Melangkah dari Dunia PeperanganOrang yang terlibat dengan peperangan. Video penerangan semasa dan selepas peperangan

Jalan menuju Keamanan Antarabangsa dari Mabuni

En. Zenichi Yoshimine

Tarikh Lahir:1932

Tempat Lahir:Bandar Naha

Apabila perang tamat

Saya berada di bukit Mabuni pada 23 Jun 1945. Saya fikir ia sekitar 25 Jun. Seorang askar Jepun bercakap dalam bahasa Jepun menggunakan megafon, mengisytiharkan bahawa “Perang sudah berakhir.” “Askar Amerika tidak akan membunuh kamu dan keadaan sekarang selamat. Jadi, sila serah diri.” “Kami ada makanan dan air.” “Keadaan sekarang selamat, jadi sila serah diri.” Walaubagaimanapun, kami masih tidak menyerah diri. Ibu saya menggigil ketakutan pada masa itu. Apabila hari beralih ke petang, askar itu menyuruh kami keluar dengan berkata “Dengar sini semua, sila serah diri sementara hari belum gelap.” “Jika kamu tidak menyerah diri sebelum matahari terbenam, seluruh kawasan tempat persembunyian kamu akan disimbah dengan gasolin dan dibakar.” Kami terkejut mendengarnya.

Terdapat batu kecil di hadapan tempat perlindungan kami bersembunyi dan bom pembakar yang dipanggil napalm terkena tempat itu sehingga hangus dijilat api. Dua orang askar Jepun yang terbakar dalam api itu melompat keluar dari belakang batu dan mati di sana. Saya terfikir “Sudah pasti saya tidak mahu mahu mati seperti itu”, jadi kami bertiga sekeluarga serta-merta meninggalkan tempat perlindungan itu. Seseorang dari atas bukit memberikan isyarat kepada kami. Saya ingat askar Jepun telah datang untuk membantu kami. Saya terhuyung-hayang dalam keadaan menggeletar kerana sudah empat hingga lima hari kami tidak makan. Askar di atas bukit telah menarik saya ke atas. Tangannya sangat besar dan saya terkejut melihat mukanya. Muka yang tidak pernah saya lihat. Sebaik sahaja saya tahu yang dia askar Amerika,
saya fikir itulah penamat hidup saya. Saya tiada semangat atau tenaga untuk melarikan diri dan telah dibawa oleh askar Amerika itu.

Mungkin kerana tidak ramai kanak-kanak di sekeliling, askar itu telah membawa cawan dan tabung air lalu minum di hadapan saya sebelum memberikan cawan itu kepada saya. Saya pun terus minum dan minuman terasa seperti minuman terbaik yang pernah saya minum. Ia benar-benar rasa seperti air Syurga. Askar Amerika itu gembira melihat saya minum lalu duduk di hadapan saya dengan satu tin bekalan makanan C Iaitu (bekalan makanan perang), yang kelihatan seperti tuna dalam tin pada zaman ini. Ketika saya tertanya-tanya perkara yang akan dilakukan seterusnya, dia membuka tin itu dan menunjukkannya kepada saya. Aroma yang enak keluar dari tin itu seperti saya membuka pagar Syurga. Dia mahu berikannya kepada saya. Itu sahaja yang mampu saya fikirkan. Dia membuka tin itu, menawarkannya kepada saya, dan ketika saya mahu mengambilnya, ibu saya yang melihat semuanya sejak tadi dari belakang berkata, “Ia beracun”. Saya terkejut lalu segera menarik tangan saya. Tetapi, dia tersenyum dan mengeluarkan sudu dari poketnya, mengambil sesudu bekalan makanan dan menyerahkan bakinya kepada saya. Pada waktu itu, menjamah bekalan makanan, menelannya membuatkan saya terfikir, “Saya tidak pernah tahu yang makanan selazat ini wujud.” Ibu saya, nenek saya dan semua orang di sekeliling saya tidak tahu makanan yang sedang saya makan.

Kemudian, askar Amerika membawa coklat dan biskut. Kali ini kami percaya dan makan semua yang dibawa oleh askar Amerika itu. Selepas kami selesai makan, kami akhirnya berasa bertenaga. Kemudian, saya pun sedar yang kami dikelilingi oleh mayat Tanah dipenuhi dengan mayat. Dengan mayat yang reput dan kembung perut, bau di situ sepatutnya sangat busuk. Tetapi pada waktu itu, saya langsung tidak bau apa-apa. Kemudian, askar Amerika memandu sebuah trak dan berkata “Semua orang naik” dan kami telah disumbat ke atas trak. Dari atas trak, kami nampak bukit Mabuni menyerupai padang pasir, tanpa pokok atau rumput.

Kehidupan dalam kem

Kemudian, kami telah dibawa dari Mabuni ke kem tahanan di Hyakuna. Lebih kurang 20 orang ditempatkan di setiap khemah. Keadaan sesak dan saya tidak dapat tidur. Kami diberikan makanan seperti biskut tawar, itulah satu-satunya perkara yang baik. Tiada apa-apa untuk dimakan pada waktu itu. Kemudian, kami telah dimasukkan ke dalam LST (kapal pendarat kereta kebal) Mungkin lebih kurang 500 hingga 600 orang di bahagian bawah LST. Kami telah dibawa ke satu tempat yang kini dikenali sebagai
Kem Schwab yang terletak di Nago. Kami telah ditahan di Teluk Oura selama satu hari sahaja. Kami segera dimasukkan ke dalam trak dan dibawa ke kem (awam) di Kayo, tempat kami ditahan. Bekalan makanan terlalu kurang di sana. Bekalan makanan bertin tentera A.S. dan tsuwabuki liar Banyak tsuwabuki (daun perak Jepun) tumbuh di gunung, jadi kami petik dan merebusnya, makan dengan makanan dalam tin.
Apabila kami tidak cukup makan, kami menangkap udang dan ketam di sungai berdekatan dan turut memakannya. Dengan berbuat begini, kami dapat mengelakkan diri daripada mati kebuluran.

Hanya saya dan ibu saya yang tinggal dalam keluarga kami. Selepas ditahan sebagai tawanan perang, nenek saya jatuh sakit dan tertidur,
mungkin kerana dia rasa lega. Dia telah dibawa ke hospital di Kampung Kushi, Nago. Ramai orang yang menggigil ketakutan, fikir yang mereka akan dibunuh apabila kami telah ditangkap oleh askar Amerika di Mabuni, Itoman. Keluarga saya pun sama. Tetapi, nenek saya kelihatan tenang. Dia berkata, “Perang akhirnya tamat.” Bagi nenek saya, tidak penting sama ada Jepun atau Amerika Syarikat yang menang. Dia hanya mahu perang berakhir.

Pulang ke kampung halaman dan kembali ke sekolah

Mereka dari Shuri menjadi orang pertama yang pulang ke rumah dari kem tahanan di Kayo. Saya dan ibu saya juga telah pulang ke rumah. Di Shuri, lebih kurang sepuluh orang tinggal di perumahan sementara yang kecil. Shuri tidak mempunyai banyak kebun, jadi kami telah pergi ke Mawashi dan Urasoe yang berdekatan untuk menggali ubi keledek dan memakannya.

Saya bertembung dengan seorang bekas guru sekolah rendah kebangsaan yang pernah saya hadiri dahulu. Dia berkata “Oh! Yoshimine, kamu masih hidup!” “Datanglah esok ke majlis pembukaan Sekolah Tinggi Shuri di tapak lama Sekolah Rendah Kebangsaan Kedua.” Saya menjawab, “Jadi, macam mana dengan sekolah tinggi?” Dia berkata, “Datang sahaja.” Saya pergi keesokan hari dan mereka sedang mengadakan majlis pembukaan. Saya telah diterima masuk ke sekolah tinggi tanpa mengenali abjad. Saya tidak pergi ke sekolah menengah rendah. Saya pergi ke sekolah tinggi selama empat tahun
dan tidak dapat belajar dengan betul. Sepatutnya saya mengutamakan pengajian saya, tetapi sebaliknya saya hanya mampu berfikir tentang makanan seperti tempat untuk mendapatkan ubi keledek semasa tahun-tahun sekolah tinggi saya. Jika tidak, kami tidak dapat meneruskan hidup. Pada waktu itu, ada sesuatu yang dipanggil “senka.” Iaitu (trofi perang) Terdapat sebuah pangkalan tentera Amerika sekitar kawasan yang kini dikenali sebagai Tomari, Naha. Orang ramai pergi ke sana untuk mencuri barang daripada tentera Amerika, memanggilnya trofi perang atau senka. Kami berjaya meneruskan hidup dengan menerima bahan
daripada rakan rapat atau dengan membelinya.

Kawasan berdekatan Istana Shuri ialah kebun yang terbakar dan kami pernah bermain di sana. Sewaktu kami tamat belajar dari Sekolah Tinggi Shuri, Universiti Ryukyus dibuka. Saya telah membantu membina bangunan beratapkan jubin berdekatan dengan Istana Shuri. Terdapat sebuah tempat perlindungan besar Di belakang Tamaudun, Makam diraja. Semasa perang, bekas pelajar Sekolah Menengah Rendah Pertama Telah menyimpan meja dan kerusi di dalam sekolah. Kami mengangkatnya keluar Dan membaikinya untuk digunakan di Sekolah Tinggi Shuri. Saya percaya perabot itu digunakan juga di Universiti Ryukyus untuk seketika.

Hari-hari saya sebagai pekerja pelabuhan tentera

Sewaktu saya tamat belajar dari sekolah tinggi Perang Korea sedang memuncak. Pelabuhan Naha sangat sibuk dan banyak bom dan meriam tentera telah diangkut. Ada banyak kerja berkaitan tentera di pelabuhan. Saya juga dapat mencari pekerjaan dan bekerja tiga syif setiap hari. Saya bekerja “syif siang”, “syif awal malam” dan “syif lewat malam.” Kerajaan awam AS juga telah menubuhkan sekolah bahasa Inggeris sekitar waktu itu. Sesiapa sahaja yang mahir berbahasa Inggeris
dapat mencari pekerjaan yang bagus ketika itu. Saya telah bersiap sedia untuk berhenti kerja tentera untuk pergi ke sekolah bahasa Inggeris. Saya pergi ke sekolah bahasa Inggeris pada waktu siang dan kemudian, bekerja malam di Pelabuhan tentera Naha. Kemudian, menaiki trak untuk pulang selepas tengah malam. Keesokan hari, saya bangun awal sekali lagi untuk ke sekolah bahasa Inggeris. Mereka mengeluarkan lesen penterjemah dan jurubahasa kepada pelajar yang tamat belajar sekolah bahasa Inggeris. Sesiapa yang boleh mengungkapkan beberapa perkataan dalam bahasa Inggeris mendapat pekerjaan yang bagus.

Kerja alih bahasa dan terjemahan

Orang Jepun generasi kedua yang bekerja sebagai pengurus besar
jabatan personel di pelabuhan telah meminta saya bekerja di pangkalan tentera Amerika di Makiminato, Urasoe sebagai jurubahasa. Saya memberitahu dia, “Saya tidak pernah melakukan sebarang alih bahasa,” Dia bertanya “Jadi, kamu tidak pernah mengalih bahasa?” dan saya menjawab, “Tidak, tidak pernah.” Kemudian, dia berkata, “Baiklah, jika kamu tidak pernah melakukannya, macam mana kamu tahu yang kamu tidak boleh melakukannya?” Saya akhirnya melakukan kerja terjemahan dan alih bahasa selama lebih kurang enam atau tujuh tahun. Kerja saya telah diiktiraf dan saya dinaikkan pangkat. Upahnya juga lumayan. Pada waktu itu, gaji permulaan pekerja bank lebih kurang $45 dan saya mendapat $70 iaitu lebih kurang dua kali ganda.

Menyertai industri penerbangan

Selepas bekerja 5 tahun lagi sebagai jurubahasa dan penterjemah, pelajar yang tamat belajar dari universiti lalu mula berkhidmat di tempat kerja. Mereka sedar bahawa penulisan bahasa Inggeris saya penuh dengan kesalahan, jadi saya menukar pekerjaan dan mula bekerja untuk “CAT” (Pengangkutan Udara Awam). Ia merupakan syarikat penerbangan Republik China, yang ditubuhkan dengan modal orang Amerika. Tempat kerjanya agak bersifat antarabangsa, termasuk orang Cina, orang Jepun,
orang Uchinanchu (orang tempatan Okinawa) dan juga orang Vietnam. Saya telah bekerja untuk syarikat itu selama lima atau enam tahun. Saya tidak fikir kehidupan selepas perang saya sangat sukar. Saya mampu mencari pekerjaan dan dengan pekerjaan berkaitan tentera, mereka mengalu-alukan saya walaupun kemahiran bahasa Inggeris saya terhad. Saya langsung tidak sukar untuk mencari pekerjaan.

Mesej untuk golongan muda

Selepas perang, saya pernah bersembang sekali dengan bekas askar Amerika yang merupakan anggota Divisyen Askar Marin Keenam semasa Perang Okinawa. Saya beritahu mereka “Sebenarnya, saya ditangkap oleh askar Amerika di Mabuni, Itoman.” Mereka terkejut dan berkata, “Apa? Kamu terselamat dari tempat itu?” Meriam dan bom tentera yang tidak terkira banyaknya telah dilepaskan semasa perang di Mabuni. Banyak mayat yang tidak sempurna kerana bedilan meriam dan bom tentera. “Menakjubkan kamu terselamat dari medan perang seperti itu.” Selepas itu, saya berkawan baik dengan bekas askar Amerika itu. Setiap kali dia datang ke Okinawa, dia bermalam di rumah saya dan kami makan bersama lalu hubungan semakin rapat. Selagi tidak berlaku peperangan, kita semua manusia biasa sahaja. Apa yang saya ingin beritahu kepada golongan muda ialah kita harus mempunyai hubungan yang baik, walau apa pun yang berlaku. Jika kita kekal bermusuhan, maka kita tidak akan kenal sifat sebenar antara satu sama lain.


En. Zenichi Yoshimine belajar bahasa Inggeris di sekolah bahasa Inggeris sambil bekerja di Pelabuhan tentera. Kemudian, beliau telah bekerja sebagai penterjemah dan jurubahasa, serta turut bekerja untuk sebuah syarikat penerbangan, yang menjadi penghubung antara Okinawa dan dunia. Selepas bersara, beliau telah bekerja sebagai “pencerita” untuk menyampaikan realiti Perang Okinawa.