LANGUAGE

LANGUAGE

Kehilangan ibu akibat malaria, dan menjadi anak yatim perang

Kehilangan ibu akibat malaria, dan menjadi anak yatim perang

Nama Saksi Encik Zenko Asato (01安里善好)
Tarikh Lahir 1 hb Mei 1936
Tempat Lahir Pulau Taketomi
Usia Pada Masa Itu 8 Tahun

■ Ibu saya meninggal dunia dan saya menjadi anak yatim perang
Saya bersama-sama ibu dan kakak saya berpindah dari Pulau Taketomi ke Pulau Ishigaki semasa darjah dua. Saya telahpun menjadi anak yatim perang ketika hendak naik ke darjah tiga. Apabila bercerita mengenai kenangan sebagai anak yatim perang, dada dan bibir saya akan menggeletar, mungkin saya tidak mampu memberikan gambaran yang tepat, tetapi saya berasa amat sengsara kerana keadaan pada waktu itu.

Peristiwa itu berlaku ketika saya darjah 2 atau sebelum memasuki darjah 3. Menggunakan maklumat kakak saya, kami membuat keputusan untuk berlindung di dalam gunung Barabidoo di Pulau Ishigaki. Semasa berpindah, ibu saya menyiapkan periuk, belanga dan daging pekasam, kami memuatkan kesemuanya ke dalam sebuah kereta sorong dan mula mendaki gunung tersebut untuk berlindung.
Dalam masa 2 minggu, bekalan makanan kami telah kehabisan.. Kami terpaksa mengutip pucuk daun dan rumput-rumputan di dalam hutan yang boleh dijadikan makanan. Kesemua ahli keluarga saya telah dijangkiti malaria pada waktu ini.Oleh kerana ini adalah pertama kali kami menghidapi jangkitan malaria, kami rasa sangat takut. Kami menderita akibat demam tinggi berulang kali dalam waktu sehari. Akibat kehabisan makanan, penyakit ibu menjadi semakin tenat,dan akhirnya ibu meninggal dunia.
Saya bersyukur kerana mendapat peluang untuk hidup panjang walaupun telah mengalami penderitaan akibat malaria. Saya kini menjadi pegawai pemulihan akhlak dan anggota jawatankuasa pentadbiran awam untuk menyumbang kepada masyarakat. Pengalaman yang telah ditempohi ketika perang tersebut, menjadi sebab utama kenapa saya rasa kita perlu membantu satu sama lain untuk kebaikan masyarakat sejagat.

Ada kalanya saya terbayang yang ibu saya masih hidup dan saya menggendong ibu saya untuk keluar bersiar-siar. Saya tidak dapat meluahkan pengalaman pahit kematian ibu kepada sesiapa pun. Waktu itu kami tidak memiliki apa-apa, kami mengubahsuai sebuah pintu menjadi keranda. Dalam malam gelap itu, dengan bantuan daripada jiran-jiran, kami mengalih keranda ibu dengan kereta sorong. Seorang jiran berkata "Kami kuburkan di mana-mana saja" kepada saya, tetapi secara kebetulan tempat tersebut adalah di hadapan kubur bapa saya.
Jika berulas mengenai peperangan, terdapat banyak perkara yang tidak boleh disampaikan tanpa linangan air mata. Bagaimanakah perkara ini dapat disampaikan kepada generasi muda sekarang? Saya ingin tegaskan bahawa peperangan adalah sangat tragis dan tidak patut berulang sekali lagi.

(Penemuduga)
Kadang-kala, masih mengimbas kembali peristiwa ini?

Kadang-kala, saya terkenang peristiwa ini apabila terdengar bunyi cengkerik.
Dalam kenangan saya, ada suatu ketika dimana saya tidak dapat menahan lapar, saya tangkap belalang di semak-samun kemudian saya panggang dan makan. Cengkerik pun saya tangkap, panggang dan makan. Katak di sawah padi juga saya makan. Bermacam-macam benda masuk ke dalam mulut saya.

■Pertahankanlah keamanan dalam pembangunan masyarakat tanpa bergantung kepada pangkalan tentera
Kuasa militari tidak membawa kepada pembangunan. Osprey dan sebagainya harus dijauhkan dari negara ini, pangkalan tentera sepatutnya dihapuskan dan carilah jalan supaya dunia dapat membangun dalam keamanan.

■ Adakah ahli-ahli politik pada waktu itu tidak sedar akan perbezaan antara kekuatan tentera Amerika Syarikat dan negara sendiri
Bila diimbas kembali, strategi itu menunjukkan kecetekan pemikiran. Tentera Jepun menyediakan kayu balak dari hutan, mengutip batu-batan dan menyusunkan kayu dan batu tersebut supaya kelihatan seperti meriam. Oleh sebab meriam palsu itu dianggap sebagai yang meriam yang benar dari kapal terbang dan tempat itu menjadi sasaran serangan bom. Mengapa orang-orang atasan tidak sedar akan perbezaan kekuatan tentera Jepun dan Amerika pada waktu itu? Jika mereka memahami jurang kekuatan antara negara kami, mereka pasti sedar yang kami tidak ada peluang langsung untuk memenangi perang ini.
Peperangan berasal dari ketamakan. Walaupun peperangan boleh dielakkan dengan perundingan, punca peperangan berasal dari ketamakan manusia kerana mereka fikir kesemua benda adalah milik mereka sendiri.