Melangkah dari Dunia PeperanganOrang yang terlibat dengan peperangan. Video penerangan semasa dan selepas peperangan

Kehidupan dan Peperangan di Yanbaru

Pn. Hatsuko Higa

Tarikh Lahir:1929

Tempat Lahir:Bandar Nago

Kehidupan di Sekolah Kebangsaan Kushi

Semasa Perang Okinawa saya pelajar tahun dua di sekolah menengah kebangsaan. Saya pergi ke sekolah apabila tiada serangan udara. Di sekolah, kami melakukan latihan menghadapi serangan udara. Saya berulang-alik ke Sekolah Kebangsaan Kushi di Sedake dari Mihara di Kushi (kini Bandar Nago). Saya tidak tamat belajar secara rasmi kerana Perang Okinawa telah bermula sebelum majlis tamat mengajian.

Kelas hanya berlangsung selama satu atau dua jam pada hari Isnin hingga Jumaat. Menjelang waktu jam keempat loceng amaran serangan udara akan berbunyi dan kami segera keluar meninggalkan bangunan sekolah untuk berlindung di tempat perlindungan serangan udara. Apabila amaran telah dihentikan kami keluar dari tempat berlindung lalu kembali ke bangunan sekolah; begitulah kehidupan persekolahan saya.

Pada waktu itu para pelajar bertanggungjawab mengusahakan ladang menanam ubi keledek dan menternak khinzir. Kami pernah menternak sehingga tiga ekor khinzir. Kami bertukar giliran menjaga khinzir setiap seminggu, contohnya minggu ini giliran kampung Mihara jadi minggu hadapan kampung berikutnya.

Para guru pula membuat patung jerami dan lembing dari buluh runcing. Latihan menusuk lembing buluh dijalankan dengan menusuk patung jerami. Kanak-kanak ramai-ramai menggali parit di merata tempat. Parit itu tidak berapa dalam tetapi cukup besar untuk berdiri dan berjalan.

Foto Maharaja di dalam kuil (Ho an den)

Terdapat foto Maharaja di sekolah dan foto di dalam kuil itu tidak dapat dilihat tanpa membuka ketiga-tiga pintu. Apabila melintas di hadapan foto itu sekiranya pintu kuil terbuka, kami akan memandang ke arah foto dan menundukkan kepala sebelum berlalu. Sekiranya pintu tertutup, kami akan menegakkan postur dan berjalan.

Guru kami sangat tegas dan saya sering dipukul oleh guru. Sekiranya berlaku sesuatu di sekolah kami akan menerima hukuman sebagai satu kumpulan. Semasa kelas sekiranya seorang sahaja tidak diam dan satu dua perkataan perbualan didengari, satu kumpulan terima hukuman.

Kami diarahkan untuk menghulurkan tangan untuk diketuk menggunakan pembaris. Guru sangat keras. Pergi minum air semasa kelas juga akan mendapat hukuman. Kami juga perlu menyanyi lagu tentera apabila bergerak dari bangunan sekolah ke pagar. “Musuh telah dikesan, mereka semakin dekat.” nyanyi kami. Kami dibekalkan satu set pakaian seragam. Baju yang dipakai ke sekolah sekiranya dibasuh pada sebelah petang tidak sempat untuk kering jadi saya akan menelap dengan tuala basah dan membiarkannya kering. Hanya kaedah itu saja yang dapat digunakan untuk menjaga pakaian seragam. Saya tiada kasut jadi saya berkaki ayam ke sekolah. Bekal makan ke sekolah bukannya nasi tetapi ubi keledek. Memandangkan saya daripada keluarga petani, saya akan membalut lima atau enam ubi keledek dan membuat satu bakul kecil lalu dimasukkan ubi keledek untuk dibawa ke sekolah. Saya tiada apa-apa untuk dipakai ketika hujan jadi saya menggunakan tampi buluh sebagai ganti payung.

Bermulanya serangan udara dan melarikan diri ke gunung

Ayah saya akan menyeberang sungai dari kampung menuju ke gunung untuk melarikan diri. Manakala kami pergi ke gunung tanpa menyeberang sungai dan membina tempat perlindungan dari serangan udara dan hidup berasingan daripada ayah. Pada suatu petang terjadi satu peristiwa; bunyi letupan serangan udara kedengaran sayup dari jauh jadi saya berasa lega kerana menyangka itulah serangan yang terakhir. Secara tiba-tiba saya terdengar tembakan mesingan. Saya tertanya-tanya di manakah berlakunya serangan dan apabila saya keluar dari tempat perlindungan saya lihat yang kaki ayah telah terkena tembakan mesingan pesawat tentera Amerika Selatan. Kaki ayah hampir terputus dan hanya masih bersambung dengan kulit. Kami bergerak ke tempat rawatan di Sedake ketika malam tetapi dalam perjalanan ayah meninggal dunia kerana kehilangan terlalu banyak darah.

Ketika malam saya pulang ke rumah bagi menyediakan makanan dan keesokannya saya akan membawa makanan tersebut kembali ke tempat perlindungan. Kemudian kembali semula ke rumah pada lebih kurang jam lima setengah petang. Di kawasan ini tidak banyak serangan udara jadi orang terkorban pun tidak banyak. Saya rasa jika serangan udara berterusan pasti lebih ramai yang terkorban. Semasa berlakunya serangan udara saya rasa hilang semangat untuk hidup.

Apabila perang semakin dahsyat semakin ramai askar Jepun bermasuk ke kampung Kushi. Para askar itu semuanya dalam keadaan perut kosong dan ubi keladi yang direbus dalam periuk besar habis dimakan sekelip mata. Askar-askar itu datang dari arah selatan dan menuju utara ke arah Kampung Higashi Tentera akan berkata “Jepun sedang menang jadi tidak perlu risau”; untuk menyebut dari mulut bagi mereka senang sahaja. Kami semua tiada pengalaman berperang jadi percaya sahaja perkataan tentera Jepun bahawa Jepun akan menang. Jadi, kami langsung tidak takut apa-apa. Semasa melakukan perkara-perkara seperti itu perang pun tamat.

Setelah tamatnya perang tiada lagi serangan udara di Yanbaru (Bahagian utara Pulau Utama). Risalah propaganda dijatuhkan dari udara dan tertulis “Perang telah tamat, segeralah keluar kamu tidak akan diapa-apakan.” Risalah propaganda tersebut disebarkan dari udara oleh tentera AS. Kami semua tidak terus menyerah setelah nampak risalah kerana masih sangsi. Selepas itu orang yang melarikan diri mula turun sedikit demi sedikit dari gunung. Tambahan pula dari jalan bercabang tiga berdekatan rumah yang menghadap gunung, tentera AS telah melepaskan tembakan mortar. Jadi kami tidak dapat bersembunyi dengan lama di atas gunung.

Pada waktu itu, Gokyotai (unit tempur terdiri daripada kanak-kanak tempatan) berada berdekatan Tanodake tetapi mereka juga beransur-ansur turun dari gunung. Abang saya yang juga merupakan Gokyotai telah cedera di bahagian leher akibat tembakan senapang. Untungnya dia masih hidup Kami tidak sangka perang akan sampai ke perkampungan sebegini. Wajah abang saya seperti budak-budak jadi tentera AS tidak menjadikannya tawanan perang. Tentera AS pasti menyangka abang masih kanak-kanak.

Di kampung Mihara terdapat pelarian dari wilayah selatan tengah tetapi disebabkan kami semua penduduk Mihara telah melarikan diri ke gunung pelarian dari wilayah selatan tengah telah tinggal di rumah kami. Hasil tanaman ubi keledek kami juga dimakan sesuka hati mereka. Pelarian dari wilayah selatan tengah juga tidak datang sehingga ke gunung. Kami yang melarikan diri ke gunung telah menyimpan makanan di rumah. Namun makanan kami juga habis dimakan pelarian tersebut. Kami kehabisan makanan dan mengalami kesusahan untuk makan. Kami juga membawa beras bersekam di belakang menaiki gunung dan menyembunyikannya tetapi itu juga habis semuanya dicuri jadi keadaan amat sukar.

Kehidupan dan agihan bekalan selepas tamat perang

Kemudian kami turun dari gunung dan berkumpul di Sedake. Pada waktu itu terdapat agihan bekalan beras daripada tentera AS serta mereka juga mendirikan khemah dan memberikan kami tempat berteduh. Selepas itu, malaria mula merebak menyebabkan ramai orang kehilangan nyawa. Kebanyakannya merupakan pelarian daripada selatan tengah. Saya juga turut terlibat membantu pekerja kesihatan daripada Itoman tetapi disebabkan malaria ramai pelarian yang terkorban.

Ada banyak catuan bekalan makanan daripada tentera AS. Terdapat daging dalam tin dan nasi sedap. Berasnya putih dan panjang nipis tetapi sedap dibuat bubur. Tepung, gandum dan kacang juga diagihkan. Jadi kami tidak kekurangan makanan. Untuk pengagihan beras, disebabkan kami keluarga petani jadi kami diberi satu kotak(1.8 liter) beras manakala selain keluarga petani mereka diberi empat kotak beras. Seseiapa yang tidak mempunyai ladang menerima lebih banyak makanan. Dalam catuan bekalan tersebut juga mengandungi kacang jadi waktu itu terdapat orang yang membuat tauhu dan menjualnya. Sebelum perang ramai yang takut kerana sangkakan askar AS orang yang jahat. Tetapi disebabkan mereka membawa banyak makanan dan membahagi-bahagikannya untuk diberi kepada kami kami mula merasa askar AS bukanlah jahat.

Minyak untuk memasak tiada jadi kami menggunakan minyak mesin sebagai ganti. Apabila api dinyalakan, minyak itu akan mengeluarkan buih biru. Dengan minyak itu kami menggoreng tempura dan tiada masalah. Tiada orang yang mati berpunca daripada minyak itu. Minyak untuk kegunaan mesin itu berwarna biru. Jadi pada mulanya semua orang takut untuk mencuba tempura yang dibuat. Seorang dua orang yang mula-mula makan berkata “Tiada apa-apa terjadi pun, semuanya baik sahaja”. Selepas itu baru semua orang berani untuk makan.

Kehidupan perkahwinan

Pada waktu itu ramai orang sudah berkahwin ketika berumur lebih kurang 20 tahun. Saya pula berkahwin ketika berumur 22 atau 23 tahun. Sebelum berkahwin, dalam keluarga saya ada lima atau enam adik beradik lelaki dan kerana saya satu-satunya perempuan, sepanjang tahun saya melakukan kerja yang sama seperti lelaki seperti membajak sawah, dan menyemai benih ubi keledek. Hanya kerja-kerja itu yang dilakukan menyebabkan tiada tujuan hidup. “Rasa mahu cepat-cepat kerja di bandar” fikir saya. Selepas berkahwin akhirnya hidup saya jadi lebih selesa. Pasangan saya datang dari keluarga petani di kampung yang sama. Selepas berkahwin masih bertani sambil menternak khinzir. Khinzir-khinzir menguntungkan dan boleh dijual sehingga sepuluh dolar seekor.

Mesej kepada golongan muda

Kerana saya merupakan satu-satunya anak perempuan dalam kalangan adik-beradik saya dibesarkan dengan tegas, jika lihat orang muda zaman sekarang saya rasa mereka terlampau malas dan dimanjakan malah terdapat orang yang tidak menghargai hubungan antara satu sama lain. Saya berasa sakit hati melihat manusia yang sebegitu.


Pn. Hatsuko Higa telah menyara adik lelaki dan adik perempuan suaminya yang kehilangan ibu ayah dalam perang melalui hasil mengusahakan pertanian dan menternak khinzir. Beliau juga merupakan salah seorang pencerita yang menyampaikan kisah tempat asalnya kampung Mihara semenjak sebelum perang, semasa dan selepas perang serta masa sekarang termasuk perubahan kehidupan yang berlaku di Yanbaru.