Melangkah dari Dunia PeperanganOrang yang terlibat dengan peperangan. Video penerangan semasa dan selepas peperangan

Perang di Kepulauan Yaeyama Melalui Gambar

En. Masamichi Shiohira

Tarikh Lahir:1933

Tempat Lahir:Bandar Ishigaki

Yaeyama sebelum kemuncak perang

Saya telah dilahirkan di Pulau Ishigaki pada tahun 1933. Keluarga saya terdiri daripada ibu bapa saya, nenek, abang dan saya. Abang saya telah dipanggil untuk menyertai tentera sejurus selepas perang bermula dan dia telah ditugaskan dalam unit Tentera Jepun di dalam pulau. Ayah saya ketika itu
berkhidmat sebagai ketua di Perbadanan Makanan Awam cawangan Yaeyama.
Perbadanan ini bertanggungjawab untuk penyimpanan dan pengedaran makanan. Misi ayah saya ialah memperoleh stok makanan untuk penduduk Yaeyama.

Bermulanya serangan udara

Ketika “Peristiwa Serangan Udara 10 Oktober” (Oktober 1944), serangan udara turut berlaku di Pulau Ishigaki. Semasa serangan udara yang pertama, dua buah kapal perang Jepun telah berlabuh di antara Pulau Taketomi dan Pulau Ishigaki.
Secara tiba-tiba, pesawat A.S. Grumman muncul dan menyerang dua kapal perang itu. Kemudian, dari Pulau Ishigaki Tentera Jepun memulakan serangan pintasan menggunakan meriam antipesawat Itulah kali pertama saya melihat pemandangan ini, jadi saya telah pergi ke pantai untuk menyaksikannya sendiri.
Saya dengar dari orang lain yang mengatakan apabila meriam antipesawat ditembak dari Pulau Ishigaki, pesawat itu meletup di udara dan serpihannya
jatuh ke Pulau Taketomi. Oleh itu, serpihan bom yang jatuh di Pulau Taketomi,
bukanlah dari musuh A.S. tetapi serpihan artileri daripada meriam antipesawat
tentera Jepun yang jatuh seperti hujan. Hal ini diberitahu orang orang lain yang terselamat dari perang. Pada suatu petang, dari arah Pulau Kohama, 3 atau 4 buah pesawat A.S. datang terbang rendah di sepanjang pantai kawasan
bandar Pulau Ishigaki dan melepaskan tembakan mesingan ke arah pekan dari barat ke timur.

Pada waktu itu, pelan perpindahan ke Taiwan untuk elak perang dilaksanakan mengikut setiap Tonarigumi (persatuan kejiranan). Kami sekeluarga telah bersedia untuk berlindung di Taiwan, tetapi kami telah diserang dari udara betul-betul seminggu sebelum berlepas, jadi perpindahan kami ke Taiwan
telah dibatalkan.

Persekolahan sebelum perang tamat

Pada bulan April 1945, saya telah memasuki sekolah menengah rendah di bawah sistem pendidikan lama. Disebabkan serangan udara yang dahsyat, majlis kemasukan ke sekolah telah terganggu 2 atau 3 kali. Apabila bom dijatuhkan berdekatan bangunan sekolah, serpihan kelongsong bertaburan dan terkena paha senior saya sehingga menyebabkan pendarahan. Dalam suasana ini, saya melalui majlis kemasukan ke sekolah. Pengetua mengakhiri ucapannya dengan,
“Mulai hari ini, kamu semua adalah pelajar tahun satu.” Setelah ucapannya selesai, Ketua Kor ‘Tekketsu Kinnotai’ (Kor Remaja Darah dan Besi Diraja)
pula tampil memberi ucapan. Ucapannya dibuka dengan, “Mulai hari ini, kamu semua adalah askar di bawah Kor Remaja Darah dan Besi Diraja.” Oleh yang demikian, sejurus selepas saya masuk sekolah menengah rendah, saya telahpun
menjadi sebahagian Kor Remaja Darah dan Besi Diraja. Saya tidak dapat memberikan tumpuan pada pelajaran. Setiap hari, saya pergi ke sekolah dengan
membawa cangkul dari rumah dan bercucuk tanam menanam ubi keledek di halaman sekolah. Zaman itu amat susah untuk makan. Saya kemudiannya pergi ke padang permainan memorial, sekarang tempat itu adalah Sekolah Rendah Kaisei, tempat ini berbatu-batu saya berusaha kumpulkan tanah yang terdapat antara batu-batu saya timbunkan tanah yang ada dan cuba tanam ubi keledek di situ. Walau bagaimanapun, ubi keledek tersebut tidak dapat saya makan, kerana semua orangpun kekurangan makanan dan orang lain telah menggalinya lebih cepat.

Dalam perjalanan saya dari sekolah menengah rendah berdua bersama rakan saya, sewaktu kami melintasi hadapan gerbang torii di kuil Miyatori On, pesawat A.S. terbang berhampiran dan dari atas udara, mereka menyedari kehadiran kami, lalu mula menembak mesingan ke arah kami. Terdapat sebaris pokok garcinia di tepi pagar sebuah rumah berdekatan. Jadi, kami bersembunyi di belakang sebatang pokok garcinia yang besar, lantas nyawa kami terselamat.
Selepas serangan udara itu berakhir, kami memeriksa pokok garcinia itu.
Kami telah menjumpai kesan peluru tertinggal di pokok itu. Jika pokok ini tiada, peluru itu mesti telah terkena saya.

Situasi makanan ketika berlindung dari perang

Pada 1 Jun 1945, tentera Jepun telah mengarahkan kami berpindah ke kawasan
pergunungan untuk perlindungan sebelum 10 Jun. Ini kerana tentera A.S. berkemungkinan akan mendarat di Pulau Ishigaki sekitar 15hb Jun. Para penduduk telah membina pondok perlindungan di kawasan pergunungan terlebih dahulu, jadi mereka semua segera berpindah ke ke tempat perlindungan itu. Pada tarikh itu, tentera A.S. tidak mendarat di Pulau Ishigaki, tetapi telah melancarkan serangan udara yang dahsyat. Krisis kekurangan makanan telahpun bermula sebelum arahan pemindahan dikeluarkan. Sebabnya, serangan udara yang berterusan menghalang penduduk untuk bercucuk tanam.

Sekitar waktu itu, kami mula menggali “muiakkon”. Muiakkon ialah dialek Yaeyama bermaksud ubi keledek yang tertinggal dari digali. Di mana ada muiakkon, terdapat ubi keledek yang tumbuh di dalam tanah. Jadi kami mencarinya untuk dimakan. Semua orang melakukan perkara yang sama,
jadi semua ubi keledek telah habis digali. Kami kemudian memetik rumput yang boleh dimakan di tepi jalan dan ladang lalu memakannya. Terdapat juga buah seperti nanas tetapi bulat iaitu buah pandan laut. Kami cabut satu-satu segmen buah ini Setiap segmen mempunyai bahagian lembut di dalam, jadi kami gigit bahagian ini. Apabila hujan turun, kami pergi ke ladang ubi keledek dan menangkap siput babi. Siput babi biasa seperti anda boleh jumpa sekarang.
Siput babi biasanya bersembunyi di bahagian bawah daun ubi keledek, tetapi apabila hujan turun, ia naik ke bahagian atas daun. Oleh itu, kami pun menangkapnya dan memasukkannya ke dalam sup. Kadang-kadang kami menangkap katak yang hidup liar, tabur garam dan makan selepas dipanggang.
Katak merupakan makanan terbaik kami.

Malaria di waktu perang

Tentera Jepun telah mengeluarkan arahan berpindah. Di mana semua penduduk disuruh berlindung di kawasan pergunungan. Berikutan itu, keluarga saya berlindung di kawasan pergunungan selama tiga bulan. Kebanyakan penduduk yang mencari perlindungan di Shiramizu dijangkiti malaria. Saya pun telah dijangkiti, dan diserang demam panas sehingga 40.8℃. Demam panas saya berulang setiap tiga atau empat hari. Setiap kali saya demam panas, air dialirkan di dahi saya untuk menyejukkan demam, tetapi demam panas saya berlanjutan
selama lebih kurang sebulan. Apabila pesakit malaria mula dijumpai, dalam masa lebih kurang 20 hari akan ada yang meninggal dunia. Jika di zaman sekarang, tidak akan begitu cepat untuk kematian berlaku. Waktu itu, pemakanan semua orang tidak seimbang menyebabkan mereka mudah untuk mati. Bila sudah petang, mayat-mayat pesakit ini diangkat dan ditanam di tepi ladang
berdekatan pusat perlindungan. Selain mayat yang ditanam, ada juga yang dibakar. Apabila hari semakin gelap dan pesawat A.S. berhenti datang, asap naik berkepul-kepul dari mayat yang dibakar di tepi ladang.

Berakhirnya perang

Semasa kami lari ke kawasan pergunungan untuk mencari perlindungan, kami mendapat berita yang pulau utama Okinawa telah tewas sepenuhnya dan perang di pulau utama Okinawa telahpun berakhir. Serangan udara di Pulau Ishigaki
juga telah berhenti. Jika kami terus berlindung di gunung, hidup kami mungkin terancam. Meskipun pesawat A.S menjumpai kami, ia tidak lagi menembak mesingan

Pesawat-pesawat ini hanya terbang rendah dan juruterbang A.S. melambai-lambaikan tangan mereka ke arah kami. Oleh itu, kami sedar perang sudah tamat
dan turun dari kawasan pergunungan. Setelah mendapat tahu bahawa perang sudah tamat, saya fikir lebih dari separuh orang yang berlindung di kawasan pergunungan pulang ke rumah. Keluarga saya turun dari gunung sebelum perang tamat lagi. Ini disebabkan oleh ayah saya dijangkiti malaria dan mendapat demam panas. Saya meletakkan tuala sejuk di dahinya dan menjaganya. Ketika itulah, rakan ayah saya memberitahu, “Jepun telah kalah perang.” Bom atom yang telah dijatuhkan di Hiroshima dan Nagasaki membuatkan Jepun menyerah kalah. Apabila saya mendengar hal ini di wad ayah saya, saya pun sedar bahawa perang telah berakhir. Memandangkan saya seorang askar remaja pada masa itu,
saya menangis dengan kuat. Bukan sahaja saya, semua orang pun menangis.

Kehidupan sejurus selepas perang tamat

Tentera A.S mula mengedar pek makanan mengandungi beras dan makan dalam tin melalui persatuan kejiranan. Selain pek makanan ini, ayam yang dibela
di setiap rumah juga dimakan. Di rumah saya, kami juga membela ayam, tapi
setelah semuanya habis dimakan, kami pergi ke ladang untuk menangkap katak.
Semasa kami lari ke kawasan pergunungan, kami jumpa ayam liar. Walaupun mereka ayam, tapi mereka melompat dari sebuah pokok ke pokok yang lain seperti gagak. Saya bersama 5-6 orang rakan sekelas saya pergi ke gunung
untuk menangkap ayam-ayam liar ini. Kami mahu buat ayam bakar untuk dimakan, tetapi kami tidak berjaya menangkap seekor pun. Oleh itu, perut kami
sangat lapar, jadi kami turun dari kawasan pergunungan dan pergi ke ladang tebu. Kami potong batang tebu yang terdapat di ladang itu tanpa kebenaran, kami gigit batang tebu untuk menghisap jus tebu dan barulah kami balik ke rumah Itulah antara pengalaman saya.

Kami telah habis makan pek makanan yang diedarkan dalam masa lebih kurang seminggu. Dalam dalam pek makanan edaran tentera A.S. melalui persatuan kejiranan ini, terdapat makanan dalam tin. Buat pertama kalinya, saya melihat makaroni Daging dalam tin pun ada. Pek-pek makanan ini mempunyai
nombor mengikut jenisnya. Semua orang dalam persatuan kejiranan akan
berkumpul untuk membuat cabutan. Ketika itu, saya berjaya mencabut nombor untuk pek yang mengandungi daging dalam tin paling besar lalu dipuji oleh ibu bapa saya.

Ini juga pengalaman saya sewaktu itu. Selepas kami makan habis semuanya, kami kembali semula kepada hidup mandiri. Setiap keluarga akan pergi ke kawasan pergunungan untuk mencari kayu api, Untuk ke gunung, kami perlu
melepasi hentian pemeriksaan. Kakitangan pusat penjagaan kesihatan
yang menjaga tempat ini sentiasa mempunyai air dan Atebrin, ubat untuk penyakit malaria. Mereka akan memaksa semua orang yang melalui
hentian ini untuk mengambilnya.

Perkara yang paling meninggalkan kesan

Sejurus selepas perang, perkara paling meninggalkan kesan bagi saya adalah melihat orang yang mati akibat malaria dibawa setiap hari ke tempat pembakaran mayat melalui jalan di hadapan rumah saya. Sejak sebelum perang, mayat pesakit malaria dibawa ke tempat pembakaran mayat. Terutamanya, sejurus selepas perang, jumlahnya sangatlah banyak. Setiap hari, asap keluar daripada serombong tempat pembakaran mayat itu. Semasa saya melepasi tempat pembakaran mayat itu, saya ternampak banyak mayat bersusun di sana menanti untuk dibakar. Itulah situasi ketika itu.

Senior saya yang dua tahun lebih tua dari saya, tinggal di rumah yang besar, tetapi apabila perang memuncak, pegawai Tentera Jepun datang ke rumahnya
dan menghalau mereka sekeluarga keluar. Rumahnya telah digunakan sebagai
rumah pegawai-pegawai tentera. Selepas perang, pegawai itu meninggalkan Okinawa dan senior saya kembali ke rumahnya. Apabila dia membuka almari,
dia menjumpai banyak beg Kuinina, iaitu ubat malaria yang disembunyikan
oleh pegawai-pegawai itu. Kemudian, keluarganya telah mengambil ubat itu
dan sembuh dari penyakit malaria. Dia memberitahu saya, mereka turut memberikan ubat itu kepada saudara-mara dan kenalannya.

Tidak lama selepas itu, tentera A.S telah mendarat di pulau dan Atebrin (ubat malaria) telah diagihkan melalui persatuan kejiranan. Dengan adanya pengagihan Atebrin dan bekalan makanan seperti makanan dalam tin, hidup kami terselamat.

Persekolahan selepas perang

Sejurus selepas perang, saya jatuh sakit dijangkiti malaria dan tidak hadir ke sekolah selama hampir setengah tahun. Ada ramai pelajar seperti saya. Sewaktu saya tahun satu (menengah rendah) saya hampir tidak menghadiri apa-apa kelas
tetapi, saya tetap naik ke tahun dua Terdapat juga pelajar baharu memasuki sekolah. Beberapa orang pelajar mempunyai buku teks yang digunakan di sekolah menengah rendah di bawah sistem pendidikan lama sebelum perang.

2-3 pelajar berkongsi buku-buku teks itu. Terdapat juga beberapa guru yang
mempunyai buku-buku teks ini. Jadi, mereka menulis isi kandungan buku teks
di atas papan hitam dan kami belajar dengan cara ini. Sejurus selepas perang, kami hampir tidak memiliki kertas, buku nota dan pensel. Jadi kami pakai kertas yang kami panggil kertas jerami. Kertas ini tidak diluntur menjadi putih dan berwarna coklat. Kami hanya ada kertas jenis itu. Selepas itu, tentera A.S. telah mendarat di Pulau Ishigaki dan barang seperti kertas telah diagihkan secara meluas. Mereka memberi kami buku kecil kertas dengan garisan menegak hijau atau biru. Kami mengoyak buku kecil itu menjadi helaian kertas dan berkongsinya bersama-sama. Setelah seketika menggunakan kertas jerami,
buku nota yang sebenar mula diedarkan. Dua atau tiga orang pelajar berkongsi
buku teks bersama.

Pentadbiran awam dan tentera A.S

Sekarang di mana terletaknya taman kanak-kanak di Arakawa, Bandar Ishigaki,
dahulu, sejurus selepas perang, terdapat perumahan tentera A.S. Kawasan sekelilingnya dikelilingi dawai mata punai. Dari kawasan perumahan ini, tentera A.S. keluar masuk menggunakan jip. Terdapat cawangan Yaeyama bagi
Pejabat Pentadbiran Awam, di mana tentera A.S. memberikan pelbagai
arahan kepada orang tempatan. Menerbitkan surat khabar pada waktu itu,
memerlukan artikel-artikel melalui tapisan oleh pihak tentera A.S di Pejabat Pentadbiran Awam Hanya selepas melalui tapisan, barulah surat khabar boleh diterbitkan. Semua mesti melalui tapisan. Selepas perang, situasi ini
berterusan seketika.

Menyambung pelajaran di sekolah menengah dan mengenali seni

Selepas itu, saya menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Yaeyama.
Antara subjek elektif di sekolah menengah, terdapat kelas seni. Ada 3-4 orang pelajar yang telah memilih seni. Malangnya, tiada guru seni di sekolah menengah itu. Oleh itu, guru seni sekolah menengah rendah telah datang ke sekolah menengah sebagai guru sambilan. Beliau ajar kami tentang seni dan lukisan.
Guru seni ini seorang yang sangat aneh Beliau berkata kepada kami,
“Tiada gunanya belajar seni sekarang.” Kemudian, beliau memberi saya sebuah majalah seni dan menyuruh saya untuk membacanya. Majalah itu ialah
koleksi lukisan Michelangelo Koleksi lukisan ini disertakan dengan
ulasan-ulasan yang mengagumkan oleh seorang penulis bernama Mushanokoji Saneatsu. Berikutan ini, saya mula menyukai Michelangelo dan mempunyai minat
terhadap seni. Saya mula bercita-cita untuk menjadi pelukis. Sejak itu, minat saya terhadap seni membuat saya mempelajari seni. Sekarang pun, saya masih berterusan mempelajari seni. Seni telah banyak mempengaruhi hidup saya.
Jadi, saya telah menerbitkan sebuah buku lukisan tentang pengalaman perang saya.

Mesej untuk golongan muda

Secara ringkasnya, mesej saya untuk golongan muda ialah berperang merupakan tindakan manusia yang bodoh. Saya telah menyampaikan secara teperinci
betapa bodohnya perang ini. Masalah manusia tidak boleh diselesaikan dengan berperang. Lihat sahaja sejarah manusia, sesiapa sahaja boleh membuat
kesimpulan ini. Saya mahu golongan muda menyedari perkara itu dengan sedalam-dalamnya.


En. Masamichi Shiohira telah menyumbang kepada pendidikan keamanan
melalui karya seni. Selain itu, sebagai ‘pencerita’ dia telah memberitahu ramai orang tentang situasi malaria ketika perang dan realiti Perang Okinawa.