahun berlalu, akhirnya buku teks pun diedarkan dan kami dapat menggunakannya untuk belajar. Untuk membuat meja dan kerusi, sekeping papan telah diletakkan di atas katil tentera AS dan bangku untuk dua atau tiga orang telah disusun di setiap katil. Beginilah caranya kami membuat meja dan bangku sementara untuk digunakan. Selepas itu, penduduk kampung telah menyediakan meja yang boleh digunakan untuk dua orang.

Selain daripada bertukang, kami sebagai guru ganti juga terpaksa mengangkat batu dan meratakan tanah menggunakan cangkul dan cangkul burung. Jawatan “Guru” hanyalah sekadar gelaran, sebahagian besar tugas kami adalah membina semula kawasan sekolah. Mungkin sebab itulah mereka mahukan lelaki muda yang baru tamat sekolah menengah sebagai guru ganti. Namun, kanak-kanak pada waktu itu sangat comel dan naif. Mereka datang membantu bersama para guru walaupun kerja yang tidak mampu dilakukan oleh kanak-kanak. Kanak-kanak dan guru-guru bersama-sama berganding bahu mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif di sekolah mereka.

Pusat latihan perguruan telah ditubuhkan di Sekolah Menengah Koza dan selepas menjalani enam bulan latihan, saya pun dilantik menjadi guru. Perkara paling sukar sekali sewaktu latihan perguruan adalah seminar pada setiap hari Sabtu dan Ahad. Selama lebih kurang setengah tahun, saya pergi ke Universiti Ryukyu di Shuri dari Sabtu petang hingga Ahad seharian untuk menjalani kursus di sana dan saya ditugaskan mendidik dan menyantuni kanak-kanak. Selain itu, ada banyak bengkel
yang memberikan kredit. Para penuntut akan bergegas ke bengkel seperti ini selepas kelas dan menghadirinya selama dua hingga tiga jam.

Mesej kepada golongan muda

Selepas perang tamat, kami saling bantu-membantu dalam proses pemulihan. Membantu bukan sahaja saudara-mara,malahan semua orang saling berganding bahu ke arah kemajuan. Pada pendapat saya, penduduk pasca-perang adalah sangat hebat. Sikap tolong-menolong pada waktu itu tidak ada tolok bandingnya dengan zaman sekarang.

Perkara yang mahu saya sampaikan kepada golongan muda bahawa dunia yang hebat penuh dengan kekayaan dan keamanan yang kita kecapi hari ini adalah hasil usaha golongan lebih tua dari mereka. Harapan saya agar anda terus menimba ilmu dan mencipta dunia yang lebih baik daripada sekarang.


En. Kanyu Iha kekal terlibat dalam bidang pendidikan selama lebih 40 tahun. Selepas bersara, beliau aktif menyumbang dalam masyarakat sebagai Pesuruhjaya Hak Awam. Beliau menerima anugerah Kementerian Perundangan pada tahun 1998 dan Anugerah Darjah Matahari Terbit pada tahun 2012.