Melangkah dari Dunia PeperanganOrang yang terlibat dengan peperangan. Video penerangan semasa dan selepas peperangan

Gencatan Senjata, Tewas, Perang Tamat dan Tahun-tahun Saya Selepas Perang

En. Yuzuru Masaki

Tarikh Lahir:1934

Tempat Lahir:Bandar Ishigaki

Perpindahan ke Taiwan

Ayah saya bekerja di balai cerap meteorologi. Pada waktu itu, tempat kerjanya dikenali sebagai Stesen Cuaca Pulau Ishigaki. Namun, semasa dalam perjalanan pulang daripada latihannya di Tokyo pada 19hb Mac 1943, kapal yang dinaiki ayah telah diserang oleh kapal selam AS di persisiran Taiwan dan tenggelam.
Ayah telah hilang tanpa dijumpai. Sebelum ke Taiwan, ibu saya hanya tinggal di rumah. Ketika kami berlindung di Taiwan, dia bekerja di syarikat Meiji Seito Co., Ltd. yang terletak di Matou dalam Wilayah Tainan di Jabatan Pembelian. Kami ke Taiwan pada bulan September 1944.

Serangan udara di Taiwan

Selepas saya tiba di Matou, serangan udara bermula antara 12hb dan 13hb Oktober, ketika kami sedang menggali tempat perlindungan serangan udara berdekatan rumah kami. Memandangkan tiada tempat untuk melarikan diri, saya berjaya bersembunyi di dalam paip air lebih kurang satu meter saiznya dalam tali air besar berdekatan rumah saya. Ketika itulah buat kali pertama, saya telah menyaksikan pertempuran udara antara pesawat pejuang American Grumman dan pesawat pejuang Japanese Zero. Pengebom Amerika B-29 juga turut beterbangan di langit. Pesawat pejuang Zero hitam telah menyasarkan pengebom Amerika B-29 dan terbang ke arah mereka. Tetapi pejuang Zero tidak mampu mencapai altitud B-29 terbang, jadi kelajuan penerbangan mereka menurun sedikit demi sedikit. Apabila pergerakan mereka semakin perlahan, mereka telah diserang oleh mesingan B-29 dari atas dan ditembak jatuh. Saya melihat semuanya, dengan perasaan tak terkata. Selepas itu, pesawat pejuang Grumman mula menyerang dengan tembakan rendah bertubi-tubi. Selain B-29, terdapat juga pesawat pengebom B-24, yang turun ke altitud rendah lebih kurang 200 hingga 300 meter sebelum menjatuhkan bom besar. Terdapat sebuah serombong di kawasan milik syarikat gula. Pesawat itu telah mengebom kilang itu kerana dianggap sebagai kilang milik tentera. Saya ingat kejadian pengeboman itu amat kuat.

Di kampung Matou tempat tinggal kami, terdapat sebuah lapangan terbang rahsia yang tiada apa-apa kecuali landasan kapal terbang. Pesawat Amerika juga sering menyerang tempat ini. Saya mahu mengambil bekas kartrij peluru dari kawasan ini, tetapi semasa saya berjalan kaki bersama rakan melalui ladang tebu, kami secara tiba-tiba terdengar bunyi deruman kuat yang semakin mendekati. Apabila memandang ke belakang, pesawat pejuang P-38 Amerika sedang terbang ke arah kami pada altitud yang sangat rendah. Saya terus panik dan bersembunyi dalam longkang di tepi jalan. Saya menutup mata dan berbaring, seperti yang diajar di sekolah. Selepas kapal pejuang menderum melepasi kami, saya mengangkat kepala dan melihat Laluan di mana kami baru sahaja berjalan kaki telah hancur kesan dibom dan hanya meninggalkan asap. Saya berfikir, ‘Bahaya! Saya perlu pulang segera!’ Ketika pulang melalui jalan yang sama, saya ternampak seekor kerbau yang telah ditembak dengan peluru mesingan dari pesawat. Terdapat lubang yang besar di badannya kesan dari putaran peluru yang kuat. Organnya tersembul keluar daripada luka yang ternganga luas tetapi kerbau tersebut masih tidak mati. Pemandangan itu sangat tragik, saya kagum ia masih hidup. Jika manusia ditembak seperti itu, pasti sudah mati. Saya nyaris-nyaris hilang nyawa daripada pengalaman ini. Saya sangat bertuah kerana masih hidup.

Gencatan senjata, kekalahan perang dan perang tamat

Saya dengar perang telah tamat semasa saya pelajar tahun lima di sekolah kebangsaan. Ia berlaku sewaktu cuti musim panas pada 15hb Ogos 1945. Saya memanjat pokok Longan dan sedang memakan buahnya. Abang saya datang dan menjerit dari bawah pokok, “Perang sudah tamat! Eh, silap, gencatan senjata!” Apabila saya bertanya apa itu gencatan senjata, dia menjawab, “Waktu rehat daripada perang.” Apabila saya mendengar tidak akan ada lagi serangan udara buat sementara waktu, saya hampir tidak mempercayainya. Tetapi pada petang itu, jiran kami seorang pakcik berkata, “Jepun kalah. Jepun telah kalah perang.” Apabila saya mendengarnya, saya berasa sangat sedih, geram dan beberapa emosi lain. Sebagai seorang kanak-kanak pun saya berasa benar-benar sedih memikirkan kami kalah dengan Barat sial yang telah merampas ayah saya daripada saya.

Perang tamat pada bulan Ogos

Dan untuk seketika, saya mempunyai guru sekolah yang sama seperti semasa perang, tetapi tidak lama selepas itu, Tentera Revolusi Nasional telah mara dari tanah besar China ke Taiwan dan seorang individu bernama Chen Yi datang ke Taiwan untuk mentadbir Taiwan. Sejurus sebelum individu ini datang ke Taiwan, guru-guru di sekolah telah bertukar. semua pengetua dan guru Jepun di sekolah saya telah dipaksa berhenti dan digantikan dengan pengetua dan guru yang terdiri daripada orang-orang Taiwan. Semua pelajar diajar bahasa Mandarin. Pertama kali, saya diajar lagu kebangsaan Republik China. Selepas Setiausaha Chen Yi datang ke Taiwan, saya terpaksa menghafal lagu yang digunakan untuk mengalu-alukannya dan untuk seketika, saya mengambil kelas dalam bahasa Cina.

Penghantaran balik ke Jepun

Selepas itu, apabila penghantaran balik ke Jepun bermula, bilangan pelajar di Sekolah Jepun berkurang sedikit demi sedikit. Akhirnya saya terpaksa kembali ke Pulau Ishigaki pada musim sejuk tahun 1946, jadi saya mengembara dari Tainan ke Keelung. Pada waktu itu, satu-satunya bot yang pergi ke Pulau Ishigaki berlepas dari Keelung. Perjalanan ke Keelung mengambil masa satu hingga dua minggu dengan menaiki kargo kereta api. Stesen kereta api juga di bawah kendalian orang China (Taiwan). Pekerja di stesen semuanya orang Cina dan Taiwan. Mereka tidak mahu berurusan dengan kami. Wang tidak berkesan, jadi kami bertukar barang dan menyerahkan kimono juga barang lain sebagai rasuah dan kami akhirnya tiba di Keelung juga. Apabila kami tiba di Keelung, kami tiada tempat tinggal. Kami juga tiada saudara untuk menumpang. Terdapat tapak kilang yang telah dibom yang dahulunya merupakan syarikat ais. Kami mendirikan khemah dan tinggal di situ buat masa yang agak lama. Tidak lama kemudian, kami menaiki bot dari pelabuhan di Keelung dan kembali ke Pulau Ishigaki. Dua atau tiga keluarga bersama menaiki bot nelayan dari Pulau Miyako yang beratnya lebih kurang 30 tan, dan berlepas dari Keelung. Perjalanan ke pelabuhan di Pulau Ishigaki mengambil masa 36 jam. Semasa pelayaran kami, laut bergelora dan kami hampir ditimpa nahas, tetapi kami berjaya juga sampai ke Pulau Ishigaki.

Pulang ke Pulau Ishigaki

Selepas kembali, saya terkejut dengan jalan-jalan di Ishigaki. Jalan raya di Taiwan luas, tetapi di Ishigaki, jalannya sempit dan berumput. Terdapat ramai anak yatim dan di kejiranan kami juga ada rumah anak yatim. Kami telah membawa banyak beras bersama kami dari Taiwan, tetapi apabila ia telah habis, kami hampir tiada makanan lain. Jadi, kami makan ubi keledek dan pelbagai benda lain.

Semasa saya makan rumput dari padang, saya terjumpa pek makanan untuk tentera Amerika. Ia dipanggil ‘ration’ (rangsum tempur), iaitu pek makanan tentera Amerika sewaktu tempur. Rangsum tempur ini dijatuhkan melalui payung terjun ke arah tentera di barisan hadapan semasa perang. Makanan ini terasa sangat mewah bagi saya. Itulah kali pertama saya makan mentega. Selain itu, terdapat juga keju dan biskut. Saya makan bersama mentega tadi. Oh, sangatlah sedap rasanya. Kismis pun ada dalam pek itu. Terkejut saya apabila mendapati bahawa tentera Amerika bertempur sambil menikmati makanan yang begitu enak. Pada waktu itu, terdapat sabun basuh baju yang dahulu kami panggil sabun “Adeka” tetapi saiz keju yang terdapat dalam pek makanan ini lebih kurang sama dengan sabun Adeka. Makcik tua jiran sebelah saya menyangka keju dari pek makanan ini sebagai sabun. Dia merungut yang ‘sabun’ itu tidak menghasilkan apa-apa buih dan membiarkannya di tepi perigi. Saya hairan dan bertanya apa masalah benda ini, dia berkata bahawa sabun itu tidak mengeluarkan apa-apa buih. Jadi, saya tanya jika dia boleh memberinya kepada saya, dan saya membawanya pulang. Saya basuh dan makan keju itu. Keju itu sangat sedap!

Malaria dan projek penempatan semula

Di Okinawa selepas perang, tentera AS membantu membasmi malaria kerana mereka mahu mengembangkan pangkalan tenteranya ke Kadena, Futenma dan Naha. Pembinaan pangkalan ini bermakna penduduk asal kehilangan tanah yang mereka duduki sebelum itu. Makin ramai penduduk asal Okinawa yang pulang dari berlindung di luar negara dan bahagian Jepun lain, dan menghadapi masalah ketiadaan tempat tinggal. Bagi menempatkan orang-orang ini, Yaeyama dipilih kerana masih banyak tanah kosong. Sejak sekitar tahun 1950, projek penempatan semula ke Yaeyama pun bermula.

Bagi penduduk di pulau utama Okinawa dan Miyako, imej Pulau Ishigaki ialah pulau malaria. Pada waktu itu, penyakit itu tidak dipanggil malaria, tetapi ‘fuuki’.
Kerana mereka takut mati dijangkiti fuuki, hampir semua orang enggan menyertai penempatan ke Yaeyama. Tentera AS terpaksa membasmi malaria dahulu supaya mereka tidak lagi enggan untuk pergi. Pesakit yang dijangkiti malaria telah diberikan ubat. Bukan setakat itu, untuk menghapuskan nyamuk yang menyebarkan malaria, DDT (racun serangga) juga disembur.

Satu ubat malaria ialah ubat berwarna kuning yang dipanggil Atebrin. Ubat ini sangat pahit. Pada waktu itu, selangkah ke luar Bandar Ishigaki meletakkan diri anda dalam zon bahaya malaria, manakala dalam bandar agak selamat. Di pintu keluar kampung ada hentian yang bertindak sebagai tempat pemeriksaan serta pusat kesihatan. Terdapat khemah serta pondok jerami. Di situ, akan ada cerek berisi air. Jika anda melalui hentian ini untuk mengumpulkan kayu api di gunung atau ke ladang, kakitangan pusat kesihatan akan sentiasa memaksa anda minum Atebrin. Jika tidak minum, tidak boleh lalu. Ada banyak tempat pemeriksaan seperti ini di semua pintu keluar bandar dan kampung. Dengan cara ini, mereka memastikan kami minum ubat malaria.

DDT menghapuskan nyamuk yang menyebarkan malaria. DDT kadang-kadang disemburkan ke dalam rumah yang ada nyamuk, tetapi di bandar, nyamuk tidaklah begitu banyak. Nyamuk-nyamuk banyak hidup di sumber air di tengah-tengah gunung. Jadi, mereka lakukan “titisan” di sumber sungai di gunung. “Titisan” ini ialah, minyak mengandungi DDT yang telah dicairkan dalam tong 18 liter, tong ini kemudian digantungkan dari pokok yang besar. Lubang kecil pada tong tersebut dan membiarkan isinya menitis masuk ke dalam sungai setitis demi setitis. Dengan ini, larva-larva nyamuk dapat dihapuskan, tetapi sudah tentu ia turut membunuh semua hidupan dalam sungai, seperti udang, ikan kecil, ikan kap crucian, kura-kura dan belut. Bahan itu memusnahkan alam semula jadi dengan teruk, tetapi malaria telah berjaya dibasmi. Sekarang penyakit itu telah dibasmi, ramai dapat menerima pelan penempatan semula.

Di salah satu lokasi penempatan bernama Hoshino, walaupun malaria sudah reda di sana, apabila sesetengah mereka pegi ke gunung untuk bekerja, mereka digigit nyamuk dan pesakit malaria wujud kembali.

Terdapat sebuah penempatan dipanggil Omoto. Waktu ini, kerajaan Ryukyu sedang mengumpulkan orang untuk menyertai projek penempatan di sini. Pada tahun 1952, saya pelajar tahun kedua di sekolah menengah dan bekerja sambilan semasa cuti musim panas Gambar En. Masaki sewaktu sorang pelajar Rombongan akhir tahun Sekolah Menengah Rendah Yaeyama (sekitar 1950) untuk membantu membangunkan kawasan itu. Kami pelajar sekolah menengah telah diberikan tugas memanjat pokok dan mengerat dahan yang besar. Sebaik sahaja dahannya dipotong, ia dialihkan menggunakan jentolak. Masih terdapat sebuah berek milik tentera Jepun di Omoto. Nak panggil berek tetapi ia lebih seperti kandang khinzir. Saya menginap di sana dan belajar menggunakan cahaya lampu pada waktu malam. Siang saya bekerja dan malam saya belajar, berterusan selama lebih kurang dua minggu. Semasa saya berada di berek, saya telah digigit nyamuk. Saya dijangkiti malaria dua kali, tetapi mujurlah saya pulih segera setiap kali. Atebrin memulihkan saya sebaik sahaja saya meminumnya. Pada satu tahap, darah mengalir keluar dari telinga saya dan parasit malaria boleh dilihat di bawah mikroskop. Jika parasit malaria kelihatan, mereka akan mendiagnosis anda menghidapi malaria. Walaupun saya sembuh sebaik sahaja saya mengambil Atebrin, kulit saya bertukar menjadi kuning. Ketika saya tahun dua sekolah menengah atas, kulit dan juga mata saya berwarna kuning. Buat seketika, nama panggilan saya ialah “manusia kuning.”

Stesen cuaca selepas perang

Stesen-stesen cuaca (balai cerap) terdapat di empat lokasi ini: Pulau Ishigaki, Pulau Miyako, Pulau Minamidaito dan Naze di Amami Oshima. Stesen cuaca turut terdapat di pulau utama Okinawa tetapi selepas perang, stesen cuaca di pulau utama menjadi balai cerap meteorologi untuk Kadena di bawah bidang kuasa tentera AS dan ia tidak dikawal oleh Jepun.

Stesen cuaca Ishigaki, Miyako dan Minamidaito berada di bawah kuasa kerajaan Jepun sejak perang sehinggalah tahun 1949. Lain-lain stesen cuaca dikawal oleh Amerika ataupun kerajaan pulau, tetapi tiga balai cerap ini berada di bawah kawalan kerajaan Jepun. Barang guna habis, jentera dan gaji semuanya dibawa masuk ke balai-balai cerap ini dari balai cerap besar di tanah besar Jepun, menggunakan kapal pemerhatian yang dipanggil Ryofumaru. Laluan kapal itu adalah dari Pulau Amami ke Pulau Miyako, seterusnya Pulau Ishigaki, diikuti Pulau Daito sebelum kapal itu kembali ke tanah besar Jepun tanpa melalui pulau utama Okinawa. Selepas perang tamat, “Bacaaan demokrasi” yang telah diedarkan dari tanah besar dibawa masuk dari kapal ini. Semua “budaya” telah dibawa oleh kapal ini. Pendek kata, maklumat baharu dari tanah besar Jepun tiba di Kepulauan Sakishima lebih awal daripada pulau utama Okinawa. Pada waktu itu, gaji kakitangan stesen cuaca lebih tinggi daripada datuk bandar.

Pembinaan selepas perang bermula selepas tahun 1950. Jalan raya telah dibina, orang-orang dari pulau utama Okinawa datang ke sini untuk penempatan semula, dan kehidupan di pulau berubah sedikit demi sedikit.

Mesej kepada Golongan Muda

Untuk mewujudkan dunia yang aman, orang-orang Jepun mesti sedar yang tiada cara lain selain melindungi Perlembagaan. Saya fikir mempunyai pemikiran ini
merupakan langkah pertama. Selagi perlembagaan ini dilindung, tiada negara akan datang menyerang. Saya percaya bahawa pengamalan diplomasi sebegini yang mewujudkan keamanan.


Selepas En. Yuzuru Masaki tamat sekolah menengah atas, beliau mengikut jejak langkah ayahnya En. Tsutomu Masaki dalam bidang pencerapan meteorologi. Beliau bekerja di pelbagai balai cerap dalam Okinawa sepanjang 41 tahun, di mana beliau juga menjadi ahli Jawatankuasa Peninjau Kepulauan Senkaku Kerajaan Ryukyu dan menyumbang dalam tinjauan geologi kepulauan Sakishima. Selepas beliau bersara, beliau mengarang haiku dan esei untuk memperkenalkan kepentingan alam semulajadi yang dikumpulkan dalam Saijiki (kompilasi istilah-istilah musim) Yaeyama.